OLEH: SHAIMON S JUMADI
SIMBOLIK ... James (tengah) meluangkan masanya untuk
menyempurnakan upacara simbolik iaitu menyuntik pokok tanaman Gaharu yang
merupakan hasil tanaman pekebun-pekebun kecil ketika lawatannya di Kampung
Tangkarason
BELURAN:- Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) N.39 Sugut, Datuk James Ratib, meminta setiap pemimpin
masyarakat agar memainkan peranan dengan lebih efektif ekoran usahanya yang
kini merancang pelbagai strategi untuk memastikan Sugut terkeluar dari
kepompong kemiskinan.
Menurut beliau, peranan mereka membantunya merancang memandangkan
banyak potensi kawasan luar bandar ini untuk membangun pesat terutama dari segi
sektor ekonomi asalkan kerangka pembangunan digerakkan bersama.
Beliau berkata, usaha pertamanya dengan mempelbagaikan sumber
ekonomi rakyat yang berpandukan peluang-peluang seperti mewujudkan pekan dengan
membina rumah kedai sekali gus membantu penduduk setempat meningkatkan sosio
ekonomi mereka.
Katanya, mana-mana penduduk khususnya pekebun kecil atau pun
petani perlulah tampil bagi menjayakan matlamat itu tambahan lagi peranan
mereka sebagai pemangkin kepada kemajuan Sugut selama ini.
"Saya telah pun merangka pelbagai perancangan untuk membina
mahu pun menaiktaraf rumah-rumah kedai yang ada supaya penduduk kampung boleh
menjalankan aktiviti perniagaan yang membantu meningkatkan taraf hidup
masyarakat Sugut.
"Saya tidak mahu melihat kawasan Sugut yang kaya dengan
pelbagai sumber ini, ketinggalan jauh daripada sektor ekonomi. Sebab itu, saya
sering turun padang menjengah masyarakat sebab ingin memastikan kemajuan di
kawasan ini.
"Saya yakin dan percaya, jika kita semua ini bergerak seiring
... tidak mustahil Sugut akan muncul antara kawasan luar bandar yang termaju di
negara ini khususnya Sabah.
"Yang penting kerjasama kerana peranan anda sebagai pemimpin
masyarakat banyak membantu seseorang pemimpin melaksanakan agenda
pembangunannya.
"Seperti yang kita maklum ... lawatan kerja pada kali ini,
saya telah membawa serombongan pegawai Sedcovest bagi melawat tapak pembinaan
bangunan yang boleh dijadikan sebagai pusat sehenti.
"Apabila ia wujud nanti, Sugut tentu menjadi destinasi
pilihan untuk dikunjungi kerana saya mengambil kira seperti Pekan Baru Botition
dan Paitan umpamanya ... menjadi laluan utama kepada kenderaan," jelasnya.
James selaku Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd berkata demikian
ketika berucap sempena lawatan kerjanya bersama pegawai-pegawai Sedcovest ke
Kampung Salan Lingkabau; Kampung Kobambangan; Kampung Talidusan dan Kampung Tangkarason
baru-baru ini.
Lawatan selama dua hari itu, adalah bagi meninjau tapak pembinaan
bangunan Sedcovest untuk dijadikan sebagai 'One Stop Centre' atau pusat
sehenti.
Kesempatan lawatan di Tangkarason, Ketua Umno Bahagian Beluran ini
menyempurnakan satu lagi upacara simbolik iaitu menyuntik pokok Gaharu yang
merupakan hasil tanaman beberapa pekebun kecil.
Beliau dengan rombongan Sedcovest yang turut disertai
pegawai-pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sugut turut melawat
Pekan Sungai-Sungai dengan meninjau bangunan lama gerai tamu yang akan
dinaiktaraf oleh Sedcovest kelak.
Rombongan juga turut singgah di Kampung Mosinggapuh yang mana Adun
Sugut turut menemui penduduk kampung dengan berbual untuk mendengar
permasalahan yang diutarakan.
Antaranya, masalah ketiadaan air bersih untuk kegunaan harian
orang kampung akibat kemarau di mana air sungai di kampung tersebut tidak dapat
digunakan untuk makan dan minum.
James juga mendengar dan menangani persoalan berkaitan masalah
tanah ke atas 13 orang penduduk di Mosinggapuh bersama dengan sebuah syarikat
broker tanah.
Sejurus selepas itu, serombongan telah ke Pekan Botition untuk
satu lagi perjumpaan secara santai bersama dengan penduduk-penduduk di 10 buah
kampung dalam ZON / Mukim Pekan Botition termasuklah penduduk Botition sendiri.
Keesokannya, James melakukan lawatan ke Kampung Lubang Buaya di
Paitan bagi menangani permasalahan yang diutarakan seperti melibatkan
permohonan penduduk kampung yang berkaitan keperluan asas memerlukan perhatian
dan tindakan segera.
No comments:
Post a Comment