MAHKAMAH KEMBALI BUAT TUNTUTAN BALU PI BALA

KIRIMAN  ZAR ALI · 
Jumaat, 02 Oktober 2015.a


MAHKAMAH  hari ini mengembalikan tuntutan saman RM2 juta dipohon balu kepada saksi utama kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, iaitu penyiasat persendirian mendiang P Balasubramaniam, sebagai ganti rugi sepanjang 5 tahun mereka sekeluarga tinggal dalam buangan di India.

Panel 3 hakim dipengerusikan Vernon Ong Lam Kiat membenarkan rayuan A Santamil Selvi itu selepas responden, pengusaha permaidani Deepak Jaikishan, tidak membantah permohonan itu.

Deepak, yang mewakili dirinya, memberitahu panel hakim beliau berhasrat untuk mengalah dalam pendiriannya berhubung kes itu.“Saya bersetuju dengan tuntutan plaintif (Santamil dan anak-anaknya), saya tidak akan mencabar rayuan itu,” katanya kepada hakim.Ong: Adakah kamu sedar akibatnya?

Deepak: Saya ada membuat kenyataan di media sebelum ini. Saya tidak boleh menafikan kenyataan berkenaan, kalau tidak akan dikatakan menghina mahkamah.

Mahkamah tidak memerintahkan kos kepada Santamil, dan mengarahkan perkara itu dibawa ke Mahkamah Tinggi.Pengurusan kes ditetapkan pada 23 Oktober.

Peguam Americk Sidhu yang mewakili Santamil memberitahu The Malaysian Insider, Mahkamah Tinggi perlu mengadakan perbicaraan.“Mahkamah Tinggi akan mendengar tuntutan Santamil terhadap Deepak saja,” kata peguam.

Tuntutan itu difailkan pada Julai tahun lalu mungkin akan mendedahkan peranan beberapa individu yang menghantar Santamil dan keluarganya hidup dalam buangan susulan kontroversi menyelubungi 2 akuan berkanun (SD) dibuat Balasubramaniam membabitkan Altantuya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini juga termasuk mengapa Balasubramaniam dipaksa menarik semula SD pertamanya yang membangkitkan mengenai pembabitan Najib dengan Altantuya, dan mengapa mendiang dan keluarga dipaksa meninggalkan negara pada 2008 untuk selama 5 tahun.Balasubramaniam meninggal dunia kerana serangan jantung pada 15 Mac, 2013, seminggu selepas beliau dan keluarga kembali dari India.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hasnah Mohamed Hashim pada Disember membenarkan permohonan Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, adik perdana menteri Datuk Johari dan Datuk Nazim Razak, peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham, anaknya Sunil Abraham, pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat dan peguam M Arulampalam untuk membatalkan tuntutan balu berkenaan.

Hasnah berkata Santamil kekurangan kapasiti untuk memfailkan tindakan bagi pihak mendiang suaminya.Mahkamah Rayuan pada April mengekalkan perintah membatalkan permohonan itu oleh Mahkamah Tinggi dengan alasan notis rayuan Santamil cacat.

Bagaimanapun, Deepak bukan responden dalam rayuan Santamil ke Mahkamah Rayuan.Pada 6 Mei, Deepak memecat peguamnya Gabriel Daniel dan firma M/s Paul Ong dan Associates daripada mewakilinya dalam tuntutan itu.
Deepak berkata beliau akan memfailkan usul untuk mengemukakan bukti lanjut beliau bukan pihak sukarela yang menolak tuntutan Santamil di Mahkamah Tinggi.

Bala menjadi terkenal selepas bekerja untuk penganalisis politik terkemuka, Abdul Razak Baginda dalam kes pembunuhan Altantuya. Beliau menarik kembali SD pertamanya mengenai perkara itu pada 4 Julai 2008.Dalam SD keduanya, Bala mendedahkan beliau mahu “menarik kembali keseluruhan kandungan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai, 2008.

"Saya dipaksa mengeluarkan akuan bersumpah tersebut dalam keadaan terpaksa,” katanya.SD kedua itu juga menyatakan semua kenyataan dibuat sebelumnya tidak tepat dan tidak benar.

Mahkamah Persekutuan awal tahun ini menjatuhkan hukuman mati terhadap 2 bekas polis komando, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar yang didapati bersalah membunuh Altantuya.

Sirul, yang melarikan diri ke Australia sebelum hukuman dijatuhkan, kini ditahan di pusat tahanan imigresen susulan notis merah yang dikeluarkan Interpol terhadap penahanannya. – TMI


·          

No comments:

Post a Comment