KUALA LUMPUR: Polis
sudah mengenal pasti suspek utama dalam video klip aksi buli diketuai seorang
remaja lelaki memakai singlet hitam yang viral di laman sosial baru-baru ini,
yang berlaku di Pontian, Johor empat tahun lalu.
Penolong Ketua
Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Asmawati Ahmad berkata
hasil semakan dengan pihak sekolah berkenaan mendapati suspek utama (bersinglet
hitam) telah dibuang sekolah pada Ogos 2011.
“Beberapa suspek dan
mangsa lain juga sudah dikenal pasti. Bagaimanapun sehingga kini tiada laporan
polis diterima daripada mangsa atau keluarga dan pihak sekolah turut
mengesahkan tiada sebarang laporan dibuat berhubung insiden terbabit,” katanya
dalam satu kenyataan di sini, Khamis.
Kejadian itu
direkodkan dalam sebuah klip video berdurasi empat minit 37 saat yang dimuat
naik di laman sosial yang memaparkan aksi sekumpulan remaja lelaki membelasah
sembilan remaja di dalam sebuah bilik dipercayai asrama sebuah sekolah.
Beliau berkata pihak
sekolah turut mendakwa hanya mengetahui berhubung insiden terbabit selepas klip
video mengenainya tersebar dan mendapat liputan meluas.
Sementara itu,
Asmawati berkata dalam satu lagi kes yang turut tersebar, hasil siasatan polis
mendapati hanya enam remaja yang terlibat memukul seorang remaja lelaki berbaju
T merah di sebuah rumah anak yatim di Kangar, Perlis.
“Kejadian itu telah
dilaporkan oleh pengurusan asrama kepada polis pada 6 Jun lepas dan keterangan
mangsa berumur 11 tahun telah diambil.
Siasatan lanjut
polis membawa kepada penahanan enam suspek berusia antara 13 hingga 15 tahun
dan kes telah didakwa di Mahkamah Majistret Kangar di bawah Seksyen 147 Kanun
Keseksaan petang tadi,” katanya.
“Masyarakat juga
dinasihatkan untuk merujuk kepada polis jika mengesan sebarang video atau
maklumat yang meragukan bagi mengelak kegusaran masyarakat akibat sebaran
maklumat tidak berasas,” katanya.
– BERNAMA
– BERNAMA
No comments:
Post a Comment