ZAKARIA LAWAT MANGSA BANJIR KG GUM-GUM

OLEH: SALBIAH LEE ABDULLAH


Zakaria berjumpa dengan penduduk di Kampung Gum Gum ketika meninjau tempat-tempat dilanda banjir kilat di kawasan beliau







Sungai Gum Gum yang melimpahi tebing ketika hujan lebat Selasa lepas dan membanjiri kawasan berdekatan kini sudah surut



GUM-GUM:- Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris akan mengemukakan beberapa cadangan kepada Kerajaan Negeri untuk menangani masalah banjir kilat di kawasan DUN Gum Gum.

Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, telah membuat tinjauan tempat-tempat dalam kawasan beliau yang sering dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat turun berterusan awal minggu ini. 

Lawatan pada Khamis petang itu merupakan kali kedua beliau turun padang dalam tempoh seminggu ini meninjau tempat-tempat terbabit termasuk Kampung Gum Gum, Kampung Sungai Memanjang dan Kampung Jaya Bakti.

Menurut Zakaria, antara cadangan-cadangan berkenaan ialah untuk menaiktaraf infrustruktur asas seperti parit serta jalan di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti sering berlaku banjir kilat ketika musim tengkujuh.

Dalam tinjauan beliau pada Khamis itu, jalan menuju ke Kampung Sungai Memanjang telah ditenggelami air sedalam paras lutut dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil.

Zakaria mengingatkan penduduk-penduduk yang di tempat-tempat terbabit supaya sentiasa berwaspada dan bersedia untuk berpindah apabila diarah oleh pihak berkuasa.
 
Beliau juga menasihati penduduk kampung agar tidak membenarkan anak-anak mereka bermain di kawasan banjir untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Menurut Zakaria, beliau turut akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk membina dewan baharu di Kampung Sungai Memanjang dan Kampung Gum Gum.

"Kampung Sungai Memanjang tidak mempunyai dewan ketika ini manakala dewan yang sedia ada di Kampung Gum Gum itu pula kecil. Pembinaan dewan-dewan baharu di kedua dua tempat tersebut membolehkan penduduk mengadakan aktiviti dan majlis keramaian selain daripada digunakan sebagai pusat pemindahan sementara apabilia berlaku bencana alam," tambah beliau.

Ketua Kampung Sungai Memanjang Abdul Samad Tebaron memberitahu media bahawa setakat ini keadaan masih terkawal dan belum ada pemindahan dilakukan.

"Penduduk kampung yang membabitkan 39 buah keluarga itu masih dibenarkan berada di rumah mereka," tambah Abdul Samad.

Dalam pada itu, Abdul Samad berharap Kerajaan akan mengambil tindakan untuk mengatasi masalah banjir kilat itu.

Antara yang hadir dalam tinjauan ialah Pemimpin Pembangunan Masyarkat (DUN) Gum Gum Kamal M Said dan Pegawai Kemajuan Masyarakat  DUN Gum Gum Rosly Aziz. POSTED BY FST NEWS (FREE SANDAKAN TODAY.COM)







No comments:

Post a Comment