Thursday December 17.2015
CORETAN DIATAS MEJA EDITOR
SHAIMON S JUMADI
KITA sebagai rakyat yang berbilang kaum dan mempunyai
pegangan agama dan budaya adat resam yang diamalkan mengikut kepercayaan
masing-masing seharusnya mempunyai sikap toleransi dan berkompromi antara satu sama lain.
Saya perlu ingatkan kepada
saudara-saudaraku yang seagama denganku sebagai hamba Allah yang cintakan
kedamaian dan keamanan dalam Negara kita sebagai umat Islam yang memegang
ajaran-ajaran Islam mengikut sunnah nabi Mohammed SAW yang bermazabkan Imam
Shafie haruslah menjaga tatatertib dan kesusilaan adap dan sopan santun sebagai
penganut agama sicu Islam jangan suka menghina mana-mana agama yang ada dimuka
dunia ini. Demikian kata Datuk Mohd Jeffry Rosman Pengerusi Kelab Penyokong
Kerajaan Barisan Nasional Sabah Bahagian Tawau.
Apa sahaja agama yang
manusia anuti tiada satupun yang mengajar umatnya supaya melakukan kejahatan
antara satu sama lain malahan diajar untuk saling hormat menghormati mana-mana
agama tidak kira Islam-Kristian Hindu dan Buddha supaya timbullah rasa kasih saying
antara umut sesama umat.
Seperti PERKASA mereka tidak
boleh menghasut mengapi-api orang-orang Melayu Islam supaya membencikan agama
Kristian bangsa Cina dan India di Negara
ini ini adalah bertentangan dengan akidah dan ajaran Islam yang sebenarnya.
Dalam konteks ini saya
selaku umat islam akan menganjurkan satu perhimpunan secara besar-besaran di
negeri ini yang menamakan PERHIMPUNAN
KITA SAMA yang bertujuan ingin mengajak para generasi muda supaya tidak
mengamalkan risis seperti mana yang berlaku kepada ahli-ahli PERKASA.
Dalam sabdah Rasulullah SAW
adalah seperti berikut
Islam dan keharmonian dalam masyarakat
Untuk
mencipta keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang agama seperti
di negara kita ini, kita perlulah ada sifat saling hormat menghormati
antara satu sama lain walaupun berbeza dari segi agama dan kepercayaan.
Khasnya
kepada umat Islam diwajibkan menghormati penganut agama lain, ini adalah ajaran
Al Quran seperti mana dalam surah, Al-An’aam ayat 108: “Dan janganlah kamu
caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci
Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan.
Demikianlah Kami memperelokkan
pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan
merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang
mereka telah lakukan.”
Amat
jelas Islam menolak prinsip yang tidak toleransi dalam kehidupan bermasyarakat.
Allah SWT menciptakan umat manusia bagi menghuni seluruh permukaan bumi
dengan berbagai macam s
suku bangsa, ras, agama serta etnik.
Oleh
yang demikian Allah SWT juga mengajarkan konsep toleransi dengan tujuan agar
keharmonian wujud dalam kalangan umat manusia.
Ayat
berkenaan menjelaskan bahawa umat Islam wajib menghormati masyarakat bukan
Islam.
Jika
umat Islam mencemuh atau mengejek masyarakat berlainan agama akan mendorong
mereka membalas penghinaan tersebut dan hal ini Allah SWT tidak
membenarkannya, inilah konsep toleransi yang diajarkan Islam.
Berbuat
baik arahan Tuhan
Allah
SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang
yang berlainan akidah sekalipun. Perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang
terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia.
Meskipun
kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, namum kedamaian hidup
tetap menjadi keutamaan.
Islam
adalah agama yang sempurna kerana tidak hanya mengajarkan hubungan manusia
dengan Allah SWT malahan juga mengajarkan bagaimana umat Islam hidup dalam
bermasyarakat.
Agama
Islam sentiasa menganjurkan kebaikan dan kedamaian, agama Islam
mewajibkan umatnya agar memiliki dan mempraktikkan sikap toleransi dalam
menyikapi perbezaan antara sesama manusia. Dalam konteks negara Malaysia, yang
merupakan negara yang dihuni oleh bangsa majmuk dengan berbagai macam agama dan
budaya.
Oleh
itu sebagai umat Islam dengan ajaran yang jelas, berusahalah melaksanakan
perintah Al Quran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. agar dapat diwujudkan
masyarakat dengan kehidupan yang harmoni hasil dari toleransi terhadap umat
beragama lainnya.
Dalam
menjalin interaksi antara pelbagai bangsa dan agama, samada dalam bentuk
ekonomi, politik, kebudayaan, agama dan lain-lain aspek kehidupan adalah
perlu menjadi keutamaan agar terbentuk hubungan yang baik dan saling
menguntungkan sesama umat manusia dalam suasana penuh kedamaian.
Kepelbagaian
diiktiraf
Kepelbagaian
masyarakat yang berupa perbezaan suku, bangsa, bahasa, adat istiadat merupakan
fitrah manusia itu sendiri yang ditentukan oleh penciptanya, seperti yang
difirmankan Allah swt dalam surat al-Hujurat ayat 13 yang berbunyi :
“Wahai
manusia, sesungguhnya Kami menciptakanmu daripada lelaki dan
perempuan dan menjadikanmu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu
saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di sisi
Allah ialah orang yang paling takwa diantaramu.
Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui lagi Maha Mengenali”. Dalam ayat ini seruan tidak dikhususkan kepada
“wahai oran mukmin ataupun wahai orang yang beriman”, ianya cukup berbentuk umum iaitu umat manusia.
Tidak
ada seruan agar sesama umat manusia bermusuhan sebaliknya perhatikan dalam ayat
yang sama terkandung, “Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di
sisi
Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu”.
Ini
adalah satu perintah dari sang pencipta supaya umat manusia berlumba-lumba
berbuat kebaikan. Bukan di kalangan umat Islam tetapi di kalangan umat manusia,
orang yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang bertakwa
kepadaNya.
Takwa
Salah
satu sifat orang yang bertakwa ialah sentiasa berusaha agar tidak menyakiti
orang lain dan sentiasa berbuat kebaikan agar sentiasa mendapat kedudukan
istimewa di sisi Allah SWT.
Dalam
mencapai matlamat di atas, Nabi Muhammad S.A.W. telah memberikan contoh
terbaik. Jadikanlah pesanan dan cara hidup Nabi Muhmaad SAW yang secara keseluruhannya berpandukan
ajaran Al Quran sebagai panduan.
Jika
ini dapat dilaksanakan, umat Islam akan menjadi umat yang terhormat di
muka bumi ini. Rasululullah S.A.W. pernah bersabda, “Sesungguhnya
orang yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. adalah orang yang sukakan
berselisih dan bergaduh.” Dalam kesempatan lain Nabi Muhammad
S.A.W. juga bersabda, “Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang
berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti aku, dan
barangsiapa yang menyakiti aku, maka ia telah menyakiti Tuhan”- (Riwayat Abu
Daud).
Nabi
Muhammad S.A.W. sentiasa berbuat baik kepada mereka yang bukan beragama
Islam, berkaitan hal ini terdapat banyak kisah-kisah dalam kehidupan dan
pesanan-pesanan suci Nabi Muhammad S.A.W. kepada umat Islam.
Nabi Muhammad
S.A.W. memerintahkan umat Islam, “Dan pergaulilah manusia dengan akhlak
yang baik” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Darimi).
Hadis
Nabi
Dalam
hadis ini Nabi Muhammad S.A.W. tidak mengatakan “Pergaulilah kaum
muslimin, atau orang-orang yang shalih, atau orang-orang yang mengerjakan
shalat”, akan tetapi beliau mengatakan “Dan pergaulilah manusia dengan
akhlak yang baik”. Maksudnya adalah semua manusia, yang kafir, yang Muslim,
yang mushlih (yang melakukan perbaikan), yang faajir (jahat) dan yang salih,
sebagai bentuk keluasan rahmat dan kelengkapannya dengan akhlak din (agama).
Demikianlah
di antara contoh-contoh yang baik dari kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. Nabi
S.A.W mempunyai jiran seorang Yahudi, jiran ini sering menyakiti Nabi S.A.W.
Suatu
ketika, Nabi S.A.W. mengetahui bahwa orang yang selalu menyakitinya ini
memiliki seorang anak yang sedang sakit dan nazak. Maka Nabi S.A.W. datang
berkunjung ke rumahnya dan mengajaknya menuju jalan Rabb-nya, dengan harapan
semoga Allah memberikan petunjuk dan memperbaiki keadaan orang ini.
Ini
jelas menunjukan Nabi S.A.W. tidak pernah menaruh dendam malahan membalas
keburukan dengan kebaikan, meskipun terhadap orang kafir.
Nabi
Muhammad S.A.W. bersabda kepada si anak, sementara bapaknya juga ada
bersama mereka, “Wahai bocah, katakanlah laa ilaaha illallah, itu akan
menyelamatkanmu dari api neraka”. Mendengar seruan ini, si anak memandang
ke arah bapanya dan memperhatikannya.
Nabi Muhammad S.A.W. mengulangi
lagi. “Wahai bocah, katakanlah laa ilaaha illallah!” Si anak memandang
ke arah bapanya lagi.
Pada
suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. memberi hormat dengan berdiri apabila
jenazah seorang Yahudi dibawa lalu di hadapan Nabi Muhammad S.A.W.
Kemudian
ada seorang sahabat bertanya : Wahai Rasulullah S.A.W., sesungguhnya itu
adalah jenazah seorang Yahudi. Baginda bertanya: Bukankah dia manusia juga?”
Dalam
hidup berjiran Nabi Muhammad S.A.W. amat menghormati dan mengasihi jiran
tetangganya dan beliau pernah bersabda, “Jibril selalu berwasiat kepadaku
tentang perihal jiran, sehingga aku menyangka bahawa ia akan menjadikan jiran
sebagai salah satu pihak yang berhak mendapatkan bahagian warisan.”
Isu
hangat diperbincangkan akhir-akhir ini ialah tentang larangan menggunakan nama
ALLAH oleh non-muslim sehingga membawa kepada rampasan kitab Injil oleh pihak
berkuasa agama.
Tindakan
seperti ini telah menyalahi cara hidup yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad
S.A.W. agar jangan menyakiti orang yang bukan beragama Islam.
Namun
tindakan yang diambil oleh kerajaan Negeri Selangor dengan mengembalikan kitab
tersebut kepada pemiliknya adalah satu tindakan yang wajar.
Diharapkan
mereka yang bukan beragama Islam mampu berfikir secara waras dan tidak
tegesa-gesa menisbahkan bahawa larangan menggunakan nama Allah adalah ajaran
agama Islam sehingga umat lain memandang serong serta terbit rasa kebencian
terhadap agama Islam dan juga umat Islam.
Saranan
ulama
Dalam
menanggapi permasalahan ini penulis selitkan pandangan bernas dari Dr Mohd Asri
bin Zainul Abidin (sumber: http://drmaza.com/home/?p=931#):
1.
“Kristian Arab dan juga musyrikin
Mekah dahulu juga menyebut Allah sebagai Tuhan. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah
tidak membantah hal tersebut. Namun dalam konteks Malaysia, perkara ini agak
baru. Ia menimbulkan kegusaran terutama disebabkan berbagai persoalan yang
timbul, antaranya apakah maksud yang terselindung di sebalik tuntutan ini?”.
2.
Nabi S.A.W ketika membuat perjanjian
dengan Quraish Mekah juga masing-masing menggunakan nama Allah seperti hadis
Muslim: Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi
S.A.W. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi S.A.W :
barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun
Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu
Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu
BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.
Sekiranya
ada pihak bertujuan menghina dengan menamakan ALLAH kepada sesuatu benda
seperti batu, pokok dan sabagainya, maka wajarlah bukan sahaja umat Islam yang
marah malahan penganut agama lain juga wajib marah.
Penulis
berpendapat tidak perlu dibahas dengan panjang lebar perkara ini kerana
berdasarkan kepada bukti-bukti yang nyata, para pembaca sendiri boleh menilai
dan membuat kesimpulan berkaitan isu tersebut.
Tidak
dapat dinafikan bahawa isu ini telah menggores perasaan umat Kristian dan
sehingga ke tahap di mana terdapat individu yang tidak bertanggungjawab
cuba melakukan kerosakan ke atas bangunan gereja dengan cubaan membakar dan
sebagainya.
Gejala
ini seharusnya tidak berlaku jika umat Islam taat kepada perintah Nabi Muhammad
S.A.W. Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda ketika tentera Islam ke medan
perang, “Jangan membunuh wanita, kanak-kanak, orang buta dan orang
tua. Jangan kamu binasakan pokok kayu dan jangan runtuhkan binaan (termasuk
rumah kediaman, gereja, kuil dan rumah ibadah lainnya)”.
Tiada
paksaan dalam agama
Masyarakat
kebiasaannya cepat membuat kesimpulan apabila seorang Islam melakukan perkara
melampaui batas kemanusiaan, mereka beranggapan ianya mencerminkan ajaran
Islam.
Sikap
seperti ini adalah kesilapan besar, masyarakat hendaknya bersikap adil dalam
membuat penilaian dan harus periksa adakah tindakan mereka itu mencerminkan ajaran
yang sebenar ataupun sebaliknya.
Janganlah
membuat kesimpulan yang melulu dan menghukum hanya dari luaran sahaja kerana
apabila berlaku pandangan buruk tentang sesebuah agama itu maka akan timbullah
kebencian di dalam diri seseorang itu untuk mengetahui hakikat yang sebenar dan
ianya bakal menimbulkan suasana yang tidak baik.
Lantaran
pelbagai gambaran negatif yang diterima oleh agama Islam, seperkara lagi
penulis ingin sentuh bahawa Al Quran jelas meganjarkan bahawa tidak ada paksaan
dalam beragama.
Umat
manusia diberikan kebebasan oleh Allah SWT untuk memilih agama mana mereka
suka. Umat Islam juga hendaknya jangan memusuhi umat lain disebabkan mereka
bukan bergama Islam kerana Allah SWT sendiri membenarkan hambanya memilih
agama yang mereka sukai. Al Quran menjelaskan tidak ada paksaan dalam agama
sepertimana dalam surah Al Baqarah : 256, “Tidak ada paksaan untuk
(memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar
daripada jalan yang salah. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada thaghut
dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada
buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar
lagi Maha Mengetahui”.
Ayat
ini turun disebabkan seorang lelaki bernama Abu Al Husain dari keluarga Bani Salim
Ibnu Auf mempunyai dua orang anak lelaki yang telah memeluk agama
Kristian sebelum Nabi Muhammad S.A.W. diutus sebagai Nabi.
Kedua
anak ini datang ke Madinah maka ayah mereka meminta mereka agar masuk Islam dan
sang ayah berkata, “saya tidak akan membiarkan kamu berdua, hingga kamu
masuk Islam”. Mereka lalu mengadukan perkara ini kepada Nabi Muhammad
S.A.W., maka turunlah ayat ini yang menjelaskan tidak ada pakasaan dalam agama.
Ini
bermakna Allah SWT sendiri membenarkan serta memberi hak kepada setiap
individu untuk memilih agama yang disukai, kewajipan umat Islam hanya
sekadar menyampaikan ajaran Islam tanpa ada unsur paksaan.
Ajaran
sebenar agama Islam
Umat
Islam perlu merenung kembali pemahaman ajaran agama Islam sebenarnya.
Semoga
dengan cara sebegitu, dapat dicapai misi Islam sebagai agama “Rahmatan lil
‘Alamin” yang tersebar ke seluruh penjuru dunia dan bersesuaian dengan
penghayatan konsep Satu Malaysia.
Pemahaman
ajaran Islam secara lengkap dan bijaksana akan mempengaruhi strategi dakwah
yang berkesan dan teratur, sehingga masyarakat di luar Islam akan tertarik
dengan Islam, bukan benci kepada Islam. Umat Islam perlu ingat bahawa kira-kira
40 peratus penduduk negara ini terdiri daripada bukan Islam.
Oleh
itu, menghormati mereka memberi peluang besar kepada umat Islam untuk berdakwah
kepada sesiapa sahaja yang berminat mengetahui ajaran Islam sebenar, ini dapat
menghindari prasangka tidak baik terhadap Islam oleh mereka yang tidak tahu
ataupun kurang faham tentang ajaran agama Islam.
Oleh
itu, perkara yang paling utama harus dititik beratkan adalah umat Islam perlu
mengetahui asas ajaran Islam itu sendiri dan kembalilah kepada teras agama
dalam hidup bermasyarakat.
Bahkan,
seseorang yang beragama itu tidak seharusnya berkelakuan seperti orang yang
tidak beragama dengan membangkitkan kemarahan orang lain.
Agama
itu bukan sahaja menitikberatkan tentang hubungan dengan Tuhan sebagai sang
pencipta, agama itu juga adalah berkenaan dengan hubungan dengan masyarakat.
Agama
adalah sebagai pembimbing kepada umat manusia bagaimana caranya untuk bergaul
dengan orang lain dan menyediakan batasan bagi perkara-perkara yang merosakkan
hubungan sesama manusia.
Oleh
itu menghayati benar-benar apa tujuan manusia beragama sudah pasti kekacauan
dan huru hara yang melibatkan sensitiviti agama tidak berlaku.
Umat
Islam hendaknya menjadi perintis dalam sama-sama mencipta suasana harmoni dalam
kalangan warga Malaysia.
Walaupun hidup di dalam negara yang dihuni oleh
masyarakat yang berbeza dari segi kepercayaan dan pegangan agama, umat Islam
harus mencari titik pertemuan yang akan mengeratkan hubungan sesama warga
Malaysia.
Kebersamaan
yang ada itu adalah keinginan untuk hidup dalam keadaan yang harmoni dan aman
damai, tanpa ada permusuhan dan berkasih sayang antara satu sama lain.
Jadikanlah
keinginan ini suatu realiti dan sentiasalah bersedia memberikan bantuan sesama
warga apabila diperlukan tidak kira bangsa dan agama agar hubungan yang
terjalin itu mewujudkan keharmonian yang berkekalan.
Jangan
jadikan agama itu sebagai alasan untuk menimbulkan permusuhan. Sebaliknya
gunalah agama itu sebagai jambatan ke arah perpaduan.
No comments:
Post a Comment