OLEH: LIZAWATI MADFA
GOMBAK:- Penampilan segak Dato’
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dengan baju batik jawa ala Jokowi sama sekali
tidak menghalang beliau untuk turun ke dalam longkang bagi program Gerak Gempur
Aedes, di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau terlebih
dahulu membuat terjahan dari rumah ke rumah di Kampung Tengah, di sini, bersama
penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang dan Jabatan Kesihatan Selangor.
Beliau yang mesra
menyapa penduduk kampung itu sempat ke kereta rasminya bagi menyarung kasut
‘phua chu kang’ berwarna kuning sebelum terjun ke longkang.
Mengulas operasi pagi ini,
Mohamed Azmin menegur sikap masyarakat yang masih memandang ringan aspek
penjagaan kebersihan kawasan persekitaran kediaman tempat tinggal.
“Kalau ada program sebegini,
terutama di kawasan kediaman berstrata, kebanyakan yang buat kerja hanya
pengawai sahaja.
“Penduduk sekadar duduk
tersenyum sahaja dari tingkat atas, tengok pegawai buat kerja. Sikap sebegini
perlu diubah kerana kesannya pada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Azmin
merasmikan dan menyertai program sama di Kampung Klang Gate dengan kerjasama
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Tegasnya, Kerajaan
Negeri memerlukan kerjasama masyarakat dalam memerangi Aedes dan demam denggi
yang semakin berleluasa.
Sehingga kini terdapat 59 kes
kematian berbanding hanya 24 kematian dilaporkan sepanjang tahun lalu. Ini
bermakna walaupun tahun 2014 masih belum sampai penghujung, kes kematian
mendadak sehingga lebih dua kali ganda.
“Kes demam denggi juga meningkat
tinggi dengan 1,000 kes dilaporkan pada setiap minggu berbanding 800 kes
sebelum ini,” katanya.
-NFN-
No comments:
Post a Comment