UCAPAN PERBAHASAN AHLI PARLIMEN SANDAKAN YB STEPHEN WONG TIEN FATT MERANGKAP PENGERUSI DAP SABAH DI KUALA LUMPUR PADA 31 OKTOBER 2016


By ADMIN
Khamis Oktober 03/2016


SPRM perlu diberi lebih kuasa siasat dan dakwa perasuah

Rasuah adalah musuh yang terbesar negara. Saya berasa dukacita Perdana Menteri kelihatan tidak serius terhadap masalah ini. Dalam ucapan bajet beliau selama 2 jam, beliau langsung tidak menyentuh masalah yang terbesar ini manakala bajet SPRM telah dikurangkan daripada RM252 juta pada tahun 2016 kepada RM216 juta tahun hadapan.

Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada SPRM yang telah berjaya menumpaskan rasuah melibatkan pegawai-pegawai Jabatan Air Sabah. Saya amat terkejut apabila nilai rampasan wang tunai dan barang kemas berjumlah ratusan juta ringgit wang tunai bagi dua orang pegawai.

Bayangkan,dua orang pegawai yang diamanahkan telah menyonglap sehingga ratusan juta ringgit. Ini adalah bukti negara berada dalam kancah rasuah yang berleluasa.


Menurut laporan media, daripada RM3.3 bilion peruntukkan dari kerajaan persekutuan, hanya 40 peratus daripada peruntukkan itu digunapakai untuk pembangunan, manakala 60 peratus dimasukkan dalam poket pegawai tersebut. Nilai 60 peratus ini adalah berjumlah RM2 bilion bersamaan pembayaran cukai GST orang Sabah setahun. Ini bermaksud, jika tiada rasuah, maka rakyat Sabah tidak perlu membayar cukai GST untuk setahun! Terbongkarnya skandal rasuah Jabatan Air Sabah seolah-olah member justifikasi bahawa rakyat Sabah yang miskin terus terpaksa membayar cukai, namun rupa-rupanya cukai itu bukan untuk membangunkan Sabah. Perkara ini amat menyedihkan.

Saya menyeru supaya SPRM diberi kuasa yang bebas dan mutlak untuk menyiasat semua pegawai-pegawai di jabatan-jabatan kerajaan termasuk menteri-menteri yang mempunyai kemungkinan terlibat dalam aktiviti tidak bermaruah ini.

Saya juga mendesak SPRM supaya mengambil serius perkara ini dan menyiasat bagaiman dua pegawai tersebut mampu menyimpan sejumlah besar wang yang banyak, mengapa duit rasuah ini didapati di pejabat mereka, adakah ini disediakan untuk diberi kepada sesiapa? Adakah orang yang berpangkat lebih tinggi dibelakang kes ini? Saya tidak percaya dua pegawai ini mampu makan duit rasuah sehingga berbilion-bilion, saya percaya pasti ada seseorang yang berpangkat tinggi di belakang mereka.

Berdasarkan kejayaan membongkarkan kes rasuah terbesar ini, SPRM perlu terus berusaha tanpa rasa gentar dan berpilih untuk terus menyiasar dan bongkar sehingga tertangkapnya semua pegawai-pegawai yang terlibat. Ini adalah penting kerana ia demi maruah dan keadilan rakyat Sabah.

Saya percaya kes ini hanyalah “tip of iceberg”, sebahagian kecil dari kes-kes rasuah yang berlaku dalam negara kita. Saya berharap agar SPRM meneruskan usaha murni mereka membanteras aktiviti rasuah di negara ini termasuk menyiasar skandal 1MDB dan MO1.
Sudah tentu, tanpa gejala rasuah, negara akan lebih Berjaya dan makmur.
Sekian terima kasih.


No comments:

Post a Comment