OLEH DIYANA IBRAHIM
Published By The Malaysia Insider
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pendapatan per
kapita tidak akan menjadikan Malaysia negara membangun, malah ia lebih
mengelirukan apabila pendapatan dinaikkan hanya bergantung kepada pemberian
wang tunai. Gambar The Sabah Insider.Net
MANTAN perdana menteri yang
paling lama memerintah Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengkritik
pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
sebagai rasuah.
Bagi Dr
Mahathir, tindakan Putrajaya memberi BR1M sebagai salah satu cara meningkatkan
pendapatan untuk mencapai status negara maju pada 2020 adalah sangat
mengelirukan.
Menulis
dalam blognya, bekas perdana menteri itu perkata pendapatan per kapita tidak
patut dijadikan perkiraan sebagai kejayaan Malaysia mencapai status negara
maju.
"Pendapatan
per kapita tidak akan menjadikan Malaysia negara membangun, malah ia lebih
mengelirukan apabila pendapatan dinaikkan hanya bergantung kepada pemberian
wang tunai," katanya melalui blog chedet.cc hari ini.
Beliau
berkata sosialis dan komunis cuba memperbaiki pendapatan masyarakat dengan
memberi wang tunai dan kemudahan fasiliti.
Tetapi
katanya, sosialis dan komunis juga akhirnya gagal dengan kaedah tersebut dan
rakyat terpaksa mengambil jalan keluar melalui perusahaan bebas dan bekerja
keras.
"Kita
mesti meraih pendapatan dengan meningkatkan produktiviti, bukan dengan
pemberian wang tunai dari kerajaan."
Beliau
juga berkata tidak adil bagi rakyat menuduhnya tidak memahami tujuan pemberian
BR1M.
Ini bukan
pertama kali Dr Mahathir mengkritik polisi pentadbiran Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak.
Bagaimanapun
Najib mempertahankan pemberian BR1M dengan menyatakan ia merupakan sebahagian
daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat akibat daripada
pemotongan subsidi dan juga bertujuan sebagai bantuan kepada rakyat.
Dr
Mahathir berkata beliau menentang pemberian wang tunai sebagai kaedah
meningkatkan pendapatan sejak dari awal pelaksanaannya.
"Kalau
ya pun, bantuan kewangan perlu diberikan kepada yang benar-benar susah dan
tidak mampu bekerja bagi meraih pendapatan.
"Bantahan
utama saya ialah kerana pemberian wang pada skala begitu sangat kelihatan
seperti rasuah," katanya.
Tambahan
pula, katanya, apabila BR1M diberikan ketika hampir dengan pilihan raya atau
disenaraikan dalam manifesto pilihan raya, ia mewujudkan persepsi bantuan itu
bertujuan mendapatkan undi.
"Sekiranya
pendapatan perlu ditingkatkan, ia sepatutnya dengan cara mewujudkan peluang
pekerjaan atau perniagaan.
"Tetapi
BR1M mempunyai lebih banyak implikasi negatif daripada itu. Ia meningkatkan
kecenderungan bergantung kepada kerajaan, termasuk bagi meningkatkan pendapatan
sendiri, tanpa berusaha sendiri.
"Ia
melemahkan karakter rakyat dan mengurangkan daya saing mereka dalam
pasaran," katanya.
Pendapatan
tinggi perlu datang dari peningkatan produktiviti yang hanya boleh terhasil
melalui pendidikan yang lebih baik dan latihan, kata Dr Mahathir.
"Kemampuan
meningkatkan produktiviti datang dari nilai tambah yang lebih besar bagi
sesuatu produk," katanya.
Beliau
berkata, dengan kewujudan lebih banyak industri dengan nilai tambah yang
tinggi, pendapatan pekerja akan meningkat berikutan sumbangan besar mereka
kepada majikan.
Sambil
menyatakan yang hasil kerajaan datangnya daripada cukai, Dr Mahathir
berpendapat rakyat tidak akan suka melihat cukai yang mereka bayar digunakan
sebagai alat pilihan raya.
"Sudah
pasti mereka tidak mahu melihat wang daripada hasil titik peluh mereka
digunakan bagi memenangi populariti untuk sesiapa atau mana-mana parti politik
atau pentadbiran," katanya. – 14 November, 2014.
No comments:
Post a Comment