PENTADBIRAN TIDAK TELUS GEJALA RASUAH MENINGKAT SASARAN PEMBANGUNAN RMK-11 PASTINYA TIDAK TERCAPAI


Sunday January 10.2016

OLEH: KAMARUDIN ZAMAN
www.sabahinsider14.blogspot.com

PETALING JAYA:- Berikutan pendapatan Negara  semakin merosot akibat salah unjuran, selain gejala rasuah semakin hari semakin menjadi-jadi serta amalam pentadbiran tidak telus pastinya Malaysia tidak akan mencapai  sasaran dan tahap pembangunan yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11)

RMK11Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, berkata Malaysia memperuntuk sumber pendapatan yang cukup tinggi iaitu RM260 bilion bagi menjayakan RMK-11 tetapi suasana ekonomi negara sangat lemah.

Mengikut RMK-11, katanya, pertumbuhan ekonomi disasar antara lima hingga enam peratus setahun tetapi ia tidak mudah untuk dicapai berikutan kadarnya pada masa ini hanya 3.9 peratus setahun.

“Sasaran itu tidak mudah dicapai memandangkan ekonomi dunia tidak menentu, maka sukar untuk negara kita mencapai prestasi yang disasar,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Apatah lagi, Timbalan Pengerusi DAP Perak itu, berkata unjuran pendapatan dibuat berdasarkan andaian harga minyak mentah dunia AS$70 setong sedangkan harganya jauh lebih rendah pada masa ini.

“Malaysia sebagai pengeksport minyak engalami pengurangan pendapatan yang besar kerana kejatuhan harga. Kita juga tidak tahu sama ada harga itu akan menjunam lagi pada masa depan.

“Jika berterusan, sudah pasti ia memberi impak negatif terhadap makro ekonomi negara. Pembangunan negara juga akan terencat,” katanya.

Beliau juga tidak yakin kerajaan Persekutuan mampu mencapai sasaran bajet seimbang menjelang 2020, lebih-lebih lagi lima tahun akan datang adalah tempoh yang penuh pelbagai dugaan dan cabaran ekonomi.

“Ditambah pula penurunan nilai mata wang Ringgit menjejaskan keutuhan ekonomi negara. Walaupun ia dijangka meningkatkan eksport tetapi ia tidak semestinya membawa keuntungan lumayan.

“Kita harus sedar import dari negara lain akan menjadi semakin mahal. Ini akan meningkatkan harga barangan import di pasaran tempatan. Kadar inflasi negara akan meningkat,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan harus berhemat dalam segala perbelanjaan pengurusan dan pembanguan termasuk mengatasi masalah rasuah, pembaziran dan kebocoran yang melemahkan lagi ekonomi negara.
Top of Form