DANA YAPEIM RM440,000 DIGUNAKAN UNTUK PERONGKOSAN LAWATAN MENTERI



YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) hari ini mengaku dokumen yang digunakan Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) dalam dakwaannya terhadap lawatan Datuk Seri Jamil Khir Baharom ke luar negara adalah "betul tetapi tidak mengandungi dokumen sepenuhnya".

Pengarah undang-undang Yapeim Datuk Mohd Naser Disa berkata, siri dakwaan Pengarah NOW Akmal Nasir itu bersifat "separuh masak" kerana tidak "mendapatkan penjelasan Yapeim sebelum membuat kesimpulan".

"Dokumen itu dokumen yang betul, tetapi tak mengandungi dokumen sepenuhnya.

"Daripada RM440,000 yang didakwa digunakan membiayai lawatan menteri ke Iowa dan Minnesota, menteri sebenarnya hanya pergi ke Washington DC saja," katanya kepada pemberita selepas mengiringi ketua pengarah Yapeim membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, pagi ini.
Menurut Naser, Yapeim tidak risau akan reputasi mereka tetapi lebih risaukan perasaan penerima sumbangan Yapeim yang kini tertekan dengan dakwaan tersebut yang juga menjejaskan industri pajak gadai Islam Ar-Rahnu.

"Apa yang NOW buat sekarang ini menjejaskan penerima (bantuan Yapeim). Ia juga boleh menjejaskan industri Ar-Rahnu," katanya kepada pemberita.

Naser juga memberitahu wartawan, Jamil sendiri sebenarnya membayar semula sebahagian daripada perbelanjaan yang dibayar Yapeim bagi lawatan itu.

"Contohnya, perbelanjaan RM440,000 itu, dia (Akmal) tidak mengambil kira jumlah yang dibayar balik menteri," katanya.

Ditanya jika pihak Yapeim boleh memberikan perincian jumlah yang dijelaskan Jamil itu, Naser berkata perkara itu sudah dijelaskan dalam kenyataan media Yapeim semalam (17 November).

Namun, semakan The Malaysian Insider mendapati, Yapeim sehingga kini belum pernah mengumumkan jumlah yang didakwa dibayar semula Jamil itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Yapeim Datuk Abibullah Samsuddin dalam laporannya menggesa polis bertindak terhadap NOW yang didakwa "mencuri" dokumen Yapeim dan "memutarbelitkan fakta bagi memfitnah" Yapeim dan Jamil.

NOW sebelum ini mendakwa Yapeim membiayai lawatan Jamil yang menelan belanja RM410,978 ke Amerika Syarikat antara 21 hingga 29 Mei 2014 yang dibayar menggunakan dana Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin).

Yapeim dalam jawapannya berkata, perbelanjaan tersebut mengikut prosedur ditetapkan.

NOW juga mendakwa Yapeim membelanjakan RM290,000 bagi mengadakan kursus kahwin di Paris dan mempersoalkan sama ada Jamil turut diterbangkan ke Paris bagi menghadiri kursus itu.

Yapeim dalam jawapannya berkata, program itu memanfaatkan pelajar Malaysia di luar negara dan 10 orang melangsungkan perkahwinan daripada kursus itu.

Kursus itu juga katanya, antara lain, bertujuan mengekang budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di kalangan rakyat Malaysia. – 18 November, 2015.

No comments:

Post a Comment