MP BTU SAPI MINTA MENTERI MENJELASKAN PERSIAPAN LAKSANAKAN GST

OLEH: JOHNY LAM

 
SANDAKAN:  Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dicadangkan bukanlah merupakan cukai baharu tetapi ianya adalah cukai yang mengantikan cukai sedia ada iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga sudah bersedia untuk menguatkuasakan pelaksanaan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015. JKDM telah mengeluarkan Panduan GST sebagai panduan pihak industry.

Demikian dinyatan oleh Menteri Kewangan ketika menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin semasa persidangan Dewan Rakyat  di ibu negara yang meminta Menteri menjelaskan persiapan untuk melaksanakan GST untuk mengelakkan kekeliruan apabila diperkenalkan tahun hadapan.

Bagi melancarkan pelaksanaan GST, JKDM sedang dalam proses menambah 677 kakitangan baharu di samping 1,227 kakitangan sedia ada khusus bagi GST. Sistem teknologi maklumat terkini iaitu system pengkomputeran MyGST telah siap dibangunkan bagi melicinkan proses pelaksanaan GST kelak.

Kerajaan juga telah menyusun program kesedaran dan pendidikan GST yang mudah difahami oleh lapisan masyarakat. Program kesedaran ini telah dilaksanakan di seluruh pelusuk tanahair melalui penglibatan semua agensi Kerajaan yang berkaitan. Sehingga kini lebih 5,421 program GST telah dilaksanakan.

GST berupaya mengatasi kelemahan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada yang mempunyai  kelemahan dari segi cukai berganda atau elemen cukai, isu pindahan harga dan tiada pelepasan cukai ke atas eksport.

Pelaksanaanya mampu menjadikan kutipan cukai secara lebih berkesan, kerana bentuk cukai kepenggunaannya lebih efektif, efisien, telus dan mesra perniagaan serta berupaya menjana hasil yang lebih stabil.

GST dapat mengurangkan karenah birokrasi serta dapat meningkatkan pematuhan cukai, mengurangkan ekonomi terlindung dengan izin dan menggalakkan simpanan dan pelaburan.

Berdasarkan maklumbalas yang diterima dipelbagai platform, majority rakyat telah mula bertambah kefahaman tentang keperluan Kerajaan melaksanakan GST dan sebahagian mereka sedar GST adalah perlu bagi mengukuhkan ekonomi dan pembangunan Negara.

Isu utama yang membimbangkan rakyat ialah berkenaan harga barang keperluan. Kerajaan maklum akan kerisauan ini dan telah mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan impak GST terhadap harga barangan dan kos sara hidup.







No comments:

Post a Comment