Sunday December 27.2015
DENDA RM10,000 peniaga yang didapati membungkus guna surat khabar
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan menetapkan beberapa syarat
dalam membenarkan pengendali makanan menggunakan kertas surat khabar untuk
membungkus dan menyediakan makanan dan kegagalan mematuhi syarat itu bakal
berdepan hukuman denda RM10,000 atau penjara dua tahun.
Kementerian mengambil maklum bahawa masih terdapat pengendali
makanan menggunakan kertas surat khabar yang bersentuhan secara langsung dengan
makanan sedia dimakan seperti untuk membungkus makanan, menutup makanan atau
untuk menyerap minyak daripada makanan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata
antara syarat ditetapkan termasuk hanya membenarkan surat khabar digunakan
sebagai lapisan kedua untuk membungkus makanan yang sedia dimakan dan tidak
bersentuhan secara langsung dengan makanan.
"Bahan pembungkus seperti plastik (lutsinar) atau daun
pisang hendaklah digunakan sebagai lapisan pertama yang melindungi sepenuhnya
makanan tersebut daripada bersentuhan secara langsung dengan kertas surat
khabar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata pembungkusan makanan sedia dimakan dengan surat
khabar sebagai lapisan kedua juga hendaklah dikendalikan dengan kaedah yang
dapat mengelakkan pencemaran dakwat daripada kertas surat khabar kepada makanan
tersebut melalui apa jua cara.
"Contohnya, pencemaran boleh terjadi melalui tangan
pengendali makanan yang telah menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan
kemudiannya menyentuh makanan sedia dimakan secara langsung," katanya.
Dr Noor Hisham berkata kertas surat khabar hendaklah tidak
digunakan bersentuhan secara langsung dengan makanan sedia dimakan seperti
untuk menutup makanan atau menyerap minyak daripada makanan bergoreng.
Katanya, semua perkara tersebut tertakluk di bawah Peraturan 35,
Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu seseorang pengendali makanan
hendaklah mengendalikan makanan dan menggunakan perkakas dan bekas makanan
tanpa bersentuhan secara langsung dengan apa-apa benda atau bahan yang boleh
mencemarkan makanan itu.
Beliau menjelaskan menurut Peraturan 36, Peraturan-Peraturan
Kebersihan Makanan 2009, pengendali makanan yang menyediakan, membungkus atau
menghidang makanan untuk dijual hendaklah memastikan penyediaan, pembungkusan
atau penghidangan makanan adalah bebas daripada apa-apa pencemaran.
"Pengendali makanan juga harus memastikan pembungkus
makanan menyediakan perlindungan yang secukupnya untuk hasil makanan bagi
meminimumkan pencemaran dan mengelakkan kerosakan kepada hasil makanan itu.
"Mereka juga harus memastikan bahan pembungkus makanan
bukan toksik dan cukup kuat untuk menahan koyak dan bocor. Kegagalan untuk
mematuhi peraturan tersebut merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan,
boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua
tahun," kata beliau.
Beliau berkata, aduan boleh dibuat kepada Kementerian Kesihatan
sekiranya pengguna mendapati mana-mana pengendali makanan gagal mematuhi syarat
yang ditetapkan itu melalui Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan
Daerah terdekat atau laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan .
Katanya surat khabar boleh digunakan untuk membukus makanan
tetapi sebagai pembungkus kedua yang
dialas oleh plastic atau daun pisang surat khabar tadi jadi pembalut pada
bungkuisan tersebut. POSTED BY BERNAMA
No comments:
Post a Comment