LAYANAN ISTIMEWA ANWAR IBRAHIM DI PENJARA DIPERSOALKAN


Oleh: Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Tindakan pegawai penjara memberi layanan istimewa kepada bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipersoal.

Perkara itu dibangkitkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.

Beliau cuba mengaitkan isu itu dengan rasuah sehingga membolehkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu mendapat layanan berbeza berbanding banduan lain.

“Kalau waktu dahulu mereka yang mempunyai keistimewaan setelah merasuah pegawai-pegawai terlibat.

“Persoalan di sini saya nak timbulkan, adakah Anwar Ibrahim telah merasuah pegawai-pegawai penjara, ini persoalan bukan tuduhan kerana terlalu banyak keistimewaan yang beliau dapat berbanding tahanan-tahanan lain,” katanya kepada FMT.

Katanya, sebagai seorang banduan layanan secara berlebihan tidak seharusnya diberikan kerana Anwar seorang penjenayah sama seperti tahanan lain berdasarkan undang-undang di bawah Jabatan Penjara.

Pada masa sama, Jamal turut membidas tindakan keluarga Anwar yang terus mempersoalkan layanan yang diberikan pihak penjara, sedangkan mereka tidak layan berbuat demikian.
Jelasnya tindakan pihak penjara yang memberi layanan yang berlebihan kepada Anwar akan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.

“Sehubungan itu, perlu ditubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat kenapa Anwar mendapat keistimewaan sedemikian rupa samaada beliau telah melanggar peraturan penjara atau sebaliknya,” katanya. Copied from Free Malaysia Today