OLEH: MUSLI OLI
Sunday August 07/2016
SUNGGUHPUN telah meninggal dunia lebih 20 tahun,
Allahyarham Tun Mustapha masih berpengaruh dan mempunyai ramai pengikut di
Sabah. Tak heranlah, sejak kebelakangan ini namanya kembali disebut untuk
meraih simpati dan sokongan rakyat. Namanya dijadikan sebab dan alasan kenapa
mereka menentang pucuk pimpinan kerajaan dan UMNO.
Keluarlah ayat-ayat retorik konon untuk membela dan mencari
keadilan untuk Tun Mustapha. Mereka kata Bapa Kemerdekaan Sabah itu telah
tertipu dan teraniaya oleh Kuala Lumpur setelah Allahyarham membawa UMNO masuk
ke Sabah.
Pengorbanan Tun Mustapha memang amat
besar. Sanggup membubar parti USNO untuk memberi laluan kepada UMNO masuk ke
Sabah tetapi dirinya tersingkir dari parti itu.
Sebaik sahaja Tun Ghaffar Baba berundur
dan bersara selepas pemilihan UMNO 1993, Tun Mustapha yang memegang jawatan
Timbalan sepatutnya dilantik menggantikan Pak Ghaffar sebagai Pengerusi
Perhubungan Negeri tetapi Kuala Lumpur telah memilih Tun Sakaran Dandai.
Apapun orang kata, Tun Mustapha seorang
pemimpin yang berjasa kepada Sabah terutama kepada politik orang Islam. Beliau
meletakkan foundation atau asas yang kukuh sehingga membolehkan bumiputera
Islam kembali mengetuai pucuk pimpinan negeri hari ini.
Setelah USNO kalah pada 1976, Tun
Mustapha cuba bangkit pada pilihan raya 1981, 1985, 1986 dan 1990 untuk
meletakkan USNO kembali berkuasa, tetapi beliau gagal. USNO tidak mampu
bersaing dengan parti Berjaya dan kemudiannya PBS.
Hari ini walaupun Tun Mustapha tiada
dalam kapal besar UMNO namun kapal besar itu telah berjaya menjadi bahtera
perjuangan bumiputera Islam Sabah dan telah dapat menyatukan rakyat berbilang
kaum di negeri itu.
Kapal besar UMNO telah berjaya
dikemudikan dengan baik oleh pemimpin-pemimpin Bumiputera Islam selain dirinya
termasuk anak didik Tun Mustapha sendiri seperti Datuk Seri Musa Aman.
Parti PBS dan Pairin yang satu ketika
menjadi saingan utama telah kembali menyertai BN dan menerima pemimpin UMNO
sebagai ketua di Sabah.
Orang-orang yang menjual nama Tun
Mustapha untuk meraih simpati rakyat melawan UMNO sepatutnya bertanya soalan
kepada diri mereka "Mampukah orang Islam berkuasa selama 25 tahun jika Tun
Mustapha tidak membawa UMNO masuk ke Sabah?"
Mungkin Tun Mustapha telah tertipu dan
terpedaya oleh politik Kuala Lumpur. Mungkin politiknya telah dikorbankan.
Tetapi perjuangan dan keikhlasannya terhadap perjuangan rakyat Sabah khususnya
terhadap politik orang Islam telah berjaya mencapai matlamat.
Hakikatnya Tun Mustapha bukan sahaja
mengorban harta benda dan wang ringgit untuk meletakkan foundation yang kukuh
untuk politik bumiputera Islam sejak penubuhan USNO tetapi juga sanggup
mengorbankan politik peribadi demi survival bangsa dan agamanya.
Saya berharap jasa Tun Mustapha
dikenang dalam konteks itu. Bukan mengenangkan nasib yang menimpa dirinya
tetapi mengenangkan perjuangannya meletakkan politik orang Islam pada kedudukan
sekarang...
Itulah legasi sebenar perjuangan Tun
Mustapha. Alfatihah..
Renung-renungkan...
Selamat
Malam.
No comments:
Post a Comment