Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI:- “Saya belum nyanyok walaupun umur hampir 90
tahun. Sesiapa yang berkata saya nyanyok sebenarnya menipu diri.”
Demikian kata bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam kiriman terbaru melalui chedet.cc yang
bertajuk ‘UMNO dan PRU 14′ yang menyentuh beberapa perkara kontroversi dan
dianggap oleh sesetengah pihak sebagai ‘menyerang’ Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak, hari ini.
Dalam kiriman itu Dr Mahathir
berkata, Najib tidak menjawab banyak tuduhan yang dibuat terhadapnya hingga
rakyat membuat ramalan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan kalan pada
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Antara lain, beliau juga
menyentuh mengenai dasar pemerintahan Najib yang mengetepikan Dasar Ekonomi
Baru kerana ingin mendapat sokongan orang Cina, hingga menimbulkan kemarahan
bangsa Melayu, sedangkan pada PRU-13 Cina menolak BN yang membuktikan mereka
juga menolak pentadbiran Najib.
“Sesungguhnya rakyat, baik
Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi
kepada Dato Sri Najib. Ahli UMNO dan pemimpinnya perlu sedar bahawa UMNO dan
dengan itu BN akan kalah jika Dato Sri Najib memimpin UMNO hingga PRU 14.
“Apabila UMNO kalah, orang
Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah
sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali UMNO kalah, ia tidak akan
dapat dipulih semula,” tulis Tun Dr Mahathir.
Berikut adalah petikan kiriman
terbaru beliau:
1. Ramalan oleh masyarakat
sekarang ialah UMNO dan BN akan kalah Pilihanraya Umum ke-14 kerana terlalu
banyak tuduhan yang dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya.
2. Ia bermula dengan kes
pembunuhan Altantuya, wanita Mongolia yang terlibat dengan skandal pembelian
kapal selam.
3. Dua orang anggota polis
dituduh menembak mati wanita berkenaan, dibicara, didapati bersalah, kemudian
didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Kemudian dibicara semula dan dikena
hukum bunuh.
4. Seorang daripada mereka
berada dalam tahanan tetapi Sirul seorang lagi berada di Australia. Dia membuat
kenyataan bahawa dia diarah untuk membunuh.
5. Rakyat tertanya-tanya siapa
yang memberi arahan. Sebagai pengawal peribadi Dato Sri Najib, dakwaan Sirul
perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan. Tetapi selain
daripada Najib berkata Sirul “merepet”, tidak ada siasatan yang dibuat. Ini
adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan
arahan.
6. Kemudian kes 1MDB. Tuduhan
penyelewengan dalam urusan wang berbillion Ringgit oleh Jho Low telah dibuat
dengan bukti-bukti yang jelas. Tuduhan ini tidak dijawab selain dari berkata ia
adalah pembohongan.
7. Kononnya aset 1MDB berjumlah
52 billion sedangkan hutang hanya 42 billion. Aset tidak jadi keuntungan
sebelum dijual (dicairkan). Kenapa untuk membayar faedah sebanyak 2 billion pun
terpaksa hutang dari Ananda Krishnan. Kalau 1MDB tidak rugi kenapa terpaksa
hutang. Kenapa wang Kerajaan sebanyak 1 billion diberi kepada 1MDB setelah
hutang dibayar?
8. Kononnya wang yang disimpan
di Cayman Island sudah dibawa balik. Tetapi separuh disimpan dalam bank Swiss
(BSI) di Singapura. Di mana pergi separuh lagi dari 6 billion? Kenapa wang ini
tidak diguna untuk bayar faedah 2 billion.
9. Kononnya disimpan di
Singapura kerana Bank Negara akan menyoal simpanan lebih dari 50 juta. Jikalau
duit itu duit kita yang hanya disimpan di Cayman, apa masalahnya menjelaskan
kepada Bank Negara punca wang itu. Lagi pun duit ini dimiliki oleh 1MDB yang
dikuasai penuh oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
10. Soalan-soalan lain
berkenaan 1MDB tidak dijawab selain daripada berkata asetnya besar. Soal harga
tanah Kerajaan yang dibeli oleh 1MDB tidak dijelas. Sudah tentu jika dibeli
dengan harga yang murah dan dinaik nilai berkali ganda, aset ini menjadi besar.
Tetapi Kerajaan rugi banyak dengan tanah miliknya dijual dengan harga yang
tidak mencermin harga pasaran.
11. US$700 juta dibayar kepada
Petro Saudi untuk apa? Sudahkah ditentukan Petro Saudi memiliki konsesi kawasan
minyak dan gas di Argentina dan Turkmenistan sebelum membayar wang yang begitu
banyak.
12. Jho Low dilapor dalam New
York Times, London Times dan Sarawak Report terlibat dalam pengurusan
berbillion Ringgit duit 1MDB. Siapa dianya Jho Low yang begitu dipercayai oleh
Dato Sri Najib. Pegawai Malaysia yang dilantik mengurus dana 1MDB mengaku
mereka diarah oleh Jho Low yang mendakwa ia mendapat kepercayaan penuh dan
arahan dari Dato Sri Najib.
13. Gambar-gambar Jho Low dan
kelakuannya, umurnya yang amat muda serta cara hidupnya tidak menggambarkan
peribadi yang menyakinkan orang ramai. Tetapi dia dilapur membeli rumah di New
York dan Hollywood beratus juta Ringgit. Kemudian rumah-rumah ini dijual kepada
anak tiri Najib dengan harga ratusan juta Ringgit bagi setiap satu kerana
kononnya Jho Low telah jumpa rumah yang lebih indah di Hollywood yang harganya
lebih tinggi.
14. Dari mana datangnya duit
beratus juta kepada Riza Aziz tidak dapat dijelas. Keluarga Tun Razak termasuk
Najib menafikan duit ini adalah dari keluarga. Pelaburan ratusan juta dalam
filem “Wolf of Wall Street” oleh Riza datang dari mana?
15. Dan banyaklah lagi tuduhan
dan soalan terhadap 1MDB yang ditubuh oleh Dato Sri Najib dan dikuasai sepenuh
olehnya sebagai penasihat yang tidak dijelas dan dijawab selain dari menafi dan
mendakwa semuanya bohong belaka. Laporan-laporan dalam akhbar di New York dan
London amat memalukan negara.
16. Sementara itu, walaupun
Kerajaan menghadapi kekurangan wang yang besar dan terpaksa hutang, Dato Sri
Najib sebagai Perdana Menteri membeli sebuah lagi pesawat mewah. Umum
mengetahui pesawat ACJ319 yang sedia ada diguna bukan sahaja untuk tugas rasmi
tetapi sebagai kenderaan peribadi untuk Dato Sri dan Datin Sri.
17. Dalam keadaan ekonomi tidak
menentu, dalam keadaan rakyat terpaksa bayar cukai yang lebih tinggi, dalam
keadaan nilai Ringgit yang menurun teruk, dalam keadaan kos sara hidup
meningkat dan rakyat dilanda banjir dan kehilangan ratusan juta Ringgit,
Kerajaan membazirkan wang ratusan juta untuk pesawat mewah walaupun sudah ada
pesawat-pesawat milik Kerajaan.
18. Cara pembelian tidak dapat
menyembunyi bahawa akhirnya Kerajaan terpaksa menanggung beban pembelian ini.
Jika syarikat bukan Kerajaan yang secara rasmi membeli, bayaran melalui lease
(sewa) lebih tinggi daripada belian secara langsung kerana terpaksa memberi
keuntungan kepada pemilik dan faedah yang dimasukkan.
19. Selain daripada ini
dasar-dasar pemerintahan Dato Sri Najib terhad kepada pemberian wang percuma,
menimbul kemarahan orang Melayu dengan mengenepikan Dasar Ekonomi Baru kerana
ingin mendapat sokongan orang Cina. Namun penolakan BN dalam PRU 13 membuktikan
orang Cina tolak pemerintahan Najib.
20. Sesungguhnya rakyat, baik
Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi
kepada Dato Sri Najib. Ahli UMNO dan pemimpinnya perlu sedar bahawa UMNO dan
dengan itu BN akan kalah jika Dato Sri Najib memimpin UMNO hingga PRU 14.
Apabila UMNO kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti
keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali
UMNO kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula.
21. Ramai juga ahli dan
pemimpin UMNO yang setia secara buta tuli kepada pemimpin. Saya juga setia
tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili
olehnya. Bukanlah mudah bagi saya menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan
Negara saya terpaksa dedah semua ini.
22. Saya belum nyanyok walaupun
umur hampir 90 tahun. Sesiapa yang berkata saya nyanyok sebenarnya menipu diri.
23. Melayu hanya akan selamat jika bersikap
bangsa lebih utama daripada diri sendiri. POSTED BY PORTAL ISLAM MELAYU
No comments:
Post a Comment