KIRIMAN: ZAR
ALI
KEBERANIAN sungguh Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar tindakan
Putrajaya terhadap bekas ahli Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengikut
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 sedangkan beliau
tidak melakukan jenayah keganasan.
Mantan timbalan perdana menteri itu turut
mempersoalkan sama ada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini begitu
kebal sehinggakan mereka yang membuat laporan terhadap syarikat pelaburan
strategik Kementerian Kewangan itu dianggap satu keganasan.
"Saya juga berasa bimbang dengan tindakan pihak
berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan
mengenai 1MDB.
"Yang terbaharu ialah penahanan Khairuddin di bawah
Sosma 2012 semata-mata kerana tindakan beliau membuat laporan kepada pihak
berkuasa di luar negara berhubung transaksi 1MDB.
"Seingat saya Sosma adalah satu undang-undang yang
diluluskan Parlimen negara kita untuk membendung kegiatan keganasan,"
katanya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada laman
Facebook miliknya.
Beliau berkata, membuat laporan kepada mana-mana pihak
berkuasa berkenaan transaksi sebuah syarikat swasta tidak boleh dianggap
sebagai satu bentuk keganasan.
"Adakah tindakan membuat laporan kepada pihak berkuasa
berhubung transaksi yang dibuat sebuah syarikat swasta merupakan satu kegiatan
keganasan?
"Adakah 1MDB kini menjadi satu institusi yang kebal dan
amat dilindungi pihak berkuasa negara kita? Saya tidak fikir begitu,"
katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Pagoh.
Muhyiddin sebaliknya berkata, 1MDB juga seperti syarikat
lain yang masih tertakluk kepada undang-undang negara.
"Membuat laporan terhadap 1MDB bukanlah satu kegiatan
keganasan dan 1MDB bukanlah sebuah institusi yang kebal.
"1MDB adalah satu entiti yang tertakluk kepada
undang-undang negara," katanya.
Susulan titah Majlis Raja-Raja menggesa Putrajaya mengambil
tindakan terhadap pihak terbabit dalam isu 1MDB, Muhyiddin berkata rakyat yang
khuatir perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
"Maka pada hemat saya adalah amat wajar bagi
warganegara yang prihatin menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu 1MDB atau
membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa supaya menyiasat setiap dakwaan
terhadap 1MDB secara telus, adil dan berkecuali," katanya.
Beliau berkata, bukan seperti tindakan yang dilakukan
Putrajaya terhadap Khairuddin, pengadu seharusnya diberi perlindungan dan
bukannya dihukum.
"Mereka yang membuat laporan mengenai 1MDB sewajarnya
mendapat perlindungan undang-undang dan bukan sebaliknya," katanya.
ADDIN.
No comments:
Post a Comment