OLEH: KAMARUDDIN
ZAMAN (PETALING JAYA)
www:sabahinsier14.blogspot.com
Monday July 18/2016
KUALA LUMPUR:- Senarai
ahli jawatankuasa (AJK) parti baharu bakal ditubuhkan yang mengandungi nama dan
jawatan pemimpin tersebar di media sosial.
Menurut senarai itu, parti baharu yang diumumkan
bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Khamis lalu yang belum pun
ditubuhkan itu dinamakan Parti Melayu Baru Bersatu.
Bekas Menteri Perdagangan, Tan Sri Rafidah Aziz;
bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Gabenor Bank Negara,
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sepatutnya menganggotai jawatankuasa parti baharu
itu.
Nama bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin; bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut muncul dalam senarai
itu.
Nama penari, Bilqis Hijjas yang dibebaskan bulan
lalu daripada tuduhan melepaskan belon kuning sebagai bantahan terhadap
kehadiran Datuk Seri Najib Razak dan isteri dalam sebuah acara di pusat
beli-belah Pavilion serta aktivis, Hihamuddin Rais turut berada dalam senarai
itu.
Bagaimanapun, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim
Ali yang turut dinamakan, menolak senarai itu dan menyeru orang ramai
menggunakan logik akal untuk menentukan kesahihannya.
“Anda perlu menggunakan logik anda. Ini adalah
kerja-kerja mereka yang berfikiran kotor, buruk dan hodoh,” katanya ketika
dihubungi FMT.
Walaupun baru mengumumkan akan kembali menyertai
sebuah parti politik kelmarin, beliau bagaimanapun menegaskan belum memutuskan
parti mana yang menjadi pilihannya.
“Saya tidak tergesa-gesa. Ada banyak pilihan.
Itu senarai disediakan orang bodoh,” katanya.
Setiausaha akhbar Muhyiddin, Hafiz Abdul Halim
turut menolak khabar angin itu sebagai tidak benar.
“Muhyiddin tidak menghadiri sebarang mesyuarat
berkaitan perkara ini. Bagaimana wujud pelantikan itu? Tentunya ia tidak
benar,” tegasnya.
Mereka yang berada dalam kem Shafie turut
menafikan senarai itu.
Aktivis belia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
berkata: “Senarai itu tidak benar. Ia palsu sama sekali.”
Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk
Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Umno, Anina Saadudin turut menafikan
kesahihan senarai itu.
Anina mendakwa mereka yang menyertai parti
baharu itu tidak gila jawatan, sebaliknya sanggup mencari kebenaran tanpa
memegang sebarang jawatan.
“Ramai betul pihak di sana (Najib) yang takut
dengan parti baharu. Parti baharu ini bukan seperti Najib hinggakan ada orang
terkejut tiba-tiba jadi menteri.
“Dalam parti baharu, semuanya dibincangkan
secara muafakat. Hati kami padu. Kami juga tidak laparkan jawatan.
“Jadi, tidak timbul langsung isu tentang jawatan
parti. Yang penting, kami cuma mahukan parti untuk melawan Najib,” katanya.
No comments:
Post a Comment