ADUN GUM-GUM BERI SUMBANGAN MANGSA KEBAKARAN KG BANTING



OLEH: AZAMI AZMAN


Zakaria (tengah) serta pegawainya dan pemimpin kampung bersama mangsa kebakaran kelmarin

 
GUM-GUM:-   Sembilan orang dari satu keluarga yang kehilangan rumah dalam kebakaran di Kampung Banting, Batu 12, menerima bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris.

Zakaria, yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Negeri dan Perumahan, telah menyampaikan bantuan kewangan serta bekalan makanan ketika beliau melawat mangsa di kampung berkenaan kelmarin pagi.

Beliau berharap sumbangan ini akan serba sedikit dapat meringankan beban mangsa kebakaran.

Zakaria berkata beliau turut mengarahkan pegawai beliau untuk mengenalpasti apa-apa bantuan lain yang diperlukan oleh mangsa.

Sementara itu, ketua keluarga mangsa kebakaran Chin Kui Hin @ Ridzuan, 47, yang menerima bantuan dari Datuk Zakaria, berkata mereka amat berterima kasih kepada Zakaria atas keprihatinan beliau.

Ridzuan memberitahu bahawa kebakaran itu berlaku lebih kurang jam 2 pagi Jumaat lepas. Beliau bersama isteri, lima orang anak berumur antara enam hingga 13 tahun, bapa mertua dan adik ipar sempat melarikan apabila mendengar jeritan dari jiran.

Kami tidak dapat menyelamatkan barang-barang serta dokumen penting kerana api merebak sangat pantas, kata Ridzuan lagi.

Ridzuan yang berkerja sebagai tukang cermin, dan keluarganya tinggal di rumah itu lebih 10 tahun. Mereka sekarang tinggal sementara di rumah jiran ekoran kejadian itu.

Hadir bersama dengan Datuk Zakaria dalam lawatan ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Gum Gum Kamal M Said dan Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Gum Gum Rosly Aziz.


TAMAT




No comments:

Post a Comment