Saturday February 27.2017
MAJLIS Tertinggi
UMNO memutuskan untuk menggantung saya daripada jawatan Timbalan Presiden.
Keputusan ini telah saya jangka. Ia bukan satu perkara yang
mengejutkan.
Sejak saya digugurkan daripada kabinet, saya telah
dihalang daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden. Saya disekat
daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti yang dianjurkan untuk
saya diarahkan supaya dibatalkan. Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut.
Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang
daripada berucap dalam perhimpunan agung.
Sepanjang enam tahun saya memegang jawatan Timbalan
Presiden, saya tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab saya membantu
Presiden.
Saya mengetuai
jentera pilihanraya BN dalam setiap kali pilihanraya kecil atau pilihanraya umum
dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah,
maka Presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu
bermakna saya membantu Presiden?
Saya juga melakukan tugas-tugas lain seperti
mempengurusikan mesyuarat pengurusan UMNO, mesyuarat pengurusan BN,
menyelesaikan masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihanraya, turun ke
bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan
parti. Ini bermakna saya telah membantu Presiden dalam mentadbir dan mengurus
parti.
Saya juga bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan
keluhan ahli-ahli kepada Presiden serta menegur Presiden jika dia melakukan
tindakan yang menjejaskan kepentingan UMNO.
Inilah yang saya
lakukan apabila saya menegur Presiden berhubung pembabitannya dalam skandal
1MDB dan derma RM2.6 billion.
Semua ini saya lakukan dengan niat untuk memastikan
kesempurnaan perjalanan parti dan mengembalikan kepimpinan UMNO ke landasan
yang betul supaya UMNO terus diterima oleh rakyat. Tetapi saya telah dihukum
kerana kononnya saya tidak membantu Presiden.
Adakah membantu Presiden itu bermaksud menyokong Presiden
secara membuta-tuli termasuk mempertahankan kesalahannya? Saya tidak fikir
begitu. Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan
yang lain-lain di dalam UMNO menegurnya dan meminta dia memperbetulkan
kesilapannya demi kebaikan parti.
Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang
di dalam UMNO bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan
terpalit kepada UMNO.
Hari ini tercatat dalam lipatan sejarah UMNO, seorang
Timbalan Presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada
jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur Presiden. Nampaknya,
kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai Timbalan
Presiden.
Ketika pindaan perlembagaan UMNO dibuat untuk membolehkan
ahli-ahli di akar umbi memilih pemimpin utama parti, UMNO dicanang sebagai
sebuah parti yang paling demokratik di negara ini.
Tidak ada mana-mana parti di Malaysia yang membuka ruang
seluas-luasnya kepada lebih 140,000 perwakilan dari seluruh negara memilih
pemimpin-pemimpin utama parti.
Namun, keputusan MT hari ini langsung tidak
memperlihatkan UMNO sebagai sebuah parti yang demokratik. Suara majoriti ahli,
malah majoriti rakyat, diketepikan dengan sewenang-wenangnya oleh MT
semata-mata untuk mempertahankan seorang individu yang terpalit dalam skandal
rasuah dan penyelewengan yang amat memalukan.
MT gagal menangani krisis kepimpinan parti yang berpunca
daripada penglibatan Najib dalam skandal IMDB dan derma RM2.6 bilion yang tidak
dijelaskan dengan sepenuhnya oleh beliau.
MT tidak berani bertanya Najib jika benar RM2.6 bilion
itu wang parti, kemana perginya wang itu selepas akaun ditutup pada 2013. MT
juga tidak bersedia bertanya Najib mengenai tuduhan wang SRC International
berjumlah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun Najib. Skandal yang menyelubungi
Najib telah memberi imej yang amat teruk kepada parti, kerajaan dan memalukan
rakyat.
Mengenai wang yang dikatakan masuk ke akaun peribadi
Najib dari SRC International, saya diberitahu mengenainya oleh mantan Peguam
Negara sendiri beserta dengan buktinya sekali yang sah merupakan suatu
perbuatan jenayah! Saya beristighfar!
Yang terbabit dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion
bukan saya, tetapi Najib. Yang menerima RM42 juta duit SRC International bukan
saya, tetapi Najib. Yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) dan berhadapan dengan risiko pendakwaan jenayah bukan saya, tetapi
Najib.
Yang ditolak oleh sebahagian besar rakyat bukan saya,
tetapi Najib. Yang menjadi punca segala masalah UMNO hari ini bukan saya,
tetapi Najib. Peliknya, yang digantung adalah saya, manakala Najib terus
bersenang-lenang menikmati kuasa jawatan dan wang yang ada padanya.
MT lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil
tindakan terhadap diri saya daripada meneliti kandungan ucapan-ucapan saya yang
mempunyai implikasi jauh lebih besar terhadap masa depan UMNO dan negara.
Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya
tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri. Saya
tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan
kepada MT. Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya
terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk menggantung saya. Walau
bagaimanapun, saya tidak akan merayu.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pada peringkat
awalnya, beberapa pemimpin utama UMNO datang menemui saya mengadu hal mengenai
pelbagai skandal yang menyelubungi Najib dan isterinya.
Mereka meminta saya melalukan sesuatu untuk
memperbetulkan keadaan. Mereka bimbang UMNO akan ditolak oleh rakyat jika Najib
terus memimpin parti.
Saya katakan kepada mereka bahawa saya tidak boleh
memperbetulkan keadaan secara bersendirian.
Saya cadangkan supaya mereka bersama-sama secara kolektif
menasihati Najib. Mudah-mudahan dia bersedia untuk memperbaiki kesilapannya
demi menyelamatkan UMNO dan negara. Malangnya, mereka tidak berani menasihati
Najib.
Akhirnya, apabila keadaan bertambah teruk saya mengambil
tanggungjawab untuk menegur Najib dalam pertemuan empat mata bersamanya, dalam
mesyuarat kabinet, mesyuarat MT dan kemudiannya dalam platform parti secara
terbuka.
Apabila saya mula bersuara, orang-orang yang sebelumnya
datang menemui saya mula menjauhkan diri daripada saya. Hari ini, orang-orang
inilah yang paling lantang mengecam saya.
Saya tidak berduka dengan apa yang terjadi kepada diri
saya. Namun saya berasa jengkel. Apa sudah jadi dengan sistem nilai di dalam
UMNO? Telah terhapuskah nilai-nilai kejujuran, keikhlasan dan keberanian untuk
menyatakan yang hak dan menentang yang batil?
Telah leburkah semangat perjuangan dalam diri pemimpin
UMNO? Atau, apakah yang bermaharajalela hanyalah nafsu kuasa yang penuh
muslihat dan tipu daya?
Barangkali sistem nilai dalam UMNO telah punah. Mereka
yang berkepentingan tidak lagi dapat membezakan mana yang benar dan mana yang
salah. Yang diutamakan bukanlah matlamat asal perjuangan parti, tetapi
kepentingan diri. Akibat daripada ini UMNO akan rosak dan ditolak oleh rakyat.
Hari demi hari, kredibiliti dan imej negara juga semakin
terjejas. Keadaan ekonomi semakin tidak menentu, rakyat dihimpit masalah kos
sara hidup yang semakin meningkat manakala ruang demokrasi dan kebebasan
semakin tertutup. Mereka yang lantang mengkritik Najib ditahan di bawah
undang-undang keselamatan, portal berita atas talian disekat dan suara-suara
yang menentang ditekan dengan pelbagai ugutan.
Najib juga sedang mengukuhkan kuasanya. Peguam Negara
memberikan alasan paling tidak munasabah untuk menolak pendakwaan ke atas Najib
walaupun mempunyai bukti yang kukuh. Hanya kerana dilantik oleh Yang Di-Pertuan
Agong atas nasihat Perdana Menteri, Peguam Negara tidak berani mendakwa Najib.
Institusi seperti SPRM dan Bank Negara tidak dapat
berfungsi dengan sempurna kerana ditekan oleh mereka yang berkuasa. Akta Majlis
Keselamatan Negara pula digubal untuk memberi kuasa kepada Perdana Menteri
mengisytiharkan kawasan keselamatan yang impaknya sama seperti pengisytiharan
darurat.
Dalam menghadapi kemarahan rakyat terhadap kepimpinannya,
Najib menggunakan segalakuasa yang ada padanya untuk menekan suara yang
menentang dan mendiamkan pengkritik.
Kita sebenarnya sedang menyaksikan keruntuhan institusi
demokrasi dan kemunculan seorang diktator baharu.
Saya akan terus bersuara untuk menegakkan kebenaran dan
menuntut reformasi institusi (institutional reform) yang lebih menyeluruh.
Kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong dalam pelantikan
dan pelucutan jawatan Peguam Negara mesti dihadkan.
Oleh kerana Yang Di-Pertuan Agong dalam menjalankan
kuasanya di bawah Perlembagaan bertindak atas nasihat Perdana Menteri, maka
sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri boleh terlepas daripada pendakwaan
jenayah dengan hanya menasihati Yang Di-Pertuan Agong supaya melucutkan jawatan
Peguam Negara.
Jika Peguam Negara bukan seorang yang berani, maka
Perdana Menteri akan menjadi seorang yang amat berkuasa dan kebal di sisi
undang-undang.
Dia boleh dengan sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja
jenayah dan terlepas daripada sebarang hukuman. Ini bukanlah sesuatu yang adil
malah amat bertentangan dengan prinsip bahawa semua orang adalah sama rata di
sisi undang-undang.
Selain itu, Jabatan Peguam Negara, SPRM, Bank Negara dan
Polis Di-Raja Malaysia mesti dipastikan bebas untuk menjalankan fungsi
masing-masing tanpa diganggu-gugat oleh sesiapapun. Peranan mereka di bawah
Perlembagaan dan undang-undang negara mesti diperkukuhkan. Kuasa Perdana Menteri
dalam pelantikan ketua-ketua agensi ini mesti dihadkan untuk membolehkan mereka
bertindak secara bebas dan telus.
Saya fikir, episod hitam yang berlaku di Malaysia sedang
mematangkan kita. Jika kita mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara
yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita
mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan. Ia bukan sekadar
mendesak Perdana Menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang
telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat.
Ketepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk
membentuk suatu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah
kerajaan yang adil, amanah dan berintegriti.
Saya menghargai semua pihak yang menyatakan sokongan
untuk terus berjuang bersama saya. Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri
Mukhriz Mahathir telah lebih awal menyatakan sokongan kepada saya.
Kepada kedua-dua
mereka saya ucapkan terima kasih. Kepada pemimpin akar umbi UMNO terutamanya
Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) yang berani berkata benar saya ucapkan
tahniah. Saya juga amat menghargai pendirian UMNO Pagoh yang tidak gentar
mengharungi badai gelombang bersama saya. Marilah kita terus berjuang!
Rakyat mesti bangkit untuk menentang kezaliman dan
kemungkaran. Selamatkanlah Malaysia. Saya bersedia untuk bersama-sama anda
dalam perjuangan ini. Jangan takut kerana yang Maha Berkuasa ialah Allah s.w.t.
Allahu Akbar!
MUHYIDDIN YASSIN
27 Februari 2016
No comments:
Post a Comment