OLEH: KAMARUL AZMAN
CEMERON HIGHLAND:- “Sebelah
tangan pegang anak kecil, sebelah lagi berpaut pada tingkap rumah. Itu saja
yang mampu saya lakukan selepas terperangkap ketika air deras separas dada
memasuki rumah,” kata K Kumaresan, 40, mangsa banjir lumpur yang melanda Kampung
Baru Ringlet, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, tiga mangsa terkorban, dua
daripadanya tertimbus dalam tanah runtuh, manakala seorang remaja berusia 13
tahun lemas selepas dihanyutkan arus deras.
Dua lagi mangsa yang juga suami isteri warga Indonesia masih hilang dan
dipercayai turut tertimbus dalam banjir lumpur.
Menurut Kumaresan, dia sekeluarga hanya sempat berpaut pada tingkap dan
dinding rumah sebelum diselamatkan jiran yang terdengar jeritan mereka.
“Nasib baik ada jiran yang terdengar jeritan sebelum memecahkan dinding
untuk melepaskan air di dalam rumah bagi membolehkan kami keluar.
“Anak saya yang sulung berusia 12 tahun luka di kaki akibat terkena
cermin tingkap. Anak bongsu berusia tiga tahun pula hampir lemas, namun saya
sempat memegangnya, manakala isteri dan seorang lagi anak saya selamat keluar
dari rumah,” katanya.
Menurutnya, dia kerugian hampir RM80,000 kerana tidak sempat
menyelamatkan apa-apa barang ketika kejadian.
No comments:
Post a Comment