KOTA KINABALU
– Lima pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu bulan lepas akan
dihalang daripada meninggalkan Sabah, kata Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk
Jalaluddin Abdul Rahman hari ini. Katanya, langkah itu bagi membolehkan polis
menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut.
“Laporan polis
telah dibuat dan kami percaya lima individu ini masih berada di Sabah dan
mungkin sedang cuba untuk tinggalkan Sabah.
“Kami telah
meminta bantuan Jabatan Imigresen untuk menghalang lima individu ini daripada
meninggalkan Sabah agar polis boleh menahan mereka,” katanya pada sidang akhbar
di sini hari ini.
Jalaluddin
berkata kes disiasat mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
denda sehingga RM400 jika sabit kesalahan.
Lima pelancong
dari negara barat itu bertindak menanggalkan pakaian masing-masing apabila
berjaya tiba di puncak Gunung Kinabalu pada pagi 30 Mei lepas. Insiden tersebut
membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di Sabah, khususnya penduduk
tempatan Kundasang kerana perlakuan pelancong tersebut yang tidak menghormati
adat resam tempatan.
Di KUNDASANG,
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun
berkata ramai yang membuat pelbagai spekulasi mengaitkan insiden bogel itu
dengan kejadian gempa bumi di Ranau, kira-kira 108km dari sini, pagi tadi.
“Allah lebih mengetahui jawapannya kerana
setiap kejadian yang berlaku di muka bumi ini adalah ketentuan dan
kehendakNya,” kata beliau.
Gempa bumi
sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku 7.15 pagi ini di Ranau dan
gegaran itu turut dirasai di kebanyakan tempat di pantai barat Sabah termasuk
Tambunan, Tuaran, Pedalaman, Kota Kinabalu dan Kota Belud. Menurut Pusat Gempa
Bumi dan Tsunami Nasional, pusat gempa itu terletak 16km di barat laut Ranau. –
BERNAMA
No comments:
Post a Comment