UMNO BELURAN TUBUH DUA BADAN PETUGAS KHAS

OLEH: SHAIMON S JUMADI
ssjumadi@gmail.com

 
SUGUT:-   Ketua Bahagian UMNO Beluran Datuk James Ratib berkata tujuan Umno Bahagian Beluran membentuk dua Pasukan Petugas Khas yang melibatkan Alam Sekitar dan Perladangan manakala satu lagi Keselamatan serta Pencegahan Gejala Sosial yang akan tampil menangani apa jua permasalahan demi kepentingan penduduk setempat.

Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membantu mengatasi masalah seperti alam sekitar umpamanya, apabila ia dilihat masalah paling ketara yang masih membelenggu sehingga kini.

Ini kerana hanya lima peratus penduduk di kawasan Sugut dapat menikmati kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan selebihnya mengharapkan sumber lain seperti bergantung dengan sumber hujan dan anak-anak sungai yang mengalir.

Tidak dinafikan penduduk kemungkinan berdepan dengan masalah pencemaran yang berlaku berikutan hampir 80 peratus 'Bumi Sugut' dikelilingi ladang kelapa sawit yang diusahakan syarikat-syarikat perladangan.

Menyedari hakikat itu, Ketua Umno Beluran yang juga selaku wakil rakyat Sugut iaitu Datuk James Ratib mengambil langkah drastik menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas Alam Sekitar dan Perladangan supaya apa pun masalah yang timbul akan dapat ditangani terlebih awal.

"Dengan adanya pasukan petugas alam sekitar yang akan dipengerusikan mantan Ahli Parlimen Beluran, Asmat Nungka yang dibantu beberapa ahli jawatankuasa Umno Bahagian akan dapat membantu dan mencegah sebarang masalah yang melibatkan kepentingan dan masa hadapan penduduk Sugut khususnya dan Beluran amnya.

"Tujuan dan matlamat pasukan petugas ini adalah bagi memastikan pelabur-pelabur atau pun syarikat-syarikat perladangan yang ada di kawasan ini supaya tidak menyalahi peraturan serta undang-undang sebagaimana yang ditetapkan pihak Jabatan Alam Sekitar.

"Contoh paling ketara di Sugut ini adalah sungai-sungainya dilindungi dan punya syarat-syarat tertentu jika ingin menanam kelapa sawit. Namun, apa yang saya dapati tebing sungai ditanam kelapa sawit.

"Ini sudah tentu mencemarkan sungai sebab bila mana musim hujan, baja yang ada pada tanaman akan mengalir ke dalam sungai. Inilah antara masalah yang masih membelenggu penduduk yang kebanyakannya masih bergantung dengan sumber anak-anak sungai selain hujan.

"Oleh hal demikian, mana-mana syarikat perladangan yang didapati melanggar syarat dan peraturan sedia ada dapat diambil tindakan sewajarnya sebab kita tidak mahu masalah pencemaran ke atas sungai berlaku.

"Kita mendapat rungutan daripada penduduk Sugut terutamanya pemimpin masyarakat setempat yang mendakwa kononnya berlaku masalah seumpama ini. Sebab itu, dalam mesyuarat tadi ... saya telah menekankan perkara ini panjang lebar, lalu membentuk pasukan petugas khas termasuklah yang satu lagi iaitu Keselamatan dan Pencegahan Gejala Sosial," jelasnya.

James berkata demikian katanya kepada media sejurus  selepas mempengerusikan Mesyuarat Umno Beluran yang pertama bagi Tahun 2015 di Pejabat Bahagian berkenaan, Bandar Maju, Batu 1 Setengah, Jalan Utara, kelmarin.

Hadir sama pada mesyuarat itu, Timbalan Ketua Umno Beluran, Mahmud Awang Hussin; Naib Ketua Bahagian, Ariffin Bacho dan Ketua Pemuda Bahagian, Samad Jamri serta ahli-ahli jawatankuasa bahagian tersebut.

Mengulas lanjut, Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd itumemberitahu penubuhan pasukan petugas keselamatan adalah selaras dengan RCI yang diwujudkan dalam mencegah kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah khususnya di Sugut.

Menurut beliau, berdasarkan risikan kononnya ada syarikat-syarikat perladangan yang mengambil pekerja asing untuk bekerja di ladang mereka sekali gus menyalahi undang-undang negara ini.

"Perkara ini tidak boleh berlaku kerana jika berleluasanya masalah serupa tentu mengakibatkan masalah sosial kepada anak-anak kita terutamanya di kawasan luar bandar seperti Sugut itu.

"Saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini dan merupakan Ketua Umno Beluran tidak mahu wujudnya masalah seperti ini dan kita mesti banteras agar tidak berleluasa.

"Diharap dengan wujudnya dua badan Task Force berkenaan, akan dapat membantu membanteras apa pun masalah yang timbul," katanya.



No comments:

Post a Comment