OLEH: SAIMON S JUMADI
SANDAKAN:- Ketua Unit Kanan Bahasa PPD Sandakan, Ali Rahman Arsyad
berkata usaha murni ini memandangkan pentingnya setiap sekolah samada sekolah
menengah mahu pun rendah mencapai keputusan yang memberangsangkan dalam
peperiksaan.
Pendekatan dan strategi tersendiri sentiasa dilakukan oleh Pejabat Pendidikan
Daerah (PPD) Sandakan bagi memastikan sekolah-sekolah di daerah ini berjaya
dalam pengajaran mereka.
Ini katanya, anak-anak yang merupakan aset terpenting kepada pembangunan
negara hendaklah dibentuk menjadi insan berilmu pengetahuan dan tanggungjawab
berkenaan memerlukan kerjasama padu.
Sehubungan dengan itu, tambahnya, ibu bapa dan pihak sekolah terutamanya
warga pendidik perlu berganding bahu dalam mempastikan kecemerlangan pelajar
agar bila tibanya sesuatu peperiksaan, mereka akan lebih bersedia.
"Untuk mencapai keputusan yang cemerlang memerlukan pendekatan
terancang kerana memastikan anak-anak berjaya dalam pembelajaran mereka
hendaklah berusaha dengan memberikan motivasi dan galakan.
"Seperti program pagi ini, ia adalah satu aktiviti yang dapat
membimbing minat pelajar untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan nanti.
"Ini kerana, pendekatan yang dilakukan pihak sekolah sudah pasti
meransang mereka untuk memberi tumpuan penuh kepada pembelajaran di
sekolah," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Pegawai PPD Sandakan bagi
menyempurnakan perasmian Majlis Penetapan Target UPSR Tahun 6 (2015) Sekolah
Kebangsaan (SK) St. Monica di Dewan Warga Tua, Jalan Sibuga, dekat sini,
kelmarin.
Seramai 26 pelajar yang mendapat keputusan 5 A dalam UPSR 2014 telah
menerima bantuan berbentuk insentif daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG) SK St. Monica.
Majlis dihadiri lebih kurang 118 pelajar-pelajar Tahun 6 turut
menyaksikan penyampaian insentif kepada Panitia yang telah menunjukkan
peningkatan dalam UPSR 2014 daripada segi gred purata mata pelajaran atau
peratus.
Hadir sama Guru Besar SK St. Monica, Teresa Chin dan Timbalan Pengerusi
PIBG sekolah berkenaan iaitu Alex Lim serta ibu bapa pelajar.
Mengulas lanjut, Ali menggesa ibu bapa agar sentiasa memberikan tumpuan
kepada pembelajaran anak-anak di sekolah kerana untuk mencapai kecemerlangan
memerlukan perhatian penuh.
Apatah lagi, katanya, senario yang ada pada ketika ini dikhuatiri begitu
mudah terpengaruh sekiranya kurangnya tumpuan terhadap anak-anak
"Bagi kami di PPD Sandakan, sentiasa komited dalam memastikan
setiap sekolah berjaya dalam pengajaran dan pembelajaran mereka.
"Ini kerana, setiap sekolah menjadi harapan PPD untuk di bawa ke
peringkat yang lebih tinggi. Justeru, kerjasama semua pihak penting untuk
menjulang nama sekolah.
"Saya memuji usaha dan inisitif pihak SK St. Monica yang mengadakan
program sebegini secara langsung membolehkan murid-murid dapat bersedia apabila
menjalani peperiksaan khususnya kepada pelajar Tahun 6," ujarnya.
No comments:
Post a Comment