NAJIB TIDAK BACA BETUL-BETUL GST DAKWA KETUA PEMBANGKANG WAN AZIZAH

Oleh: Abdul Rahim Sabri

KUALA LUMPUR:- Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menempelak kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa pembangkang menerima pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan sehingga memasukkan perkara itu dalam dokumen bajet alternatif mereka.

Wan Azizh berkata Najib yang juga menteri kewangan "tidak membaca betul-betul" cadangan Pakatan Harapan dalam dokumen bajet yang didedahkan semalam.

"Dia (Najib) tidak baca betul-betul. Memang kita tahu, telah diletakkan semua instrumen GST. Kalau kita nak berhenti begitu sahaja, kita (dianggap) tidak bertanggungjawab.

"Jadi kalau kita buat sebetul-betulnya, kita buat 'zero rated'. Dia ikut kita buat apa," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Najib itu.

Pakatan Harapan dalam bajetnya mengumumkan langkah untuk menyelesaikan krisis ekonomi antaranya mengenakan kadar sifar atau ‘zero rated’ kepada semua barangan GST untuk mengukuhkan aliran tunai.

Najib ketika membentangkan bajet menyatakan kerajaan tetap bertegas dengan pendirian bahawa kerajaan mempunyai keberanian serta iltizam politik untuk melaksanakan GSTsekalipun keputusan itu ternyata mendapat pelbagai cabaran dan tidak popular.

"Malah pihak seberang sana, yang mula-mula dulu menentang dengan begitu lantang dan keras, kini juga mula menerima GST, hatta telah memasukkannya pula dalam dokumen bajet mereka.

"Ini jelas menunjukkan, pendirian pembangkang yang sentiasa berubah-ubah dan tidak konsisten," katanya sambil dibantah oleh pembangkang.

Wan Azizah yang adalah presiden PKR juga tidak yakin kerajaan mampu untuk mengurangkan bajet defisit kepada 3.1 peratus kerana mereka biasanya akan mengemukakan bajet tambahan.

Katanya, negara berdepan dengan defisit sejak suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim disingkirkan sebagai menteri kewangan.

"Negara mengalami defisit sejak sekian lama dan sepertimana yang sama beritahu, pengurangan defisit 3.1 peratus tidak mungkin tercapai kerana ia biasanya hadir dalam bentuk yang lain iaitu bajet tambahan," katanya.

No comments:

Post a Comment