JAMES RATIB DAN SELURUH AHLI UMNO BELURAN IKRAR SOKONGAN PADU KEPIMPINAN MUSA

OLEH:  SHAIMON S JUMADI
 .
- SEMANGAT 1MALAYSIA ... James (duduk, tiga dari kiri) bersama ketua-ketua cawangan dan sayap parti Umno bagi Zon Sungai-Sungai memberikan isyarat 1Malaysia sejurus selesainya persidangan secara berkelompok zon tersebut


- SOKONGAN PADU ... Ikrar taat setia terhadap pucuk kepimpinan parti keramat Umno disampaikan ketua-ketua cawangan dan sayap parti Umno Zon Sungai-Sungai yang juga menyaksikan mereka akan berdiri teguh di bawah kepimpinan James Ratib sebagai Adun Sugut dan Ketua Bahagian Umno Beluran 



BELURAN: Sokongan padu tidak berbelah-bagi disuarakan ketua-ketua cawangan Umno Zon Sungai-Sungai terhadap kepimpinan Perdana Menteri selaku Presiden Parti iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sokongan juga turut diberikan kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri serta Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Musa Haji Aman.

Ikrar taat setia ini disampaikan oleh Ketua Umno Cawangan Kampung Sungai-Sungai, Doing Hassim yang mewakili para ketua cawangan; ketua-ketua sayap dan seluruh ahli Umno pada Persidangan Secara Berkelompok Cawangan-Cawangan Umno Beluran bagi zon tersebut.

"Kami juga menyuarakan sokongan yang padu kepada wakil rakyat Sugut selaku Ketua Umno Bahagian Beluran iaitu Datuk James Ratib sebagai pemimpin kami di kawasan ini yang amat prihatin terhadap apa jua keperluan rakyat jelata.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas keprihatinan beliau untuk hadir bagi menyempurnakan persidangan berkelompok yang julung-julung kalinya diadakan di Dewan Mini, Kampung Sungai-Sungai Sugut," katanya ketika berucap dalam persidangan secara berkelompok itu, baru-baru lepas.

Mengulas lanjut, beliau berkata inilah buat julung kalinya ahli-ahli Umno Beluran Zon Sungai-Sungai mengadakan persidangan secara berkelompok sejak James selaku Pengerusi Penyelaras BN Beluran mengambil-alih jawatan ketua bahagian pada tahun 2008.

Antara lain pengisian pada persidangan secara berkelompok itu, menyaksikan penyerahan borang permohonan penubuhan cawangan baharu Umno penaja oleh lima orang Ketua Cawangan Umno Penaja.

Doing yang juga merupakan Pemaju Masyarakat Sungai-Sungai turut menyatakan bahawa seluruh ahli-ahli Umno khususnya Zon Sungai-Sungai sentiasa menghargai jasa mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr.Mahathir Mohamad dan segala usaha murninya memajukan negara sentiasa dalam ingatan.

"Sebagai rakyat akar umbi dan ahli kepada parti keramat Umno, kami amat berterima kasih kepada Tun Dr.Mahathir dan beliau sentiasa kami sayangi sebagai pemimpin tersohor.

"Ahli-ahli Umno Beluran bagi Zon Sungai-Sungai ini juga akan berdiri teguh bersama-sama Datuk James Ratib dalam mempertahan, memperkasa dan memperjuangkan Umno serta BN di bawah pucuk kepimpinan Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Musa yang merupakan gandingan mantap serta pemimpin terbaik kita," ujarnya.

.

No comments:

Post a Comment