Tuesday
November 24.2015
KUALA LUMPUR:- Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd
(NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail hari ini dilepas dan dibebaskan
oleh Mahkamah Sesyen daripada dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7
juta dan dua pertuduhan berkaitan menggunakan dana syarikat.
Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas
membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, supaya anak
guamnya dilepaskan dan dibebaskan mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.
Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir tidak
membantah permohonan itu.
Mohamad Salleh yang berada dalam kandang tertuduh meraup
mukanya tanda syukur selepas mahkamah membebaskannya daripada keempat-empat
pertuduhan.
Muhammad Shafee turut mengucapkan terima kasih kepada
pihak pendakwaan yang mempertimbangkan permohonan anak guamnya dan kepada
mahkamah kerana memberi laluan dan ruang kepada anak guamnya.
Isteri Mohamad Salleh, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO dilihat memeluk suaminya selepas selesai
prosiding.
Terdahulu, Syed Faisal memaklumkan kepada mahkamah bahawa
Jabatan Peguam Negara membuat keputusan supaya Mohamad Salleh dilepas tanpa
dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas meneliti surat representasi yang
dikemukakan peguam pada 4 November lepas.
Muhammad Shafee bagaimanapun berhujah anak guamnya
sepatutnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu dan bukan dilepas
tanpa dibebaskan seperti yang diputuskan oleh jabatan tersebut.
"Kami berharap bagi perintah dibebaskan dan bukannya
dilepas tanpa dibebaskan kerana semua pertuduhan terhadap beliau (Mohamad
Salleh) adalah tergantung di awang-awangan," katanya.
Perbicaraan kes itu bermula pada 23 Jun 2014 dengan saksi
pertama pihak pendakwaan memberi keterangan, bagaimanapun perbicaraan ditangguhkan
selepas Mohamad Salleh mengemukakan permohonan bagi membatalkan dua pertuduhan
pecah amanah itu.
Pada 28 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan kes
Mohamad Salleh diteruskan dengan perbicaraan di Mahkamah Sesyen selepas menolak
rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen yang menolak
permohonannya untuk membatalkan pertuduhan pecah amanah itu.
Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, 66, yang juga pengarah
NFCorp mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dengan menyalahgunakan
wang RM9,758,140 melalui empat keping cek NFCorp untuk membiayai sebahagian
pembelian dua unit kondominium di kompleks One Menerung di Kuala Lumpur.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 dan 4
Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr
Ismail.
Mohamad Salleh juga dituduh melakukan kesalahan sama
dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek, antara 6 Mei dan 16 Nov,
2009, ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd
yang beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.
Kedua-dua pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 409 Kanun
Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan
sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Mohamad Salleh juga menghadapi dua lagi pertuduhan
berkaitan menggunakan dana syarikat tanpa kelulusan mesyuarat agung tahunan
syarikat untuk membuat sebahagian daripada pembayaran bagi pembelian unit-unit
kondominium.
Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta
Syarikat 1965, memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda
sehingga RM30,000.
Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita berkata
permohonan pihak pendakwaan supaya Mohamad Salleh dilepas tanpa dibebaskan
tidak sesuai kerana perbicaraan kes itu telah bermula.
Mohamad Salleh juga melahirkan rasa kesyukuran atas
keputusan mahkamah hari ini.
"Syukur kepada Allah yang merahmati dengan keadilan
ini. Allah amat mengasihani," katanya.BERNAMA
ULASAN EDITOR
Jelas pihak kehakiman bersikap birokrasi kalau orang-orang UMNO yang buat salah macam manapun ada peluang kebebasan semuanya tutup lubang .
Kalau orang-orang UMNO terlibat dalam pembunuhan sekalipun kalauy kes di bawah ketengah pihak pengadilan tentunya ada peluang bebas ini dasar UMNO
No comments:
Post a Comment