OLEH: SHAIMON S JUMADI
GAMBAR KELIHATAN.... Rahimah semasa menyampaikan ucapannya menutup program Hari Potensi Kanak-Kanak Parlimen Batu Sapi itu
BATU SAPI : Golongan ibu bapa hendaklah sentiasa memainkan peranan
penting dalam memastikan pembangunan anak-anak seawal usia muda berikutan
mereka aset tidak ternilai kepada negara.
Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Batu Sapi, Rahimah Asrah,
berkata perhatian serta fokus yang diberikan sudah pasti membentuk generasi
selain cemerlang dalam pembelajaran malahan hebat apabila diketengahkan
melibatkan potensi diri.
Sebab itu, ujarnya, program hari potensi kanak-kanak adalah
merupakan landasan terbaik untuk mencungkil bakat kanak-kanak seawal empat atau
enam tahun untuk aktif sekali gus membangun minda dan fizikal mereka.
"Program sebegini lebih bagus sekiranya ibu bapa juga
terlibat sama dalam aktiviti yang dijalankan kerana secara tidak langsung
memberikan dorongan kepada anak-anak untuk menggilap potensi diri.
"Tentu menyentuh hati ibu bapa jika mereka mengambil bahagian
kerana kanak-kanak ini bukannya memikirkan sangat tentang menang atau kalah
yang penting seronok dapat bersaing dengan rakan sebaya dan diri sendiri,"
jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutupan Hari Potensi
Kanak-Kanak Parlimen Batu Sapi KEMAS Daerah Sandakan di Padang Bandaran, di
sini, petang Selasa lalu.
Hadir sama Pegawai KEMAS Sandakan, Ramlan Mohamad Basir;
Setiausaha Umno Sandakan, Haji Hamdan Dikong dan Naib Ketua Wanita Umno Batu
Sapi, Marlinah Mustapha serta para ibu bapa.
Sebanyak enam acara sukan dipertandingkan antaranya futsal; bola
jaring; silat; galah panjang; olahraga 'formula 1' dan olahraga 'hurdles
shuttle relay'.
Hari potensi kanak-kanak kali ini melibatkan penyertaan Tabika Kg
Gelam; Gabungan Tabika Pulau; Tabika Kg Bokara; Tabika Kg Air; Tabika ILP
Sandakan; Tabika Taman Samudera; Tabika Bandar Leila; Tabika Kg Istimewa;
Tabika Kg Karamunting; Tabika Tanah Merah; Tabika Kg Bahagia; Tabika Kg Gas;
Tabika Kg Disayang dan Tabika Kg Cenderamata.
Mengulas lanjut, Rahimah menyarankan kepada ibu bapa agar
memberikan perhatian serius soal pembangunan modal insan mengambil kira
usaha-usaha murni pihak kerajaan yang melaksanakan pelbagai program demi
pembangunan generasi hari ini.
Menurutnya, penekanan yang diberikan golongan terbabit sebagai
penjaga akan menggilap bakat anak-anak seawal persekolahan apatah lagi kerajaan
menggalakkan budaya sukan diterapkan seawal usia.
"Wanita Umno Batu Sapi akan memberikan kerjasama dengan
Tabika KEMAS dalam soal pembangunan anak-anak kerana inilah usaha dan inisiatif
yang mampu menggilap bakat-bakat mereka.
"Ini kerana, bakat seseorang pelajar tabika akan dapat
dikenal pasti sekali gus boleh dikembangkang ke peringkat seterusnya.
"Saya berbangga dan teruja dengan kehadiran begitu ramai
golongan ibu bapa terutamanya bapa yang kita tahu sibuk mencari rezeki untuk
keluarga tetapi sempat meluangkan masa untuk sama-sama hadir bagi memberikan
sokongan kepada anak-anak mereka yang mengambil bahagian.
"Yang lebih manis lagi apabila ibu bapa sendiri turut sama
mengambil bahagian yang secara tidak langsung menjadikan kanak-kanak berpotensi
dalam kedua-dua bidang iaitu pembelajaran dan kokurikulum," ujarnya.
No comments:
Post a Comment