OLEH: THOMAS SUNGGIUK
KOTA
KINABALU:- Fasa kelima pelaksanaan perintah berkurung di kawasan Zon Selamat
Timur Sabah (Esszone) yang berakhir hari ini, dilanjutkan sehingga 21 Oktober
ini.
Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Jalaluddin
Abdul Rahman (gambar) berkata pihaknya
juga sedang menunggu tindakan kerajaan dalam rundingan akhir bersama beberapa
pihak bagi membebaskan anggota Pasukan Polis Marin, Konstabel Zakiah Aleip yang
diculik dalam serangan hendap di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna pada
Julai lalu.
Menurut
beliau, walaupun kawasan perairan di Esszone berada dalam keadaan ‘tenang’
susulan pelaksanaan perintah berkurung, pihaknya akan sentiasa mengambil
langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini termasuk
penculikan.
“Perintah
berkurung ini dilanjutkan kerana kita menerima maklumat-maklumat keadaan di
Esszone bagi mencegah dan menyekat kemasukan penjenayah sama ada penyeludupan atau
penculikan.
“Minggu
lalu saya melawat kawasan-kawasan peranginan di Pulau Mabul, Sipadan, Ligitan
dan Kapalai, termasuk kawasan penternakan ikan dalam sangkar, kebanyakan pihak
mengalu-alukan perintah berkurung untuk jaminan keselamatan,” katanya.
Beliau
berkata demikian dalam sidang akhbar lantas memberitahu, perintah berkurung dilanjutkan memandangkan maklum balas baik yang
diterima pelancong dan penduduk setempat berhubung jaminan keselamatan.
Ditanya
keadaan terkini Zakiah, 26, ujarnya, anggota polis itu berada dalam keadaan
baik dan telah membuat 79 panggilan telefon terhadap ahli keluarganya dan polis
sehingga semalam.
“Kita
tunggu rundingan akhir (antara kerajaan dan suspek) untuk membebaskannya,”
tambahnya.
Beliau
turut melahirkan keyakinan seorang pemilik pusat ternakan ikan dalam sangkar
yang diculik di Kunak pada Jun lalu juga berada dalam keadaan selamat.
Kepada
soalan tentang kes pembunuhan seorang guru di Kundasang, Ranau pada Jumaat
lalu, jelasnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai mengenali suspek.
“Dalam
rompakan yang melibatkan kematian, kebiasaannya mangsa mengenali suspek, sebab
itu dia (suspek) bunuh,” katanya.
Berhubung
seorang wanita yang didakwa menyebar dan menghasut dalam isu ‘memerdekakan’
Sabah daripada Malaysia, ujar Jalaluddin, suspek yang telah dikenal pasti itu
masih berada di luar negara dan polis telah mengembangkan skop siasatan.
No comments:
Post a Comment