PERMAS ALU-ALUKAN MENYERTAAN UMAT ISLAM JADI AHLI ....... ABD HALIM

OLEH: SHAIMON S JUMADI

SANDAKAN: Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS) mempelawa serta mengalu-alukan masyarakat Islam di negeri ini supaya menjadi ahli PERMAS berikutan asas perjuangannya lebih kepada memartabatkan Islam sebagai agenda utama.

Presidennya, Dato' Abdul Halim Ali memberitahu sudah tiba masanya masyarakat kita bersatu untuk mengembalikan maruah ugama Islam memandangkan timbul suara-suara yang cuba menghina sekali gus mengecilkan hati umat Islam.

Justeru itu, ujarnya, PERMAS sebagai NGO Islam yang telah pun berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada tahun 2011 akan tampil ke hadapan bagi menangani apa jua isu yang menghina Islam daripada terus berleluasa.

"Matlamat PERMAS ditubuhkan adalah bagi mempertahankan bangsa, agama dan tanahair ... badan NGO Islam yang kita bentuk ini bukannya pertubuhan rasis yang merosakkan keharmonian kaum, sebaliknya untuk kebaikan semua lapisan masyarakat.

"Kita mahukan keharmonian ... kita tidak mahu timbul isu yang hanya mengecilkan hati orang-orang Islam, hati perlulah dijaga jangan sampai terguris sebab itu pertubuhan sebegini penting yang akan membantu mempertahan sekali gus mendaulatkan kesucian ugama Islam itu sendiri," jelasnya semasa ditemui kelmarin.

Ayahanda Halim berada di Sabah dalam rangka lawatan beberapa hari di Kota Kinabalu dan Sandakan bagi pembentukan ahli jawatankuasa tertinggi Badan Perhubungan PERMAS Sabah termasuk menghadiri satu Majlis Mesra Silaturrahim di sini.

Majlis berkenaan yang turut mengalu-alukan kedatangan Presiden PERMAS Malaysia serta rombongan Majlis Tertinggi (MT) dan Penerangan Sabah telah dianjurkan oleh Ayahanda Yusof Latip bagi mewakili Permas Zon Beluran. 

Mengulas lanjut, beliau berkata pertubuhan tersebut telah mulai bergerak sejak dari tahun 2008 sehinggalah terdaftar pada 2011 yang kini menyaksikan seluruh negeri mempunyai badan-badan perhubungan PERMAS termasuklah di Sabah.

Katanya, sambutan masyarakat terhadap pertubuhan semakin memberangsangkan berikutan pencerahan dan penerangan yang kerap diadakan membolehkan sokongan rakyat terus meningkat.

Jelasnya, PERMAS adalah sebuah pertubuhan yang perlu dipandang kerana matlamatnya lebih kepada usaha-usaha murni memartabatkan agama Islam daripada dihina anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

"Badan Perhubungan PERMAS Sabah telah pun menyusun atur program kemasyarakatan untuk mengadakan pelbagai aktiviti termasuklah masuk ke kawasan pendalaman memandangkan matlamat turut menitikberatkan aktiviti-akviti kebajikan untuk membantu masyarakat seluruhnya. 

"Dengan adanya program kemasyarakatan yang kita laksanakan nanti, sudah tentu menjalin dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli jemaah serta seluruh masyarakat tanpa mengira apa pun fahaman yang dianuti," ujar bekas kontraktor itu.

Malahan, katanya, pihak PERMAS akan bekerjasama dengan kerajaan, badan-badan berkanun, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan atau NGO dan individu-individu yang mempunyai matlamat serta halatuju yang sama.

Dalam pada itu juga matlamat dan halatuju PERMAS ialah untuk muafakat bagi penyatuan semua ayahanda-ayahanda seluruh Malaysia tanpa mengira pertubuhan yang dianggotainya yang berlandaskan kepada perjuangan untuk memartabatkan Agama Islam, Bangsa Melayu, Sultan dan Raja-Raja Melayu serta negara kita Malaysia yang tercinta dan berpegang kepada Al-Quran dan Assunnah.

Penyatuan ayahanda-ayahanda ini adalah atas dasar permuafakatan yang menjadi teras penubuhan PERMAS. 
Penubuhan PERMAS juga bukanlah bertujuan untuk menyaingi pertubuhan-pertubuhan yang sedia ada.

Ringkasan halatuju PERMAS mempertahankan dan mendaulatkan Agama Islam, Bangsa Melayu, Sultan dan Raja-Raja Melayu serta Negara Malaysia yang tercinta ini.
Menumpahkan taat setia kepada kebawah Duli Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung, Sultan-Sultan dan Raja-Raja Melayu.

Bermuafakat untuk menyatukan semua ayahanda-ayahanda, orang-orang Melayu beragama Islam dan ahli-ahli jemaah seluruhnya.

Memartabatkan ayahanda-ayahanda sebagai Khalifah dan pemimpin yang dihormati serta disegani oleh masyarakat.

Mewujudkan Badan Pemantau yang diberi pengiktirafan sebagai Badan Tertinggi iaitu Majlis Lembaga Penasihat (MAJLIS SYURA) sebagai penasihat.

Mempertingkatkan kewibawaan dan kualiti ayahanda-ayahanda yang mempunyai disiplin yang tinggi dan bertanggungjawab.

Menjalin dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli jemaah serta seluruh umat Islam tanpa mengira apa fahaman politik yang dianuti oleh mereka.

Berusaha menganjur dan menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan, pendidikan, ekonomi, sosial, serta mewujudkan tabung kebajikan bagi mengumpul dana untuk memperkukuhkan 
Majlis Ayahanda.

Berikutan juga merupakan barisan tertinggi jawatankuasa Badan Perhubungan PERMAS Sabah yang terdiri daripada Pengerusi Tetap, Ayahanda Ahmad Angki; Pengerusi (Ayahanda Haji Abdul Manan Amjiah); Timbalan Pengerusi 1 (Noorbaki Haji Lamsari) dan Timbalan Pengerusi 2 (Jamal Ali).

Bagi Naib Pengerusi PERMAS Sabah masing-masing disandang Cikgu Awang Sham (Zon 1); Ustaz Zulkifli (Zon 2); Matlan Marjan (Zon 3); Ustaz Kamarudin (Zon 4); Yusuf Latip (Zon 5) serta Suhaimi (Zon 6).



No comments:

Post a Comment