SKANDAL
pembelian hartanah oleh MARA yang melibatkan MARA terlebih bayar sehingga RM129
juta pada kala biasiswa dan pinjaman pendidikan MARA dipotong telah didedahkan
dalam bulan Jun 2015. Selain dari beberapa pengumuman pendek mengenai
perlantikan juru audit bebas untuk menyemak urusniaga-urusniaga itu, sehingga
kini rakyat masih belum mendapat maklumat mengenai tindakan yang telah dan akan
diambil terhadap pegawai-pegawai tinggi MARA yang terbabit/disyaki terbabit di
dalam skandal ini.
Walaupun jumlah RM129 juta
yang disyaki diselewengkan dalam bentuk bayaran melebihi harga pasaran tidaklah
setinggi skandal 1MDB yang mencecah dana sehingga RM50 bilion, nilainya tetap
besar kerana itu jumlah yang boleh dilaburkan kembali kepada rakyat dalam
bentuk biasiswa dan pinjaman pendidikan seperti mandat asal MARA.
Rakan saya di National
Oversight & Whistleblowers (NOW), Saudara Akmal Nasir telah ke Melbourne
dalam bulan Julai 2015 untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai urusniaga dan
siapa yang terbabit. Selain dari nama-nama yang telah diketahui umum, saya
terkejut kerana nampaknya tiada sebarang tindakan diambil terhadap seorang
pegawai tinggi MARA yang pernah mempunyai kepentingan perniagaan bersama dengan
individu-individu yang memiliki syarikat-syarikat yang terbabit dengan
pembelian hartanah ini.
Semakan saya di laman
Pelaburan MARA Berhad, syarikat pelaburan induk yang menguruskan pelaburan dan
aset MARA dan dimiliki sepenuhnya oleh MARA masih menunjukkan seorang yang
bernama sebagai Nazim Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Kumpulan
Pelaburan MARA Berhad.
Jika siasatan dalaman oleh
MARA di bawah kepimpinan Tan Sri Anuar Musa dibuat dengan teliti, siasatan itu
sudah tentu akan menunjukkan bahawa Nazim Rahman pernah mempunyai kepentingan
perniagaan bersama di dalam syarikat yang terbabit di dalam urusniaga hartanah
MARA di Australia. Malah, siasatan ringkas juga akan menunjukkan bahawa Nazim
Rahman kenal rapat dan mempunyai kepentingan perniagaan bersama dengan
individu-individu yang lain dalam syarikat-syarikat lain selain dari syarikat
yang terbabit dalam urusniaga hartanah MARA.
Ini menimbulkan satu
percanggahan kepentingan (“conflict of interest”) apabila Ketua Pegawai
Eksekutif Pelaburan MARA yang menguruskan pelaburan aset MARA mempunyai
kepentingan perniagaan di dalam syarikat yang berurusan dengan MARA dalam
pembelian hartanah di Australia.
Malangnya, skandal ini
nampaknya cuba didiamkan begitu sahaja dan sehingga kini tidak ada seorang pun
yang dihadapkan ke mahkamah atau diambil tindakan oleh mana-mana pihak berkuasa
baik MARA sendiri atau SPRM.
Oleh yang demikian, saya
akan mendedahkan dokumen-dokumen yang diperolehi dari Australia termasuklah
dokumen mahkamah di sana yang secara jelas menamakan individu-individu yang
terbabit . Saya berharap tindakan diambil terhadap mereka ini termasuklah
seorang EXCO Pemuda Umno yang dinamakan secara jelas di dalam dokumen-dokumen
tersebut.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
No comments:
Post a Comment