KERJA-KERJA PEMBERSIHAN SISTEM PERPARITAN BATU SAPI DIPERTINGKATKAN UNTUK ELAK BANJIR

OLEH:  TEO  KIN KEONG @ Yusoff Abdullah Teo


Keterangan gambar
Linda serta pegawai-pegawai sedang meninjau tempat-tempat yang dilanda banjir kilat dalam kawasan Parlimen Batu Sapi




BATU SAPI:-  Kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan di kawasan Parlimen Batu Sapi akan dipertingkatkan untuk menangani masalah banjir kilat seperti yang telah berlaku dua hari lepas.

Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri telah mengenalpasti empat lokasi kritikal yang dilanda banjir kilat dan sebagai langkah sementara akan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan rutin seperti pembersihan sistem perparitan untuk mengatasi masalah tersebut 

Demikian dinyatakan oleh wakil dari jabatan berkenaan ketika memberi taklimat kepada Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin berhubung kejadian banjir kilat yang melanda Sandakan  awal minggu ini di pejabat beliau di Taman Grandview kelmarin.


Menurut pegawai itu, pihaknya telah mengemukakan laporan kepada pihak atasan untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan bagi  pelaksanaan kerja-kerja mengatasi masalah itu untuk masa jangka panjang.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sandakan pula melaporkan bahawa tiada kes serius telah dilaporkan dalam kejadian banjir kilat  Rabu lepas selain dari tanah runtuh berhampiran Kampung Batu Sapi Darat tetapi tempat kejadian itu terletak jauh dari rumah-rumah kampung dalam kawasan itu.

Dalam pada itu, Datuk Linda meminta Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri dan Majlis Perbandaran Sandakan mengambil langkah-langkah menaiktaraf sistem perparitan di beberapa kawasan di Batu Sapi termasuk taman-taman perumahan untuk sebagai penyelesaian mengatasi masalah banjir.

Beliau juga meminta Majlis Perbandaran Sandakan supaya memastikan sistem perparitan yang teratur disediakan bagi setiap perancangan pembangunan yang akan dilaksanakan.

Linda telah membuat tinjauan ke tempat-tempat dalam kawasan Parlimen Batu Sapi yang dilanda banjir kilat pada Jan 14.  Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari MPS, JKR , Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri serta  Ketua Pegawai Perhubungan Pejabat Ahli Parlimen Batu Sapi Kong Nyuk Thou.

TAMAT


No comments:

Post a Comment