OLEH: SHAIMON S JUMADI
TAHNIAH ... Charles menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil ketua kontinjen yang mengambil bahagian pada kejohanan tersebut
KARAMUNTING:- Penganjuran
kejohanan sukan seperti kriket adalah merupakan landasan terbaik untuk
menampilkan bakat-bakat muda yang boleh bersaing sekali gus mengharumkan nama
negeri dan negara di peringkat antarabangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting, Charles O Pang,
berkata kejayaan melahirkan seorang atlet yang bertaraf dunia bukan satu
perkara yang mudah kerana ianya melibatkan kerjasama pelbagai pihak dalam
menggembleng tenaga dan pemikiran di samping penyusunan strategi yang berkesan
demi membuahkan hasil yang cemerlang.
"Contohnya, seorang pemimpin politik memberikan khidmat bakti
kepada masyarakat sebagai satu motivasi, sementara seorang atlet atau pun ahli
sukan selalunya akan mencipta kejayaan sebagai satu motivasi dalaman serta
kepuasan dan merupakan sebahagian dalam sejarah hidupnya.
"Semangat beginilah yang seharusnya menjadi contoh kepada
semua atlet dalam apa jua acara sukan. Atlet seharusnya mempunyai kebolehan
tersendiri yang tidak mungkin ada pada orang lain.
"Oleh yang demikian kesungguhan, keinginan serta usaha yang tidak
mengenal erti jemu, bosan dan mudah putus asa seharusnya dikikis dalam diri
seorang atlet lebih-lebih sebagai seorang pelajar," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penangguhan
Kejohanan Kriket Sempena Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSS) 2015 di SMK Agama
Tun Juhar, dekat sini, baru-baru lepas.
Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan, Haji Sharif Mahada
Sharif Attar dan Ketua-ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pendidikan
Daerah seluruh Sabah serta Pengetua-pengetua sekolah menengah sekitar daerah
ini.
Mengulas lanjut, Charles berkata persaingan positif di kalangan
para atlet yang mengambil bahagian akan dapat membantu dalam pembentukan
semangat berpasukan dan ketahanan mental yang sudah tentu akan menjadi
sebahagian pengukur kepada kejayaan atlet.
Di samping itu, ujarnya, penghayatan nilai-nilai murni dalam usaha
untuk melahirkan generasi yang berakhlak mulia serta berketrampilan sekali gus
menjadi harapan agar kejohanan ini mampu melahirkan generasi yang seimbang
dalam era globalisasi.
Menurutnya, usaha mengadakan kejohanan seumpama ini diharap terus
meningkatkan lagi penyertaan pelajar dalam bidang sukan dan ianya selaras
dengan 'Dasar Satu Murid Satu Sukan' yang telah dilaksanakan bermula tahun 2011
lalu.
Ujarnya, dasar tersebut sudah pasti akan menjadi saluran terbaik
dalam melahirkan modal insan cemerlang untuk menjadi pelapis pemimpin muda
sukan negara pada masa akan datang.
"Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima
kasih kepada Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Kriket MSSS 2015 atas usaha
bersungguh-sungguh menjayakan kejohanan ini.
"Kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian diucapkan
syabas dan tahniah," katanya.
No comments:
Post a Comment