PELAJAR DINASIHATI SUPAYA TUMPUKAN PELAJARAN DEMI MASA DEPAN.......ZAKARIA


Gambar Kelihatan….Zakaria (dua kanan) bersama Pro Dr Wan Mohammad menghadiri Majlis Ikrar dan Aku Janji pelajar baharu Fakulti Pertanian Lestari UMS Kampus Sandakan

OLEH AZMIE AZMAN
Wednesday September 07/2016

SANDAKAN: Para pelajar dinasihati supaya memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran dan manfaatkan segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin untuk menjadi insan yang berjaya.

“Berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya,” Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Zakaria Haji Mohd Edris berkata dalam ucapan semasa menghadiri Program Bersama Pemimpin sempena Minggu Suai Mesra Kali Ke 22 UMS Kampus Sandakan di Hub Pendidikan Sandakan kelmarin.

Zakaria berkata pihak Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan semua pelajar sama ada yang datang dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia ataupun dari luar negara untuk menimba ilmu di UMS.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum Gum menzahirkan rasa bangga apabila dimaklumkan bahawa Fakulti Pertanian Lestari (FPL), UMS Kampus Sandakan bakal menerima pelajar dari negara Thailang melalui program pertukaran pelajar.

“Hal ini merupakan satu perkembangan yang baik dalam usaha meningkatkan lagi jaringan kerjasama khususnya dalam bidang pertanian serta menaikkan lagi nama UMS dan negeri Sabah di mata dunia,” tambah Zakaria.

Menyentuh mengenai  Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan 2012) yang membenarkan mahasiswa terlibat dalam persatuan atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus, Zakaria memberitahu bahawa tujuan akta itu ialah supaya sifat pasif dan berdiam diri pelajar dapat dibuang.

Namun, penglibatan pelajar mempunyai had tertentu di mana mereka tidak boleh menjadi ahli  persatuan atau pertubuhan yang menyalahi undang-undang di dalam atau di luar Malaysia, menjadi ahli persatuan atau pertubuhan yang ditetapkan oleh Lembaga sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti, terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus dan tidak terlibat dengan perhimpunan yang boleh menggugat keselamatan negara, pesan beliau.

Sementara itu, Zakaria juga menghadiri Majlis Ikrar dan Aku Janji oleh 104 pelajar baharu FPL sesi 2016/2017 UMS Kampus Sandakan.

Turut hadir ialah Dekan Fakulti Pertanian Lestari Prof Dr. Wan Mohammad Wan Othman, para pensyarah dan kakitangan FPL, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Gum Gum Kamal M Said, Pegawai Kemajuan Masyarakat  Gum Gum Rosly Aziz serta kakitangan UPPM Gum Gum




Gambar Menunjukkan…..Sebahagian daripada pelajar baharu Fakulti Pertanian Lestari melafaz ikrar dan aku janji

No comments:

Post a Comment