SAMPAIKAN
HADIAH…..Kelihatan Zakaria menyampaikan hadiah
kepada pemenang Qari Tilawah
Al-Quran peringkat DUN Gum Gum
OLEH: LEE
KON CHOI @ DZULKIFLIE
GUM-GUM Masyarakat diajak memupuk dan meningkatkan
ukhuwah Islamiah ke arah membina ummah bersatupadu, dinamik dan progresif.
Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris berkata, perkara itu penting kerana
kemajuan dalam kesatuan Islam memerlukan penyeimbangan antara kemajuan dunia
dan kebahagiaan akhirat.
Bagaimanapun
katanya, ia bergantung kepada kekuatan ilmu dan ekonomi di samping kekuatan
rohani masyarakat itu agar usaha itu terus tercapai.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Perumahan
dan Kerajaan Tempatan, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah
Al-Quran Peringkat DUN Gum Gum di Kampung Sungai Tiram.
Menurut
beliau, dalam proses menjadi sebuah negara maju, usaha untuk membanteras
kemiskinan sewajarnya mengambil kira kedua-dua aspek kemiskinan yang
dimaksudkan, iaitu kemiskinan kebendaan dan kemiskinan rohani.
Dalam
usaha untuk membanteras kemiskinan kebendaan, Islam menganjurkan umatnya supaya
bekerja kuat untuk memperoleh rezeki atau pendapatan yang halal yang akan
membolehkan kita menunaikan kewajipan menyara keluarga dan tanggungan, katanya
lagi.
Ia juga membolehkan kita melaksanakan kewajipan
berzakat, memberikan sedekah, mewakafkan harta dan memberikan hadiah sebagai
satu cara untuk membersihkan rohani dan harta yang kita miliki, tambah beliau.
“Selain
memerangi kemiskinan kebendaan, miskin kerohanian merupakan penyakit yang lebih
bahaya. Penekanan dalam membanteras kemiskinan rohani merupakan antara hikmah
agama Islam diturunkan,” kata Zakaria.
Salah satu
strategi memerangi dua bentuk kemiskinan ini ialah dengan menghidupkan serta
mengembalikan semula peranan masjid dalam membangun komuniti Islam dalam setiap
lapangan hidup, katanya.
Sejarah
membuktikan bahawa masjid menjadi titik tolak terbinanya peradaban Islam yang
unggul pada kaca mata dunia sebagaimana yang pernah dirintis oleh Rasulullah
SAW dan para sahabat, kata Zakaria.
No comments:
Post a Comment