TERSENARAI NAJIB USUL UNDI TAK PERCAYA PADA SIDANG DEWAN RAKYAT


Written By canang.

BANGI, Sabtu – Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diterima dan disenaraikan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat yang akan mula bersidang, Isnin ini.

Usul itu diletakkan sebagai usul ke-25 daripada 28 usul dalam kertas aturan urusan mesyuarat untuk dibahaskan, selepas menerimanya daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada usul itu akan dibahaskan atau tidak.

Loy Sian menyenaraikan beberapa sebab untuk memulakan usul termasuk wang RM2.6 bilion yang diterima Najib dalam akaun peribadinya.

“Bahawa Dewan ini mengemukakan Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas alasan penerimaan ‘Wang Derma’ berjumlah RM2.6 billion yang pada mulanya dinafikan, kemudiannya mengugut untuk menyaman akhbar Wall Street Journal dan akhirnya mengakui wang tersebut diperolehi daripada individu yang berasal dari Timur Tengah.

“Dengan tidak menjelaskan mengapa ‘Wang Derma’ ini dimasukkan ke akaun peribadi dan bukan atas nama parti, Dewan juga tidak berpuas hati ke atas siasatan skandal 1MDB yang berlaku di mana ‘Special Task Force’ yang sepatutnya menyiasat skandal ini dibubarkan tanpa memberi sebarang alasan sehingga Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan, pegawai SPRM dipindahkan, pihak polis mengganggu siasatan SPRM dan Bank Negara, Public Account Committee (PAC) yang sedang menjalankan siasatan vote noterhadap kes 1MDB tidak berfungsi akibat daripada empat anggota PAC yang terbabit telah dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri,

Pengarah Cawangan Khas (SB) diberhentikan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri tanpa diberi tugasan.

“Disebabkan masalah yang dinyatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjejaskan imej Negara di dunia dan menyebabkan pelabur tidak yakin terhadap kerajaan sekarang sehingga ekonomi menjadi tidak stabil, serta pasaran saham menjunam teruk dan kejatuhan nilai wang ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat.

“Maka rakyat Malaysia tidak lagi percaya terhadap Perdana Menteri dan dengan ini Dewan hendaklah mengambil ketetapan untuk mengemukakan Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri,” kata usul yang dikemukakan.

September lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata hanya beliau saja yang mempunyai kuasa untuk menolak sebarang usul, termasuk usul undi tidak percaya terhadap Najib.
Sehubungan itu, katanya, tiada mana-mana menteri yang boleh menolak apa-apa usul di Dewan Rakyat kerana yang berkuasa mengenai perkara itu adalah Speaker.

Beliau bagaimanapun berkata, usul undi tidak percaya sepatutnya tidak dibincangkan selagi Dewan Rakyat belum bersidang dan Speaker belum menerima usul itu.

Dengan penyenaraian usul berkenaan dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat bermula lusa, ini bermakna Pandikar Amin telah menerima usul berkenaan, tetapi ia diletakkan di kedudukan yang sukar untuk dibahaskan.


No comments:

Post a Comment