By Admin
Laporan Inkuiri
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dikeluarkan di Kota Kinabalu hari ini hanya
menggesa kerajaan pusat dan negeri melaksanakan iltizam politik yang tinggi
bagi menangani masalah pendatang asing tanpa mendedahkan individu
bertanggungjawab dalam Projek IC. – Gambar fail Sabahkini.Net , 3
Disember, 2014.
KUALA LUMPUR:- Sindiket dan mereka yang menerima bantuan dari pegawai yang rasuah dikenalpasti melakukan 'Projek IC' di Sabah bagi memenuhi agenda politik dan wang, menurut Laporan Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), yang bagaimanapun tidak menyebut mengenai siapa yang bersalah mengubah keseimbangan demografi dan agama di negeri itu.
Laporan RCI
mengenai pendatang tanpa izin di Sabah setebal 368 muka surat itu didedahkan
kepada umum di Kota Kinabalu hari ini, beberapa bulan selepas ia siap dan dua
tahun selepas ia ditubuhkan.
Ia tidak menamakan
mana-mana pihak yang bersalah kerana perkara itu tidak termasuk dalam skop
bidang tugas suruhanjaya itu, seperti dinyatakan dalam terma rujukannya.
Sesi inkuiri yang
berlangsung selama sembilan bulan bermula Januari hingga September tahun lalu
turut menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim, bekas menteri Umno Tan Sri Aziz Shamsuddin, bekas ketua menteri Sabah
dan pejawat awam daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen
dipanggil memberikan keterangan.
Selain itu, turut
dipanggil memberi keterangan ketika prosiding RCI adalah pendatang warga
Filipina, Indonesia, Pakistan dan India.
Laporan itu tidak
menafikan kewujudan Projek IC, dan beranggapan ia "mungkin wujud" berdasarkan
testimoni saksi yang mengaku terlibat dalam perkara itu.
Nama-nama besar
bekas penjawat awam yang menjadi saksi bagaimanapun tidak pernah mengakui
kewujudan salah laku tersebut, begitu juga saksi yang diperiksa balas, kata
laporan itu.
Paling baikpun,
laporan itu menyatakan dokumen kerakyatan diberikan secara haram oleh sindiket
dan individu rasuah yang mengeksploitasi sistem kerajaan yang lemah.
RCI berpendapat,
berdasarkan fakta, jelas terdapat dua bahagian dalam isu sama ada benar atau
tidak "yang dikatakan Projek IC itu wujud."
"Pada satu
pihak, kita mempunyai saksi yang menerangkan dengan terperinci penglibatan
aktif mereka dalam projek tersebut dan juga penyertaan ahli politik berprofil
tinggi tertentu.
"Di sebelah pihak satu lagi, ahli politik ini memberi keterangan di hadapan RCI, menafikan dengan tegas semua dakwaan yang dikenakan terhadap mereka."
Menurut laporan
itu, 5 saksi daripada JPN yang didakwa terlibat secara peribadi dan aktif dalam
projek itu sudah memberi keterangan yang menyokong testimoni satu sama lain
yang diberi kepada RCI .
"Pada
hakikatnya, mereka secara kolektif mengakui penglibatan bersama secara
terperinci. Tambahan pula, mereka membuat tuduhan yang berat terhadap pemimpin
politik yang berkuasa," katanya.
RCI berkata, ia
mengambil kira keterangan yang, pada tahun 1990-an, pertumbuhan penduduk di
Sabah meningkat sebanyak 78%, peningkatan tertinggi sejak Sabah menjadi
sebahagian daripada Malaysia.
"Ia adalah
tempoh apabila terdapat bukti menunjukkan wujud sebilangan besar pendatang
haram yang diberikan kad pengenalan Malaysia melalui akuan berkanun bagi tujuan
politik.
"Kesimpulannya,
terdapat kebarangkalian projek sedemikian memang wujud sepanjang masa
itu," kata RCI . (Sabahkini.Net)
Posted by The Sabah Insider.net
No comments:
Post a Comment