PROGRAM KLINIK USAHAWAN 2015 DAPAT SAMBUTAN


OLEH: SHAIMON S JUMADI

SANDAKAN: Pelaksanaan program keusahawanan yang berbentuk klinik penting memandangkan perlunya semua pihak terutama ingin menceburi bidang perniagaan untuk mendapat pendedahan awal berkaitan peluang-peluang sedia wujud.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri, Datuk Bolkiah Haji Ismail, berkata usaha seumpama ini amatlah bertepatan dengan misi kementerian mereka yang pada dasarnya sentiasa membantu membangun usahawan ke arah pengwujudan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Serentak itu, ujar beliau, klinik-klinik usahawan wajar disertai terutama kalangan bumiputera berikutan pendedahan yang mereka perolehi nanti mampu memberikan suntikan semangat untuk mengembangkan lagi perniagaan.

"Dalam apa pun bentuk perniagaan, modal merupakan elemen penting yang sangat utama apabila kita menceburi cabang perniagaan nanti.

"Tidak keterlaluan jika saya katakan tanpa modal yang mencukupi, mungkin perniagaan tidak dapat dimulakan jika kurangnya sokongan seperti modal perniagaan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Klinik Usahawan 2015 anjuran Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Bahagian Sandakan dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation (CGC) Malaysia Berhad Cawangan Sandakan di Ballroom, Hotel Pavilion, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Pengerusi MAPIM Sandakan, Haji Otoh Sibik Sahak; Pengurus CGC Cawangan Sandakan, Sri Rahayu Abdul Adzis serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi MAPIM Sandakan dan para peserta terdiri daripada usahawan, kontraktor termasuklah peniaga.

Mengulas lanjut, katanya, penganjuran program klinik usahawan menunjukkan komitmen MAPIM yang sentiasa aktif dalam usaha membantu membina masyarakat melalui perniagaan.

Dia menghargai usaha murni pihak MAPIM yang membantu para usahawan di Sandakan seperti mengadakan klinik-klinik usahawan sebegini.

Setidak-tidaknya, katanya, usahawan terutama yang baru memulakan perniagaan mahu pun yang kekurangan kewangan mendapat manfaat sekali gus berpeluang mengetahui lebih lanjut tentang peluang kewangan yang ditawarkan oleh CGC.

"Pihak kementerian amat mengalu-alukan sebarang penganjuran program yang berbentuk pembangunan keusahawanan apa lagi klinik pagi ini adalah kelolaan NGO seperti MAPIM dan institusi kewangan seperti CGC," ujarnya.

Katanya, penganjuran klinik-klinik keusahawan amat penting terutama kepada mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang peluang yang ditawarkan seperti mendapatkan pembiayaan kewangan untuk mengembangkan lagi perniagaan.

Terdahulu, Haji Otoh memberitahu tujuan dan matlamat utama pihak penganjur mengadakan klinik ini adalah bagi memberikan pendedahan terhadap peluang-peluang kerjasama yang dapat diwujudkan demi manfaat usahawan bumiputera dengan agensi yang berkaitan.

Katanya, klinik ini penting memandangkan peserta akan didedahkan tentang peluang kewangan yang ditawarkan CGC sekali gus membuka minda untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka. 

"Kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan, inilah masanya untuk memahami tentang bagaimana untuk memulakan diri dalam perniagaan.

"Syabas dan tahniah kepada para peserta yang mengambil bahagian dalam program klinik keusahawanan. Suka saya nyatakan di sini, pihak MAPIM Sandakan akan meneruskan program-program yang bermanfaat dari segi membentuk masyarakat terbaik hinggalah kepada usaha meningkatkan sosio ekonomi," jelasnya.


No comments:

Post a Comment