OLEH: SHIAMON S JUMADI
KARAMUNTING:- Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting, Charles O
Pang, berkata meneruskan amalan seperti bergotong-royong tidak hanya
mengeratkan silaturrahim sesama mereka malahan menjadikan tempat tinggal
sentiasa bersih.
Dengan itu penduduk setempat hendaklah mempergiat aktiviti gotong-royong
memandangkan kegiatan ini akan dapat mewujudkan masyarakat yang bekerjasama dan
saling membantu antara satu sama lain.
Menurut beliau, pemimpin setempat terutamanya wakil rakyat yang turut
serta tentu akan merasa gembira dengan tahap kerjasama penduduk kerana semangat
kejiranan yang dipupuk menjadi pemangkin untuk mereka bersatu padu sekali pun
berbeza latar belakang.
Beliau berkata, secara tidak langsung juga negara akan mempunyai
masyarakat yang kukuh disebab budaya baik seringkali menjadi amalan berterusan
apatah lagi kita sedang menuju negara maju menjelang Wawasan 2020.
Katanya, agenda murni pihak kerajaan yang sentiasa menyarankan rakyat
tidak melupakan kegiatan kemasyarakatan seperti bergotong-royong wajar diberikan
perhatian memandangkan banyak manfaatnya apabila masyarakat giat menjalankan
aktiviti tersebut.
"Salah satunya, bukan saja menjadikan kawasan tempat tinggal kita
samada di perkampungan atau pun taman-taman perumahan tampak bersih sekali gus
terhindar dari sebarang wabak penyakit tetapi juga kesannya kepada perpaduan.
"Ini kerana, penduduk yang rajin bergotong-royong sudah pasti
membolehkan mereka dapat berkumpul sambil bekerjasama membersihkan persekitaran
tempat tinggal yang sekali gus mewujudkan suasana harmoni.
"Bagi kami selaku wakil rakyat tentu gembira melihat tahap
kerjasama yang baik daripada penduduk setempat. Inilah sebenarnya pendekatan
kerajaan kerana kemajuan sesebuah negara banyak dibawa apabila rakyatnya saling
bersatu dalam melaksanakana sesuatu aktiviti.
"Saya menyambut baik dengan usaha-usaha murni penduduk di sekitar
kawasan Karamunting yang sentiasa menitikberatkan kegiatan kemasyarakatan
dengan menganjurkan aktiviti gotong-royong pada hujung minggu.
"Ia memperlihatkan kerjasama di kalangan mereka yang begitu utuh
dan selaku wakil rakyat tentu teruja apabila nilai-nilai murni sentiasa menjadi
amalan yang secara tidak langsung memudahkan kami untuk menyalur pelbagai
pembangunan untuk rakyat," jelasnya sambil meminta kegiatan bergotong-royong
diperhebatkan dari semasa ke semasa.
Charles menyatakan demikian ketika ditemui pada satu program
gotong-royong membersihkan persekitaran Kampung Pei Ying di Jalan Cecily dekat
sini, pagi kelmarin.
Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Alex Loh
dan kakitangan daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.44
Karamunting termasuklah penduduk di sekitar kampung tersebut.
No comments:
Post a Comment