OLEH: SHAIMON S JUMADI
SANDAKAN: Pasukan Majlis
Perbandaran Sandakan (MPS) muncul sebagai juara Kejohanan Bola Tampar Terbuka
Lelaki / Wanita Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-11 Piala Ketua Menteri apabila
menewaskan Semporna A dalam perlawanan akhir yang sengit di Dewan Serbaguna,
Kompleks Sukan Sandakan, Jalan Sibuga, Batu 5, dekat sini, petang Ahad lalu.
MPS menang 3:2 dengan 25-15, 25-16,
21-25, 23-25 dan 25-6 selepas pasukan lawan mengheret perlawanan hingga kelima
set sekali gus memaksa kedua-dua pasukan berhempas-pulas untuk memenangi
perlawanan tersebut.
Namun, kemahiran dan pengalaman
pemain-pemain MPS yang sesetengahnya merupakan wakil Sabah berjaya menguasai
semula perlawanan di set penentuan apabila menyekat kemaraan Semporna A yang
cuba melawan.
Dengan kemenangan itu, MPS
membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai RM2,000 berserta piala iringan
manakala Semporna A menerima wang tunai RM1000 juga berserta piala.
Tempat ketiga jatuh kepada
pasukan Kudat yang juga menerima wang tunai RM700 berserta piala sementara
untuk kategori wanita pula menyaksikan pasukan Kudat muncul johan selepas
menundukkan UiTM.
Pasukan Kudat turut menerima
hadiah wang tunai RM1000 berserta piala dan naib johan RM700 berserta piala
manakala pasukan Semporna yang memenangi tempat ketiga juga menerima RM500
berserta piala.
Hadiah-hadiah kepada pasukan
yang menang telah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Haji
Tawfiq Abu Bakar Titingan yang hadir sebagai tetamu khas menyaksikan perlawanan
akhir sempena kejohanan berprestij edisi ke-11 itu.
Sebanyak 18 pasukan lelaki dan
16 pasukan wanita dari seluruh negeri mengambil bahagian dalam kejohanan yang
berlangsung selama tiga hari bermula pada 22 Mei lepas anjuran Persatuan Bola
Tampar Negeri Sabah (SAVA) dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang
dikelolakan Persatuan Bola Tampar Daerah Sandakan (SANVA).
Terdahulu, Tawfiq ketika
berucap pada majlis penutupan kejohanan tersebut merakamkan ucapan syabas dan
tahniah kepada SAVA di atas usaha serta komitmen mengelolakan kejohanan yang
tepat pada masanya dalam usaha memacu kemajuan sekali gus memperkasakan lagi
mutu sukan bola tampar di negeri ini.
Beliau yakin melalui
penganjuran ini pihak persatuan akan dapat melahirkan lebih ramai bakat-bakat
baru yang boleh digilap seterusnya diserapkan dalam pasukan bola tampar negeri
Sabah.
"Saya juga yakin dan
percaya usaha ini berupaya untuk meningkatkan prestasi serta kualiti sukan bola
tampar yang bukan sahaja di peringkat daerah, bahkan juga di peringkat negeri
dan kebangsaan.
"Saya difahamkan bahawa
kejohanan pada kali ini merupakan medan pemilihan pemain pasukan negeri bagi
menyertai kejohanan peringkat kebangsaan tahun 2015. Saya amat menyambut baik
inisiatif SAVA di bawah Presidennya iaitu Datuk Haji Alipudin Puyon.
"Ia termasuklah
penganjuran Kursus Kepengadilan Bola Tampar Kebangsaan. Saya percaya bahawa
kursus seperti ini dapat meningkatkan kemahiran dan kewibawaan para pengadil
bola tampar di negeri ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata
pihak persatuan perlu menubuhkan cawangan di setiap daerah bagi membolehkan
pembangunan sukan bola tampar mudah menembusi sasaran peringkat akar umbi.
Malahan, katanya, kejohanan
peringkat umur 12 tahun di peringkat bahagian wajar diperhebatkan sebelum
perlaksanaan kejohanan peringkat yang lebih tinggi seperti kejohanan negeri.
Selain itu, harapannya agar
persatuan dapat melantik jurulatih-jurulatih yang berkaliber bagi membimbing
atlet-atlet yang dikenal pasti.
"Saya juga menyarankan
agar pihak persatuan dapat mengadakan perbincangan dengan Sekolah Sukan
Malaysia Sabah mengenai kemungkinan pengambilan atlet murid sukan bola tampar
di sekolah tersebut.
"Saya yakin pencapaian
sukan bola tampar akan meningkat jika sekiranya perancangan sedemikian dapat
direalisasikan," jelasnya sambil berkata kementeriannya mempertimbangkan
penambahan geran tahunan sekiranya persatuan menunjukkan prestasi yang
membanggakan pada tahun ini.
Sementara itu, Alipudin ketika
berucap percaya kerjasama antara pihak SAVA dan SANVA bersama-sama MPS akan
dapat merealisasikan matlamat persatuan untuk melahirkan pemain-pemain yang
berpotensi serta memiliki kualiti dan standard mutu permainan tersendiri.
Apatah lagi, katanya, kejohanan
telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada pasukan-pasukan bolatampar di
setiap daerah.
"Dengan penyertaan yang
cukup baik itu, jelas menunjukkan minat anak-anak muda dalam sukan bola tampar
semakin tinggi yang terbukti melalui penganjuran setiap tahun ramai bakat-bakat
baru dapat diketengahkan.
Saya yakin pemain-pemain
berwibawa yang mampu membawa cabaran negeri Sabah akan dapat dibentuk kerana
kebanyakan bakat mereka ini adalah seawal usia muda yang berpotensi maju.
Bagi pihak persatuan,
perkembangan ini amatlah kita alu-alukan makanya sentiasa merancang untuk
mengadakan kejohanan-kejohanan bola tampar supaya pendedahan dapat kita berikan
kepada pemain-pemain muda.
Tidak mustahil
kegemilangan negeri ini dalam sukan bola tampar khususnya, boleh berulang
asalkan usaha meningkatkan pencapaian sukan bolatampar sentiasa dibuat,"
katanya selaku Pengerusi Penganjur Kejohanan.
Tambah beliau, masa depan sukan
bola tampar Sabah boleh berkembang maju asalkan adanya komitmen tinggi terhadap
perkembangan sukan tersebut.
Oleh hal demikian, katanya,
pihak SAVA terus memberikan penekanan agar pembangunan sukan bola tampar dapat
diberikan perhatian sepenuhnya apatah lagi kerajaan negeri di bawah kepimpinan
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman sentiasa menyokong terhadap
usaha-usaha ini.
Serentak itu, ujarnya,
kejohanan kali ini menjadi medan bagi memilih pemain yang akan diserapkan ke
pasukan bola tampar negeri Sabah yang bakal mengambil bahagian dalam satu
kejohanan besar di Kuala Lumpur nanti.