PUSAT TRANSFORMASI BANDAR (UTC) BANYAK BAWA MENFAAT RAKYAT.....KATA LINDA TSEN.....The Sabah Insider Online

OLEH:  EDWIND CHA CHING ONN
Friday October 28/2016


SANDAKAN:  Pusat Transformasi Bandar atau UTC (Urban Transformation Centre) dan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC (Rural Transformation Centre) telah memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin dalam ucapan beliau semasa perbahasan Belanjawan 2017 di persidangan Dewan Rakyat di Ibu Negara petang kelmarin.

Untuk golongan yang sibuk semasa waktu pejabat biasa, UTC yang merupakan pusat khidmat sehenti yang beroperasi tujuh hari seminggu, bermula 8 pagi hingga 10 malam, sangat dialu-alukan, tambah beliau.

Memandangkan belum ada UTC disediakan di kawasan Perbandaran Sandakan, Linda memohon supaya sebuah UTC dibinakan di Sandakan dengan secepat mungkin.

Linda juga menyeru Kerajaan Persekutuan agar memberi perhatian kepada menyediakan perkhidmatan keretapi di negeri Sabah.

Satu penekanan Bajet 2017 ialah pembinaan landasan keretapi termasuk LRT (Light Rail Transit), MRT (Mass Rapid Transit), ETS (Electric Train Service) di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, projek rel baru East Coast Rail Line  dan lain-lain, Linda berkata.

“Oleh kerana rangkaian keretapi adalah sangat penting untuk memudahkan kegiatan ekonomi, projek-projek ini sangat dialu-alukan. Namun bagaimanapun, perkhidmatan keretapi di Sabah masih dalam keadaan sebelum merdeka,” kata beliau.

Negeri Sabah telah merancang untuk membina rangkaian landasan keretapi untuk menghubungkan semua Bandar utama di Pantai Barat, Pantai Timur dan Pedalaman. Saya mencadangkan fasa pertama pembinaan landasan keretapi dilaksanakan untuk menghubungkan Kota Kinabalu di Pantai Barat dengan Sandakan di Pantai Timur, kata Linda.

Dalam fasa-fasa berikutnya, landasan keretapi yang menghubungkan bandar-bandar lain boleh dibina. Dengan adanya perkhidmatan keretapi ini, saya percaya pembangunan semua sektor ekonomi Sabah akan lebih maju, katanya.

Linda turut mengalu-alukan penekanan kepada kesihatan dan perubatan dalam Belanjawan 2017. Namun, sebagai ahli parlimen dari kawasan perbandaran Sandakan, saya ingin menarik perhatian Menteri Kesihatan tentang beberapa kekurangan dan masalah di hospital tunggal di Sandakan, iaitu Hospital Duchess of Kent, kata Linda.

Blok Perubatan (Medical) perlu dinaikkan taraf dari segi kerja-kerja kejuruteraan awam, paip dan elektrik, dengan segera untuk menyediakan perkhidmatan yang memuaskan. 

Perkhimatan radiologi, termasuk CT (computerized tomography) scan, mammogram dan fluoroscopy perlu ditingkatkan dengan segera. Di samping itu, bilangan mesin hemodialisis perlu ditambah kerana pesakit buah pinggang telah bertambah di Sandakan, beliau berkata.

Diperhatikan juga bilangan ambulan yang sedia ada iaitu 4 buah tidak mencukupi dan perlu ditambah 4 buah lagi kerana bilangan penduduk di kawasan perbandaran Sandakan telah bertambah, katanya lagi.

Linda mencadangkan juga sebuah bangunan baru dibina untuk menyimpan rekod perubatan pesakit kerana rekod perubatan yang disimpan dengan rapi sangat penting untuk menyediakan perkhidmatan perubatan yang baik.

 Berkenaan dengan penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas, seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar, Linda juga menyeru supaya perhatian diberikan kepada ramai penduduk desa di Sabah yang masih serba kekurangan.

Sehubungan itu, Linda sekali lagi mengemukakan permohonan kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, untuk menyediakan bekalan air bersih dan bekalan elektrik ke kampung-kampung di Pulau Timbang di kawasan Parlimen Batu Sapi dengan seberapa segera.




No comments:

Post a Comment