By Admin
KOTA KINABALU: Pemberian sijil kelahiran kepada kanak-kanak tanpa
kewarganegaraan di Sabah tidak bermakna seseorang itu secara automatik mendapat
taraf warganegara dan menikmati keistimewaan sebagai rakyat Malaysia.
Justeru,
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad
Ayid (gambar) berkata rakyat Sabah tidak harus bimbang dengan pemberian sijil
kelahiran itu.
"Saya
mengalu-alukan pandangan peguam dan menteri bagi kanak-kanak jalanan di Sabah
diberi sijil kelahiran, namun ia memerlukan perhatian dan pemerhatian rapi
Jabatan Pendaftaran Negara Sabah untuk mengeluarkan sijil kelahiran itu,"
katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu, hari ini.
Jainab
berkata situasi itu dapat mencegah sebarang masalah dan gejala sosial yang
berlaku di kalangan mereka terutama apabila mendapat peluang belajar di sekolah
bermula dari peringkat rendah.
Beliau
mengulas laporan akhbar tempatan hari ini yang memetik Pengarah Eksekutif
Lawyers for Liberty Eric Paulsen sebagai berkata Sabah perlu mengiktiraf
kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan memberi mereka sijil kelahiran meskipun
mendapat bantahan ahli politik.
Paulsen
dipetik sebagai berkata pemberian sijil kelahiran adalah hak asasi semua
kanak-kanak dan tiada kaitan dengan kewarganegaraan.
Dalam
pada itu, Jainab mencadangkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengadakan
kursus berkaitan bagi memberi pemahaman jelas berhubung isu pemberian sijil
kelahiran itu, taraf pemastautin tetap mahupun taraf kewarganegaraan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi dilapor berkata Putrajaya akan bekerjasama dengan JPN dan Kementerian
Pendidikan untuk memberi sijil kelahiran bagi tujuan persekolahan kepada
kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah atas dasar peri kemanusiaan.
Zahid berkata permasalahan mengenai status
kanak-kanak tanpa warganegara dapat ditangani dalam perbentangan laporan
Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai isu Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah
tidak lama lagi. – Bernama
No comments:
Post a Comment