OLEH: SHAIMON S JUMADI
BATU SAPI:- Penambahan peruntukan RM90 juta sebagai
pinjaman mikro kredit kepada penjaja dan peniaga-peniaga kecil kaum Cina di negara ini Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau
Lin menyambut baik usaha kerajaan berbuat demikian
Dengan penambahan peruntukan ini
menunjukkan walaupun kerajaan mengutamakan agenda Bumiputra, namun kaum lain seperti kaum Cina tidak diabaikan,
kata Linda ketika perbahasan Belanjawan 2016 di Parlimen kelmarin.
Linda mencadangkan kepada Kerajaan
untuk memberi keutamaan kepada peniaga-peniaga dari Sabah secara amnya, dan
khususnya dari kawasan Sandakan yang telah mengalami kemerosotan ekonomi
berikutan dengan harga minyak sawit yang rendah dan kekurangan pelancong ke
kawasan ini akibat daripada ancaman keselamatan di Pantai Timur Sabah.
Menyentuh berkenaan dengan
penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan luar bandar, Linda
menyeru bahawa perhatian diberikan kepada ramai penduduk desa di Sabah yang
masih serba kekurangan. Contohnya di pulau-pulau di Kawasan Parlimen Batu Sapi,
bekalan air bersih dan bekalan elektrik masih sangat terhad.
Justeru itu, beliau memohon kepada
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk memberi keutamaan kepada
kawasan-kawasan yang masih kurang maju ini.
Sementara itu, berkaitan dengan
usaha menggalakkan pelancongan di Pantai Timur Sabah yang memang terkenal
dengan pelbagai produk eko-pelancongan, Linda menyarankan Kementerian
Pengangkutan mempromosikan Lapangan Terbang Sandakan sebagai hub udara untuk
Pantai Timur Sabah.
Beliau juga mencadangkan Hub Udara
Sandakan ini dihubungkan secara terus dengan lebih banyak lapangan terbang
besar, melalui penerbangan syarikat-syarikat penerbangan seperti Malaysia
Airlines, Air Asia, Malindo Air, Jetstar Airway, dan Tiger Airways.
Dalam ucapan beliau juga Linda
merayu kepada pihak berkuasa keselamatan agar dapat berusaha dengan lebih gigih
untuk menyelesaikan kes penculikan di Restoran Ocean King Sandakan,
di kawasan Parlimen Batu Sapi, pada 14hb Mei, 2015, dan menyelamatkan dua orang
mangsa penculikan, iaitu Thien Nyuk Fun, dan Bernard Then Ted Fen.
Linda memohon kepada Kerajaan
Persekutuan supaya menggunakan semua saluran diplomatik dan keselamatan untuk
menyelamatkan mereka. Kejayaan menyelamatkan mereka juga akan dapat menyakinkan
pelancong tentang keselamatan dan menarik mereka ke Sandakan dan Pantai Timur
Sabah.
Beliau turut menyatakan sokongan
penuh kepada Belanjawan 2016 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri
Merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak.
No comments:
Post a Comment