MPS MUNCUL JUARA KEJOHANAN BOLA TAMPAR LELAKI/WANITA PERINGKAT NEGERI PALA KETUA MENTERI


OLEH: SHAIMON S JUMADI


SANDAKAN: Pasukan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) muncul sebagai juara Kejohanan Bola Tampar Terbuka Lelaki / Wanita Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-11 Piala Ketua Menteri apabila menewaskan Semporna A dalam perlawanan akhir yang sengit di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Sandakan, Jalan Sibuga, Batu 5, dekat sini, petang Ahad lalu.

MPS menang 3:2 dengan 25-15, 25-16, 21-25, 23-25 dan 25-6 selepas pasukan lawan mengheret perlawanan hingga kelima set sekali gus memaksa kedua-dua pasukan berhempas-pulas untuk memenangi perlawanan tersebut.

Namun, kemahiran dan pengalaman pemain-pemain MPS yang sesetengahnya merupakan wakil Sabah berjaya menguasai semula perlawanan di set penentuan apabila menyekat kemaraan Semporna A yang cuba melawan.

Dengan kemenangan itu, MPS membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai RM2,000 berserta piala iringan manakala Semporna A menerima wang tunai RM1000 juga berserta piala.

Tempat ketiga jatuh kepada pasukan Kudat yang juga menerima wang tunai RM700 berserta piala sementara untuk kategori wanita pula menyaksikan pasukan Kudat muncul johan selepas menundukkan UiTM.

Pasukan Kudat turut menerima hadiah wang tunai RM1000 berserta piala dan naib johan RM700 berserta piala manakala pasukan Semporna yang memenangi tempat ketiga juga menerima RM500 berserta piala.

Hadiah-hadiah kepada pasukan yang menang telah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Haji Tawfiq Abu Bakar Titingan yang hadir sebagai tetamu khas menyaksikan perlawanan akhir sempena kejohanan berprestij edisi ke-11 itu.   

Sebanyak 18 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita dari seluruh negeri mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 22 Mei lepas anjuran Persatuan Bola Tampar Negeri Sabah (SAVA) dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang dikelolakan Persatuan Bola Tampar Daerah Sandakan (SANVA).

Terdahulu, Tawfiq ketika berucap pada majlis penutupan kejohanan tersebut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada SAVA di atas usaha serta komitmen mengelolakan kejohanan yang tepat pada masanya dalam usaha memacu kemajuan sekali gus memperkasakan lagi mutu sukan bola tampar di negeri ini.

Beliau yakin melalui penganjuran ini pihak persatuan akan dapat melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru yang boleh digilap seterusnya diserapkan dalam pasukan bola tampar negeri Sabah.

"Saya juga yakin dan percaya usaha ini berupaya untuk meningkatkan prestasi serta kualiti sukan bola tampar yang bukan sahaja di peringkat daerah, bahkan juga di peringkat negeri dan kebangsaan.

"Saya difahamkan bahawa kejohanan pada kali ini merupakan medan pemilihan pemain pasukan negeri bagi menyertai kejohanan peringkat kebangsaan tahun 2015. Saya amat menyambut baik inisiatif SAVA di bawah Presidennya iaitu Datuk Haji Alipudin Puyon.

"Ia termasuklah penganjuran Kursus Kepengadilan Bola Tampar Kebangsaan. Saya percaya bahawa kursus seperti ini dapat meningkatkan kemahiran dan kewibawaan para pengadil bola tampar di negeri ini," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata pihak persatuan perlu menubuhkan cawangan di setiap daerah bagi membolehkan pembangunan sukan bola tampar mudah menembusi sasaran peringkat akar umbi.
Malahan, katanya, kejohanan peringkat umur 12 tahun di peringkat bahagian wajar diperhebatkan sebelum perlaksanaan kejohanan peringkat yang lebih tinggi seperti kejohanan negeri.

Selain itu, harapannya agar persatuan dapat melantik jurulatih-jurulatih yang berkaliber bagi membimbing atlet-atlet yang dikenal pasti.

"Saya juga menyarankan agar pihak persatuan dapat mengadakan perbincangan dengan Sekolah Sukan Malaysia Sabah mengenai kemungkinan pengambilan atlet murid sukan bola tampar di sekolah tersebut.

"Saya yakin pencapaian sukan bola tampar akan meningkat jika sekiranya perancangan sedemikian dapat direalisasikan," jelasnya sambil berkata kementeriannya mempertimbangkan penambahan geran tahunan sekiranya persatuan menunjukkan prestasi yang membanggakan pada tahun ini.

Sementara itu, Alipudin ketika berucap percaya kerjasama antara pihak SAVA dan SANVA bersama-sama MPS akan dapat merealisasikan matlamat persatuan untuk melahirkan pemain-pemain yang berpotensi serta memiliki kualiti dan standard mutu permainan tersendiri.

Apatah lagi, katanya, kejohanan telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada pasukan-pasukan bolatampar di setiap daerah.

"Dengan penyertaan yang cukup baik itu, jelas menunjukkan minat anak-anak muda dalam sukan bola tampar semakin tinggi yang terbukti melalui penganjuran setiap tahun ramai bakat-bakat baru dapat diketengahkan.

Saya yakin pemain-pemain berwibawa yang mampu membawa cabaran negeri Sabah akan dapat dibentuk kerana kebanyakan bakat mereka ini adalah seawal usia muda yang berpotensi maju.

Bagi pihak persatuan, perkembangan ini amatlah kita alu-alukan makanya sentiasa merancang untuk mengadakan kejohanan-kejohanan bola tampar supaya pendedahan dapat kita berikan kepada pemain-pemain muda.

Tidak mustahil kegemilangan negeri ini dalam sukan bola tampar khususnya, boleh berulang asalkan usaha meningkatkan pencapaian sukan bolatampar sentiasa dibuat," katanya selaku Pengerusi Penganjur Kejohanan.

Tambah beliau, masa depan sukan bola tampar Sabah boleh berkembang maju asalkan adanya komitmen tinggi terhadap perkembangan sukan tersebut.

Oleh hal demikian, katanya, pihak SAVA terus memberikan penekanan agar pembangunan sukan bola tampar dapat diberikan perhatian sepenuhnya apatah lagi kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman sentiasa menyokong terhadap usaha-usaha ini.

Serentak itu, ujarnya, kejohanan kali ini menjadi medan bagi memilih pemain yang akan diserapkan ke pasukan bola tampar negeri Sabah yang bakal mengambil bahagian dalam satu kejohanan besar di Kuala Lumpur nanti.

No comments:

Post a Comment