OLEH: SHAIMON S
JUMADI
ssjumadi@gmail.com
SANDAKAN:- Wartawan Kanan The
Sabah Insider.net ingin mengupas sedikit
sebanyak mengenai perjalanan TELEMOVIE 'Babu-Babu 1' yang mendapat sambutan
luar biasa berikutan jalan ceritanya yang menarik selain memenuhi citarasa
penonton tempatan membuatkan ramai tertunggu-tunggu apa lagi kemunculan
telemovie terbaru terbitan A.B.S Entertainment selepas ini.
Ini kerana, garapan idea yang dikongsi Dato' Abidin Sukor selaku
Pengarah Urusan Syarikat A.B.S Entertainment berjaya menambat hati penonton
untuk menonton telemovie yang diterbitkan pada tahun 2011 turut menampilkan
penyanyi popular dengan lagu 'Lolay Liyangkit' iaitu Kamis Sainali.
Sebagaimana yang dijangka A.B.S Entertainment sekali lagi muncul untuk
tidak menghampakan peminat setianya dengan mempersembahkan telefilem Misbun
'Dendam Si Nelayan' yang akan menemui penonton di pasaran tidak berapa lama
lagi.
Menariknya tentang telefilem yang mengisahkan seorang nelayan yang baik
hati dan jujur kepada semua orang adalah mengambil kira penerbitan telefilem
telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada produksi filem di Filipina.
Diceritakan, penggambaran telefilem ini kebanyakannya dibuat di
Bandaraya Zamboanga dan Tawi-Tawi manakala selebihnya di daerah Sandakan yang
pastinya menggegar industri hiburan kita ekoran langkah berani A.B.S
Entertainment untuk memasuki pasaran luar negara.
Abidin telah memberikan mandat kepada Kamis sebagai pengarah untuk
mengendalikan telefilem yang menampilkan ramai pelakon-pelakon hebat dari sana
termasuklah Ratu Tawi-Tawi yang memegang salah satu watak penting.
Khabarnya, telefilem yang sudah pun selesai menjalani penggambaran dalam
tahun lepas itu bakal ditayangkan di pawagam-pawagam Zamboanga dan Tawi-Tawi
sementara pihak A.B.S Entertainment merancang untuk menayangkannya di TV
Malaysia menerusi slot telefilem.
Bercakap kepada Hiburan NST, Kamis selaku artis yang bernaung dibawah
A.B.S Entertainment teruja dengan kesungguhan syarikat produksinya yang berjaya
menerbitkan telefilem di luar negara seperti Filipina.
"Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Dato' Abidin atas mandat
dan kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk mengendalikan penggambaran
telefilem berkenaan sebagai pengarah dan juga pelakon utama.
"Telefilem ini pasti memukau penonton di kedua-dua negara kerana
jalan ceritanya yang menarik kerana banyak memapar soal kemasyarakatan tentang
nelayan yang disukai satu kampung disebabkan kejujurannya kepada semua.
"Namun, jalan ceritanya juga sedih apabila keluarga si nelayan
dibunuh akibat iri hati seseorang kepada nelayan tadi. Banyak lagi genre yang
dipaparkan dalam telefilem berdurasi lebih sejam ini," katanya ketika
ditemui di Pejabat A.B.S Entertainment di Gand View, Jalan Buli Sim-Sim,
Sandakan kelmarin.
Kamis berkata pihak syarikat produksi filem A.B.S Entertainment telah
berbincang dengan produksi di sana mengenai proses penerbitan telefilem tersebut
termasuklah soal pasarannya.
Katanya, pihak TV 5 di Filipina juga akan membantu mengurus telefilem
berkenaan seperti mendapatkan tempat bagi ditayangkan di pawagam-pawagam.
Sementara itu, Abidin berharap telefilem terbaru yang diterbitkan
syarikat produksinya akan mendapat sambutan daripada masyarakat terutamanya
penggemar filem di negeri ini khususnya dan negara amnya.
Ini katanya, telefilem berkenaan dibarisi pelakon-pelakon dari Filipina
yang bergandingan dengan Kamis sebagai pelakon utama yang bukan sahaja membantu
meningkatkan mutu lakonan tetapi juga satu pengalaman baru bagi kita ke arah
menembusi pasaran luar negara.
"Ia satu permulaan untuk A.B.S Entertainment mengorak langkah dalam
industri perfileman memandangkan selepas Filipina, kita juga merancang memasuki
pasaran Brunei Darussalam dan Singapura yakni kita akan kerjasama dalam
menerbitkan telefilem atau filem sekali pun.
"Sebab itu, saya memberi kepercayaan kepada Kamis untuk
mengendalikan penggambaran sebagai pengarah bagi membolehkan beliau dapat
menimba pengalaman yang lebih tentang soal-soal pengarahan.
"Mengenai telefilem Misbun 'Dendam Si Nelayan' ini ... kita akan
tengok pasaran secara teliti kerana bimbang juga dengan masalah cetak rompak
yang membelenggu kami sewaktu mengeluarkan cakera padat untuk 'Babu-Babu
1'," jelasnya.
Beliau tidak menafikan kegiatan cetak rompak merupakan rintangan yang
terlalu besar kepada setiap syarikat produksi filem memandangkan kos sesuatu
filem atau telefilem mahu pun telemovie bukannya kecil.
Katanya, mereka yang tidak bertanggungjawab sesuka hati sahaja meraih
keuntungan sedangkan hasilnya sukar diperolehi pihak produksi yang telah
bertungkus-lumus menerbitkan sesuatu produk demi mengangkatkan martabat
industri seni tanahair.
Dalam pada itu, katanya, Kamis akan muncul dengan album keempat serta
kompilasi bersama artis terbaru iaitu Laila Nadia yang akan diterbitkan
sepenuhnya oleh A.B.S Entertainment.
Menurutnya, album yang mengandungi lagu-lagu terbaru akan berada di
pasaran pada pertengahan tahun ini dan tentunya mengubati kerinduan peminat
setia Kamis.
No comments:
Post a Comment