BUANG BAYI-BERZINA DAN BERKHALWAT DIBAWAH AKTA 355(1984) DENDA RM5,000 PENJARA 3 TAHUN

Thursday December 10.2015

OLEH: KAMARUL ZAMAN

HUKUMAN PALING TINGGI boleh dikenakan terhadap pesalah khalwat, berzina atau bersekedudukan menurut Enakmen Jenayah Syariah negeri adalah denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali atau kombinasi mana-mana hukuman itu.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) mengehadkan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang berkaitan jenayah syariah dan mahkamah syariah hanya dibenarkan menghukum dengan hukuman disebutkan.

Akta 355 adalah undang-undang yang diluluskan Parlimen dan berkuatkuasa di seluruh negara. Apa-apa pindaan Akta 355 perlu mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen.

Jika ada Dewan Undangan Negeri meluluskan undang-undang berlawanan akta itu, maka undang-undang itu akan menjadi ultra-vires (melampaui) dan terbatal setakat mana yang berlawanan. Ini termaktub dalam Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, selagi Akta 355 tidak dipinda, apa-apa percakapan mengenai hendak melaksanakan hukum hudud di negara ini adalah omong kosong dan retorik politik saja.

Walaupun ada pemimpin berpendapat belum sampai masanya hukuman hudud dilaksanakan di negara ini, tetapi berdasarkan masalah gejala sosial semakin meruncing mutakhir ini, perlu diadakan undang-undang lebih tegas, tinggi kadar hukumannya dan mampu mencegah umat Islam terjerumus ke lembah maksiat yang boleh merosakkan keturunan umat Islam ini.

Melihat statistik pendaftaran kelahiran anak luar nikah dan kes pembuangan bayi yang meningkat dari tahun ke tahun, menjadi suatu keperluan mendesak supaya diwujudkan undang-undang yang benar-benar mampan.

Dari 1999 hingga 2003, daripada 70,430 kes, sebanyak 30,978 pendaftaran anak luar nikah membabitkan anak orang Islam. 

Selangor mencatatkan jumlah tertinggi (12,836), diikuti Perak (9,788), Kuala Lumpur (9,439) dan Johor (8,920).
Statistik Jabatan Pendaftaran Negara tahun 2007 mencatatkan sebanyak 16,100 pendaftaran anak luar nikah berbangsa Melayu, meningkat sebanyak 16, 541 tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.

Manakala statistik kes pembuangan bayi yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 396 kes dicatatkan dari 2005 hingga 2010. Ia menunjukkan aliran peningkatan walaupun ada penurunan pada 2007.

Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes (2006) yang menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes (2008), 79 kes (2009) dan 91 kes (2010). Bagi 2011, dalam bulan Januari saja sebanyak 34 kes buang bayi dilaporkan di akhbar utama Malaysia.

Tidak dinafikan, kes kelahiran anak luar nikah dan pembuangan bayi berpunca daripada perbuatan seawal berkhalwat, kemudian menjurus kepada mukadimah zina, berzina dan bersekedudukan.

Sebagai kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat dan umat Islam, kepimpinan Perdana Menteri perlu segera mengadakan transformasi undang-undang jenayah syariah di negara ini, dengan meminda Akta 355 bagi memberi lebih kuasa kepada mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap penjenayah syariah.

Jika hukuman bagi kesalahan mendera binatang di bawah Akta Binatang 1953 (semakan 2006) ada ura-ura hendak dinaikkan kadar denda RM200 kepada RM50,000, mengapa tidak jumlah hukuman kesalahan penjenayah syariah ditingkatkan, sekurang-kurangnya dengan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau 20 sebatan.

Dengan hukuman lebih tinggi, dapat menggerunkan masyarakat daripada melakukan perbuatan yang akhirnya menjerumuskan diri mereka kepada perbuatan zina, kelahiran anak luar nikah dan pembuangan bayi.

Pada masa ini, denda serendah RM5,000 tidak mampu membangkitkan rasa gerun kepada pesalah. Ia juga menggambarkan seolah-olah kesalahan jenayah syariah adalah kesalahan kecil, boleh diulang semula kerana hukumannya lebih ringan berbanding kesalahan mendera binatang.

Padahal, kesalahan dalam Enakmen Jenayah Syariah adalah kesalahan membabitkan perlanggaran terhadap hukum syarak.
Tidak dinafikan mahkamah syariah sudah mengalami banyak perubahan dari segi pentadbiran, prasarana, kakitangan sokongan serta mendapat pengiktirafan.

Persoalannya, bagaimanakah mahkamah syariah boleh turut membantu menyelesaikan masalah umat Islam jika hukuman yang diperuntukkan terlalu ringan dan boleh diperlekehkan?

Maka, selaras perkembangan zaman dan situasi masyarakat Islam, sudah tiba masanya transformasi perundangan syariah dilakukan dengan mengkaji semula dan mempertingkatkan kadar hukuman bagi pesalah syariah di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

No comments:

Post a Comment