Saturday June 25/2016
OLEH: AZMIL AMRI
www.sabahinsider14.blogspot.com
APABILA ada seorang hadirin
bertanya sambil mencuba untuk memintal-mintal konteks tajuk satu wacana minggu
lalu dengan soalan “sama ada DAP merasa terancam dengan kebangkitan Islam”,
saya melihat tepat ke wajah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk melihat
riak mukanya, agar dapat saya teka kadar keterancamannya.
Rambutnya
yang bersikat kemas sedikit pun tidak terusik. Otot mukanya juga tidak menguit.
Ternyata Guan Eng sedikit pun tidak merasa gusar, apa lagi rasa terancam.
Kenapa
perlu dia rasa terancam dengan kebangkitan Islam? Kenapa dia perlu risau dengan
kebangkitan umat Arab yang dahagakan demokrasi dan kebebasan menentang regim
kuku besi di negara-negara mereka?
Walau
pun hadirin tersebut mungkin tidak bermaksud apa-apa dalam bertanyakan soalan
itu, pertanyaan sebegini biasanya dibawakan oleh mereka yang tiada minat untuk
berdakwah, tetapi lebih senang menghukum oarng lain yang tidak sealiran
dengannya yang dilabel sebagai musuh Islam.
Bagi
kelompok seperti ini, orang bukan-Islam dalam alam fantasinya dilihat sentiasa
berkonspirasi untuk menjatuhkan Islam dan memurtadkan sesiapa sahaja yang
termampu. Ini mentaliti Hasan Ali; dan saya tumpang kasihan dengan mentaliti
ini.
Mengapa suka menghukum, memaksa?
Ya
benar, Islam jauh lebih besar berbanding soal-soal pokok yang cuba ditekuni
oleh DAP dan pemimpinnya, yang rata-rata tidak pernah masuk kelas agama Islam
di sekolah rendah. Jadi tidak hairan kenapa pemahaman Islam mereka tidak begitu
hebat. Tetapi ramai juga orang Islam sendiri yang kurang jelas tentang agama
sendiri.
Adalah
amat dangkal jika Lim Guan Eng mahu dihukum kerana kekurangan ilmu tentang
agama dan ritual Islam. Sindrom mahu menghukum ini adalah sindrom yang tidak
boleh dibiarkan melarat di kalangan orang Melayu Islam yang merasakan dirinya lebih
Melayu dan Islam berbanding orang Melayu Islam lain. Ini juga mentaliti yang
wajar dikasihani.
Islam
sepatutnya disampaikan melalui dakwah. Tapi bukan sahaja golongan ini tidak
mahu berdakwah kepada Guan Eng, malah mahu pula dipaksanya memahami agama Islam
menurut acuan mereka sendiri. Bukankah Tuhan menyuruh supaya berdakwah dengan
cara hikmah?
Hudud dijadikan isu politik
Soal
hudud menjadi begitu popular dalam wacana ‘Adakah Dasar DAP Mengancam Islam’
anjuran Roketkini.com di Shah Alam, Selangor pada Rabu lalu. Ini tidak
menghairankan sangat, kerana memang itulah soalan paling sinonim ciptaan UMNO
untuk menyerang DAP, sebuah parti sosial demokrat pelbagai kaum yang menentang
rasuah, korupsi, salah guna kuasa dan perkauman.
DAP
mempunyai pendirian tersendiri tentang hudud atas dasar ideologinya sendiri
serta kontrak sosial Merdeka yang kini dijelmakan sebagai Perlembagaan
Persekutuan yang dipersetujui bersama tokoh-tokoh kemerdekaan dari kalangan
Islam dan bukan-Islam pada 1950-an dahulu.
Namun,
propaganda UMNO-Barisan Nasional sengaja dijadikan senjata menyerang DAP yang
seringkali disalah erti, dek kerana prejudis masyarakat ramai terhadap parti
itu yang dikatanya sosialis dan menolak agama. Sehingga ramai yang tidak sedar
bahawa DAP adalah parti yang terbuka kepada semua kaum dan penganut agama,
asalkan jiwanya bersifat demokratik, yakin kepada keadilan, memperjuangkan
kebebasan, hak asasi manusia dan peluang saksama.
Walau
apa pun alasannya, UMNO terang-terangan tolak hudud. Timbalan Presiden UMNO Tan
Sri Muhyiddin Yassin cuba berpusing-pusing tapi yang nyata, beliau menjelaskan
BN tidak akan melaksanakan hudud. MCA tambah menghina hudud. Presiden MCA Datuk
Seri Dr Chua Soi Lek telah menyebut bahawa hudud akan membawa Malaysia ke zaman
kuno dan menakutkan pelabur asing.
Persoalannya, jika jelas UMNO dan MCA
bersekongkol menolak hudud, mengapa DAP yang menjadi sasaran? Mengapa orang
Islam yang bersungguh-sungguh mahu melaksanakan hudud tidak bertanyakan soalan
yang sama ini pada setiap kali ada wacana, dialog, ceramah atau apa sahaja
acara kepada para pemimpin UMNO-BN?
Pendirian
DAP jelas nyata, tiada dolak dalik. Malah DAP berani menganjurkan wacana dan
dialog walau pun disedari soalan-soalan yang susah akan dilontarkan.
Kenapa
Presiden UMNO Najib Razak tak mahu anjur wacana supaya orang ramai boleh
bertanya soalan-soalan susah kepadanya pula? Lagikan ditanya tentang Scorpene
dan Altantuya sudah ditepis soalan itu jauh-jauh. Inikan pula nak ditanya
tentang hudud dan siyasah syar’iyah.
Pada malam wacana itu, Guan Eng
ternyata tidak berhutang penjelasan dengan sesiapa pun malam itu. Bak kata
orang putih, semuanya ‘clear cut’. Tiada selindung-selindung.
Hujahnya mantap dan pendiriannya jelas nyata. Tidak ada orang yang bangun
bertanya mohon klarifikasi dan ajak berdebat panjang. Itu tandanya soalan
mereka sudah terjawab, dan rata-rata hadirin pulang dengan hati yang lapang dan
tenang.
DAP, tak kenal maka tak cinta
Pengurusan
dan pentadbiran DAP adalah bersifat sekular. Ini bermakna ia tidak
mempergunakan atau memanipulasi apa-apa agama sebagai asas perjuangan parti.
Malah, agama tidak dijadikan alasan dalam sebarang aktiviti politik, termasuk
dalam kempen di dalam dan luar parti.
Ia
bukan anti-agama, hanya bersifat non-agama di mana semua ahli yang berbeza
agama adalah sama rata, sama hak dan sama peluang. Ini bererti tidak ada
sesiapa yang dipilih atas dasar agama anutannya atau warna kulit atau
keturunannya, melainkan kelayakan, kemampuan, kebolehan, kejujuran, kecekapan,
ketelusan dan sifat amanah seseorang.
Sekularnya
DAP sebagai sebuah entiti politik hanya menunjukkan bahawa parti memandang
agama sebagai hak individu. Sebagai parti yang buat masa ini majoriti ahlinya
Cina, pastilah ia tidak mahu memandai-mandai dalam hal agama, termasuk hudud.
Oleh
kerana para pemimpin UMNO dan pecacai mereka teramat benci dengan DAP yang
menyerlahkan kepincangan sistem pemerintahan yang bergelumang dengan rasuah dan
salah guna kuasa, mereka sentiasa mencipta dan menabur fitnah. Antara
pembohongan itu termasuklah kononnya DAP mahu menjadikan Malaysia negara
Kristian.
Sebelum
ini, DAP dituduh anti-hudud kerana bersifat sekular, apa pula halnya dengan
tuduhan mahu mengkristiankan negara? Bagaimana pula perasaan ahli-ahli DAP yang
beragama Hindu, Buddha dan mereka yang beragama Islam? Maknanya yang buat
fitnah itu pun tak begitu pandai merencanakan propaganda jahat mereka.
Guan
Eng, seorang Cina sebenarnya jauh lebih teguh akhlaknya berbanding sesetengah
pemimpin UMNO. Beliau rela dipenjara kerana mempertahankan maruah dan harga
diri seorang gadis Melayu yang didakwa dicabul oleh seorang pemimpin Melayu.
Beliau benar-benar serius memerangi rasuah, salah guna kuasa, pencabulan
hak asasi manusia dan memperjuangkan keadilan – semuanya ciri-ciri mulia agama
– tanpa menggunakan alasan agama.
Baginya,
semua agama mengajar kebaikan, menentang keburukan. Yang berbeza hanya soal
aqidah dan ritual serta hukum-hakam. Beliau menganjurkan perpaduan hati
berasaskan dasar bersama, yakni menentang kezaliman serta menyeru kepada
pemerintahan yang adil, bebas dan bersih. Sedikit-sebanyak, itulah yang
diamalkannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
UMNO,
parti yang menolak hudud dan menghina Tok Guru Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik
Mat; sehingga kini masih terhegeh-hegeh mahu mengajak PAS untuk berpadu, konon
atas dasar agama dan semangat kemelayuan.
Namun
PAS bukan bodoh. Ia nyatanya lebih selesa untuk duduk bersama dengan DAP, meski
parti pimpinan Guan Eng itu berbeza pandangan dalam soal pelaksanaan hudud, ia
tidak pula menghina hukum Islam seperti yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin
BN.
Berani berlaku adil
DAP Ia tidak punya tugas untuk
menyebarkan kefahaman tentang hudud kerana itu bukan agenda politiknya yang
berpaksikan nilai-nilai sejagat, termasuk keadilan sosial, hak asasi manusia,
pembahagian kekayaan negara secara adil, tolak korupsi dan lain-lainnya.
DAP
juga tidak pula terancam dengan dunia Arab kerana ia ialah kebangkitan rakyat
menolak tirani dan kezaliman pemerintah diktator. DAP yang tidak terasa
terancam dengan kebangkitan itu pula tidak mengancam Islam atau menolak Melayu.
Sifat demokratiknya sentiasa membuka pintu untuk semua dalam sifat inklusif
yang mahu negara dibebaskan dari belenggu kezaliman.
DAP
tidak mengancam Islam. DAP tidak anti-Melayu. DAP tidak komunis. Komunis juga
tidak mengaku DAP komunis. DAP juga bukan parti cauvinis Cina. Jika ya, maka
Karpal Singh itu orang apa?
Apakah
cauvinis Cina dalam DAP bermaksud M. Kulasegaran, Dr P. Ramasamy, Ahmad Ton, P.
Gunasekaran, John Fernandez, Leon Jimat Donald, Dr Edwin Bosi, Zairil Khir
Johari, Abdul Manan Razak, Tengku Zulpuri Shah, V. Sivakumar dan banyak lagi?
Adakah
kerana media massa yang dikawal oleh UMNO-BN menyebabkan ramai orang tidak
sedar bahawa ramai tokoh Melayu telah lama berjuang dalam DAP seperti
Allahyarham Mohd Nor Jetty, Ahmad Nor, Ibrahim Singgeh, dan ramai lagi?
Tidak
dinafikan DAP dan PAP Singapura berkongsi latar sejarah, tetapi amat bodoh dan
dangkal dakwaan bahawa kedua-duanya sama. Malah, Guan Eng pada malam wacana
tempoh ahri terang-terangan mengkritik PAP Singapura kerana mengamalkan
undang-undnag zalim tahanan tanpa bicara Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),
membungkam dan menyekat kebebasan bersuara.
Itu
kata Guan Eng, secara bertentang mata, tanpa selindung-selindung. Berani, tulus
dan tegas. Malah, pada satu wacana lain, Dr Maszlee Malik pernah menjelaskan
bahawa jika DAP berada di Singapura hari ini, ia akan menjadi pembangkang
kepada PAP kerana PAP lebih mirip corak pemerintahannya dengan UMNO-BN (walau
pun amat sedikit amalan rasuah dalam pemerintahan PAP).
Selagi
media massa masih dikawal dan dikuasai oleh UMNO-BN, selagi itu rakyat
Malaysia, khususnya orang Melayu, akan terbenam dalam politik perkauman dan
agenda agama yang disempitkan sebagai senjata politik pemerintah.
Atas
nama kebebasan bersuara, tidak ada salahnya untuk bertanya kepada DAP tentang
hudud. Tetapi atas nama kebebasan dan keadilan, beranikanlah diri untuk
bertanya setiap detik, setiap hari kepada UMNO dan BN tentang perkara yang
sama.
Atau
mungkin lebih baik lagi, sama-sama berjuang untuk menegakkan keadilan atas
dasar-dasar yang berteraskan demokrasi, hak asasi, peluang saksama dan
kedaulatan undang-undang, tanpa dikekang isu-isu yang berniat mengalih
perhatian daripada kebobrokan pemerintah. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment