KAMPUNG SG MEMANJANG DAPAT BEKALAN AIR BERSIH......ZAKARIA

Monday January 25.2016


OLEH: AZMIE AZMAN
www.sabahinsider14.blogspot.com



Zakaria bersama Dr Johari (kanan) dan Dr Jenarun semasa merasmikan Majlis Penyerahan Projek Khas Bekalan Air Kampung Sungai Memanjang kelmarin
 
 
 
SANDAKAN:  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Khas Bekalan Air Kampung Sungai Memanjang di Jalan Beluran kelmarin.
 

Projek ini adalah hasil usahasama Kementerian Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Kawasan Sandakan, Sabah Public Health Professional Society (SPHPS) dan pejabat ADUN Gum Gum untuk mencegah wabak Kolera yang telah berlaku di kampung tersebut.
 
Proses ini menggunakan inovasi sistem sedia ada dimana sumber air diperoleh dari sungai yang dipamkan ke tangki pengklorinan sebelum disalurkan ke dua buah tangki simpanan untuk kegunaan penduduk kampung.
 
Ini merupakan projek pertama dilaksanakan oleh pihak Kesihatan di Sandakan membabitkan sumber air dari sungai.
 
Dalam ucapan beliau Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, berkata berdasarkan statistik kejadian penyakit berjangkit iaitu penyakit Kolera di daerah Sandakan , tiga dari jumlah 22 kes yang telah dilaporkan pada tahun 2015 berlaku dari Kampung Sungai Memanjang akibat air sungai yang tercemar oleh kuman atau bakteria penyebab V. Cholerae.

Penduduk menggunakan sungai sebagai kegunaan seharian dan pada masa yang sama berlaku fenomena El Nino (kemarau berpanjangan). Selain itu,  ketiadaan sistem sanitasi yang sempurna dan dibantu oleh faktor pengetahuan, amalan dan sikap, kata Zakaria.

Justeru, Zakaria menyeru kepada semua penduduk kampung agar sentiasa mematuhi nasihat yang diberi oleh anggota kesihatan berkaitan amalan dan sikap bagi menjamin tahap kesihatan yang berkekalan.

Kerajaan amat menitikberatkan aspek kesihatan dengan menyediakan yang terbaik buat rakyatnya. Permasalahan yang dikongsi oleh masyarakat berkaitan penyakit yang terjadi membuatkan pelbagai usaha sehingga tercapainya hasil pada harini, kata Zakaria.

Menurut Zakaria walaupun ianya adalah bersifat sementara, pihaknya berharap melalui usaha serta kerjasama begini akhirnya Kg Sungai Memanjang akan menerima bekalan air paip kelak. Sesungguhnya amatlah besar harapan agar penduduk menggunakan kemudahan yang digunakan sebaik-baiknya dan tidak membenarkan sebarang vandalisme terjadi.

Ketika ditemui media selepas majlis perasmian,  Zakaria juga memberitahu bahawa Projek Khas Bekalan Air ini merupakan langkah sementara manakala inisiatif untuk jangka panjang ialah melaksanakan projek pembinaan pembekalan air bersih kepada penduduk di Kampung Sungai Memanjang , Kampung Jaya Bakti dan kawasan sekitarnya.

“Projek Pembinaan Pembekalan Air Bersih yang dijangka akan dilaksanakan dalam tahun ini membabitkan kos berjumlah RM 30 juta melalui peruntukkan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan,” tambah Zakaria.

Antara yang hadir pada majlis ialah Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr. Johari bin Awang Besar, Ketua Penolong Pengarah Kanan,  Rancangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Bahagian Kesihatan Awam merangkap Presiden SPHPS Dr Jenarun Jelip, Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Gum Gum Kamal M Said, Pengerusi JKKK Kg Sungai Memanjang Aspar bin Jainal serta pemimpin masyarakat setempat.
 
 


No comments:

Post a Comment