OLEH: SHAIMON S
JUMADI
SUGUT:- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan
Sugut Datuk James Ratib berkata budaya turun padang banyak membantu kerajaan
melaksanakan agenda pembangunannya apabila pemimpin terutama wakil rakyat tidak
pernah mengabaikan tanggungjawab dalam usaha mendekati kelompok masyarakat
tanpa mengira masa dan tempat.
Amalan murni ini membolehkan kerajaan mendapat sokongan yang jitu
memandangkan keikhlasan kepemimpinan parti seperti Umno umpamanya, lebih
mengutamakan kebajikan rakyat sekali pun sibuk dengan tugas seharian.
Namun, kerana komitmen apatah lagi amanah yang digalas membolehkan
mereka senang didekati masyarakat pada setiap masa sekali gus mewujudkan
hubungan perpaduan yang menjadikan proses pembangunan dapat berjalan lancar.
Interaksi inilah menjadikan parti tidak pernah pudar di hati rakyat biar
pun pelbagai tohmahan atau dakyah yang mengelirukan cuba dilempar pihak
pembangkang tetapi rakyat tetap memberikan sokongan padu mereka.
Ini kerana pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak hanya muncul
apabila tibanya musim pilihan raya sebaliknya sentiasa mendekati rakyat untuk
mendengar permasalahan dan keperluan yang lebih-lebih lagi penduduk kawasan
jauh terpencil di pendalaman.
Pendekatan turun padang turut berakar umbi dengan Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) Sugut iaitu Datuk James Ratib yang sentiasa mendampingi masyarakat
di kawasannya walaupun sibuk dengan tugas sebagai wakil rakyat tetapi keperluan
rakyat tetap menjadi keutamaan.
Malahan, sejak menjadi Adun Sugut telah banyak perubahan besar daripada
segi pembangunan yang berbentuk kemudahan asas mahu pun prasarana disalurkan ke
kawasan secara berperingkat-peringkat.
Ia berikutan komitmen tinggi James yang bukan sahaja memastikan
kelancaran pembangunan tetapi juga amat menitikberatkan soal kebajikan rakyat
terutama melibatkan golongan kurang kemampuan.
Bagi, James selaku Pengerusi Sedcovest Holding Sdn Bhd ini mendampingi
rakyat adalah amat penting yang secara langsung membolehkannya memahami serta
mengenal pasti apa jua keperluan di peringkat akar umbi.
"Saya akan pastikan permasalahan rakyat dapat diatasi sebaik
mungkin kerana inilah perjuangan yang perlu dititikberat sejajar dengan
matlamat dan agenda kerajaan BN yang bertunjangkan Umno itu," jelasnya
semasa ditemui.
Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Beluran ini turut menziarahi salah
sebuah keluarga di Kampung Tanjung Basai, Sugut yang kehilangan salah seorang
anggota keluarga mereka baru-baru lepas.
Di kesempatan ziarah, beliau turut menghulurkan sedikit bantuan kepada
anggota keluarga terbabit bagi meringankan beban.
No comments:
Post a Comment