Sunday March 27.2016
GAMBAR hiasan saja
KOTA KINABALU (BERNAMA) Lima puluh orang, termasuk
anggota keluarga, dikenal pasti menjadi pengikut kumpulan ajaran sesat Millah
Abraham di Sabah, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Awang Sahari Em
Hadzeer.
Beliau berkata maklumat diperoleh mendapati mereka terdiri daripada
golongan semi profesional, belia serta remaja dan dikenal pasti ada
perkampungan di Tuaran, Sandakan, Tawau selain berada di sekitar Kota Kinabalu.
“Polis Sabah sedang meneliti, menghalusi dan akan bekerjasama dengan
pihak Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) untuk melakukan tindakan
komprehensif (terhadap pergerakan kumpulan ajaran sesat itu).
“Asal pergerakan kumpulan ini
adalah dari Semenanjung tetapi sebahagian orang Sabah terbabit,” katanya kepada
pemberita selepas menghadiri acara perbarisan Hari Peringatan Polis ke-209 di
sini hari ini.
Awang Sahari berkata pergerakan ini disiasat pihak terbabit kerana
dipercayai melakukan amalan atau aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan
akidah Islam.
Ditanya mengenai tanah yang didakwa dibeli pergerakan kumpulan itu di
Tuaran, beliau berkata perkara itu juga masih dalam siasatan.
Mengulas ‘panglima’ Sulu dilantik di setiap Dewan Undangan Negeri di
Sabah, Awang Sahari berkata pihaknya sedang menyiasat perkara itu dan akan
memberi perhatian sepenuhnya termasuk mengambil tindakan secara komprehensif.
“Polis akan terus meneruskan operasi untuk memastikan kesejahteraan,
keselamatan dan kedaulatan di sabah terjamin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Datuk Salehuddin Abd
Rahman berkata 57 orang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah sejak akta itu
diperluas ke Sabah pada April 2014. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment