OLEH: SHAIMON S JUMADI
BELURAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut, Datuk James Ratib
berharap dua jawatankuasa pasukan petugas yang dibentuk akan dapat dikuasakan
serta-merta memandangkan timbul beberapa perkara perlu diberikan perhatian
serius agar ianya tidak berleluasa sekali gus mengancam kesejahteraan hidup
penduduk Sugut amnya di kawasan Beluran.
Menurut beliau, sebagai mata dan telinga kerajaan kedua-dua badan
berkenaan iaitu Pasukan Petugas Alam Sekitar dan Perladangan manakala satu lagi
Keselamatan serta Pencegahan Gejala Sosial akan memantau, menyiasat dan melapor
kepada pihak berwajib berkaitan apa jua masalah.
Beliau berkata, tindakan sedemikian bagi membolehkan pemantauan dibuat
berikutan wujud dakwaan kononnya sesetengah syarikat perladangan
sewenang-wenangnya menyalahi peraturan dan undang-undang sedia ada.
Katanya, sejak kebelakangan ini masalah semakin berleluasa apabila
pihaknya mendapat maklumat orang kampung konon kerakusan syarikat menjalankan
aktiviti penanaman kelapa sawit sehingga mencemarkan alam sekitar selain
mengambil pekerja asing tanpa permit.
"Banyak masalah yang timbul contohnya, kerakusan sesetengah
syarikat besar ini menanam sawit di pinggir-pinggir sungai yang bukan saja
melebihi kawasan tetapi kesannya kepada aliran sungai apabila baja yang ditabur
pastinya mengalir ke dalam sungai.
"Ada aduan mengenai ikan-ikan yang mati akibat pencemaran ke atas
sungai. Ia satu kesan yang tidak baik kepada penduduk setempat. Nasib baiklah,
sekarang ini musim hujan yang membolehkan orang-orang kampung menggunakan air
hujan untuk keperluan harian.
"Namun, bagaimana kalau musim kemarau? Tentu mereka menggunakan air
sungai untuk keperluan, tetapi bagaimana kalau sungai pun tercemar. Siapa yang
harus dipersalahkan?
"Oleh hal demikian, saya terpanggil untuk menubuhkan Pasukan
Petugas yang dipengerusikan oleh mantan Ahli Parlimen Beluran, Asmat Nungka dan
dibantu beberapa ahli jawatankuasa Umno Beluran agar apa jua permasalahan akan
dapat dibanteras demi kepentingan dan masa hadapan penduduk Sugut khususnya dan
Beluran amnya," jelasnya.
James berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat
jawatankuasa pasukan petugas tersebut di Bilik Mesyuarat, Majlid Daerah
Beluran, di sini, pagi kelmarin.
Hadir sama Pegawai Daerah Beluran, Suhaili Riman; Ketua Polis Daerah,
Supt. Sivanathan Velautham; Pengerusi Pasukan Petugas, Asmat; Pemimpin
Pembangunan Masyarakat (PPM) Sugut, Jalil Atang dan wakil-wakil agensi kerajaan
serta pemimpin masyarakat setempat.
Sehubungan dengan itu, Ketua Umno Bahagian Beluran ini memberitahu
Pasukan Petugas Keselamatan dan Gejala Sosial telah pun menjemput Polis;
Jabatan Imigresen; Jabatan Pendaftaran dan Rela serta beberapa agensi lain
untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.
Beritahunya, kehadiran agensi-agensi kerajaan ini akan membantu
kedua-dua badan 'Task Force' menjalankan penguatkuasaan undang-undang terhadap
mana-mana syarikat perladangan yang didapati menyalahi peraturan.
Jelasnya, badan berkenaan tidak boleh bertindak melainkan membantu
daripada segi menyalurkan maklumat seperti memantau, menyiasat dan melapor
kepada pihak berkuasa keselamatan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Ini kata beliau, masalah yang membelenggu bukan saja melibatkan
pencemaran ke atas air sungai tetapi juga ada dakwaan kononnya sebahagian
syarikat perladangan di kawasan Sugut mengambil pekerja asing tanpa permit sah.
Tegasnya, keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana di samping
berdepan dengan masalah keselamatan tetapi turut membawa masalah gejala sosial
seperti penyalahgunaan najis dadah dan sebagainya.
"Ia sedikit mempengaruhi belia yang akhirnya terjerumus ke kancah tidak
baik kerana kebanjiran pendatang asing tanpa izin ini. Satu lagi, masalah yang
perlu diberikan perhatian adalah dakwaan pemungutan pasir secara haram di
beberapa tempat.
"Kita minta supaya Jabatan Alam Sekitar dapat memantau perkara ini
memandangkan pengambilan pasir yang tidak terkawal akan mengakibatkan tanah
terhakis yang lama-kelamaan akan membawa masalah kepada penduduk.
"Sebab itu, saya sangat berharap agar kedua-dua Task Force yang
kita tubuhkan dapat dikuatkuasakan serta-merta bagi membolehkannya menjalankan
tanggungjawab berkesan.
"Sebagai mata dan telinga kepada kerajaan, badan berkenaan hanya
membantu daripada segi menyalurkan maklumat kepada pihak berkaitan sebelum
mereka menjalankan tindakan seterusnya.
"Saya mahu kepentingan rakyat Sugut amnya di Beluran ini terbela
dan tidak dibelenggu dek kerakusan segelintir pihak yang tidak
bertanggungjawab. Masa hadapan generasi Sugut menjadi keutamaan kepada saya
selaku wakil rakyat," ujarnya.
No comments:
Post a Comment